Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 
10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau 
Pinang.

Kisah Melayu , 1 Rumah , 1 Penagih Dadah di 
http://waghih.blogspot.com/2010/04/melayu-1-rumah-1-penagih-dadah.html 

Terengganu Catat Jumlah Penagih Paling Tinggi Di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama)-- Terengganu mencatatkan jumlah penagih 
dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang 
tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata 
berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih 
dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

"Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang 
diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka 
penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan 
tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang

"Angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang 
amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini," 
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Rabu.

Katanya, rekod tangkapan pelbagai kesalahan dadah di negeri ini bagi tahun ini 
dari Januari hingga semalam ialah 3,791 orang, meningkat sebanyak 31 peratus 
berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Malah, katanya jumlah tangkapan pengedar dan pembekal dadah pada tahun ini juga 
meningkat 11 peratus dengan 97 tangkapan berbanding tempoh yang sama tahun 
lepas.

Beliau berkata analisis dan kajian yang dijalankan oleh polis mendapati, 
kebanyakan penagih dadah di negeri ini terdiri daripada mereka yang berumur 
lewat 20-an hingga 40-an dan mereka merupakan penagih tegar yang sukar untuk 
dipulihkan walaupun pelbagai program pemulihan telah dilakukan.

"Mereka kini menjadikan kawasan di luar bandar terutama di kawasan Felda 
sebagai pusat baru... termasuk di kawasan segitiga emas iaitu Kuala Terengganu, 
Marang dan Hulu Terengganu."

Beliau berkata akhir-akhir ini polis mendapati semakin banyak heroin bermutu 
tinggi masuk ke negeri ini dari negara jiran berikutan permintaan yang tinggi.

"Kebanyakan heroin yang masuk ke negeri ini adalah heroin no 4 yang lebih 
bermutu tinggi berbanding negeri pantai barat yang lebih banyak menggunakan 
dadah sintetik dan heroin no 3 " katanya

Roslan berkata polis akan menggiatkan operasi bagi membanteras kegiatan 
pengedaran dan penagihan dadah daripada berleluasa di negeri ini.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=499503 



      

Kirim email ke