PETiKAN : http://www.malaysiaharmoni.com/

 Hidup ini pengabdian bukan perjudian
<http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/editorial/1-editorial/343-hidup-ini-pengabdian-bukan-perjudian>

[image: a]

Manusia hidup di atas dunia ini bukan secara kebetulan, bukan saja-saja,
bukan juga ikut suka hendak terus hidup atau hendak mati percuma. Eh, mana
ada mati percuma sekarang. Sekurang-kurangnya pun, belanja pengurusan
jenazah, kain kafan dan belanja-belanja lain sehingga selesai pengebumian
menelan tujuh lapan ratus ringgit. Paling 'koman' pun wak tukang gali kubur
nak 'dihulur' juga seratus dua. Kasihan si wak, kadang-kadang nafkah dia
bergantung sepenuhnya kepada '*odd job*' macam itu, memanjat kelapa,
menyabit sawit, memotong rumput, menukang rumah dan termasuklah menggali
kubur. Kalau ada orang panggil adalah habuannya, kalau tidak, buatlah kerja
amal sendiri di rumah.

Tapi bukan kisah wak penggali kubur itu yang hendak dibicarakan di sini.
Yang hendak ditekankan ialah hidup kita ini adalah hidup yang telah
ditakdirkan Allah, dan apa-apa yang ditakdirkan Allah pasti ada perancangan
dan peraturannya.

Lihat sahaja perkara-perkara di sekeliling kita. Adakah kita menyangka
matahari suka- suka terbit di sebelah timur pada sebelah pagi mengikut
kehendaknya, atau hujan turun membasahi bumi ini tanpa kawalan, atau angin
bertiup ke sebarang arah tidak tentu hala dan masa? Apa agaknya akan terjadi
kepada dunia ini jika begitu keadaannya?

Lihat pula seputar kehidupan kita. Nak makan ada peraturannya, mesti mencari
makanan yang elok, halal dan bersih, mesti dimasak dengan sempurna, dimasak
pula mengikut selera orang yang hendak memakannya, baru boleh dimakan dengan
enak. Makanan yang dijual pula mesti berlesen, terjaga kebersihannya, belum
luput tempoh dan sebagainya. Pendek kata, semua perkara diambil kira.

Tetapi cuba bayangkan, bagaimana kalau dalam masa kita menuruti
peraturan-peraturan tersebut dengan baik, tiba-tiba di pihak lain, peraturan
yang bertentangan dilaksanakan. Semasa kita bersusah payah menjaga
kebersihan, orang ramai dibenarkan melonggokkan sampah di hadapan rumah atau
gerai kita yang jaraknya tidak sampai 20 meter kerana kebetulan tempat
membuang sampah disediakan di situ. Adakah mereka melanggar peraturan? Tidak
juga kerana tempat itu memang dikhaskan untuk membuang sampah.

Kedai tempat kita membeli ayam pula diletakkan betul-betul di sebelah kedai
menjual daging babi. Adakah penjual daging babi itu melanggar undang-undang?
Mungkin tidak kerana dia juga mendapat lesen daripada Majlis Daerah. Lagipun
kedainya sangat bersih dan dia tidak pernah pun menjual daging tersebut
kepada orang Islam.

Cuba fikirkan, adakah situasi sebegitu tidak mencabar orang-orang yang
mementingkan kebersihan dan kehalalan? Sebenarnya ia sangat mencabar, apatah
lagi kepada orang yang mengambil berat dan selama ini berpegang teguh kepada
konsep kebersihan dan kehalalan tersebut. Rumah atau kedai yang bersih macam
mana sekalipun tidak akan dikunjungi tetamu kalau di seberang jalannya
terpapar landskap timbunan sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk dan
meloyakan. Kedai ayam yang tukang sembelihnya tuan mufti sekalipun
barangkali tidak menggamit pelanggan jika betul-betul di sebelahnya
beroperasi pula jualan daging binatang yang diberi nama manja 'khinzir' itu.


Dengan perkataan lain, apa guna kita menguatkuasakan peraturan kebersihan
kalau di tempat yang bersih itu juga kita benarkan orang membuang sampah
yang menghamburkan bau dan kejelikan? Apa guna kita menetapkan jualan
barangan halal kalau kita juga membenarkannya bercampur aduk dengan barangan
yang haram?

Apa guna kita melarang orang ramai merokok kalau kita juga menghalalkan
ganja dan dadah?

Apa guna kita menguatkuasakan peraturan jalan raya kalau kita membenarkan
remaja bermotoskal 'merempit' dan berlumba haram?

Apa guna kita menggalakkan perkahwinan kalau kita menyediakan
kawasan-kawasan khas untuk pelacur menjalankan aktiviti mereka secara '*
legal*'?

Apa guna kita mengharamkan arak kalau kita meluluskan pembinaan kilang arak
dengan alasan dapat mengutip cukai daripadanya?

Begitulah analoginya. Jadi, apa gunanya kita mengharamkan judi untuk orang
Islam kalau kita menghalalkannya untuk orang bukan Islam, dan baru-baru ini
meluluskan pula lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010? Tidakkah ia
juga satu bentuk judi yang diakui oleh semua agama tidak membawa manfaat
kepada manusia?

Dalam al-Quran, pengharaman judi adalah jelas dan tidak boleh dipinda-pinda
lagi. Biar apa pun alasan kita, Allah Maha Mengetahui akibatnya kepada
manusia sebab Dialah yang menjadikan kita seluruhnya. Allah mengakui dalam
judi dan arak itu ada sedikit manfaat, tetapi mudarat dan kerosakan yang
dibawanya teramat besar. Firman Allah (maksudnya):

"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada
keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi
dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya."

(Al-Baqarah 2: 219)

Tidak ada agama yang mengatakan judi itu baik. Bahkan kelulusan lesen judi
bola sepak ini tidak dipersetujui oleh parti-parti politik orang Cina
seperti MCA dan DAP, walhal kononnya orang-orang Cinalah yang dikatakan kuat
berjudi. Benarkan begitu? Tetapi kenapa pada mulanya sebilangan orang UMNO
yang Melayu/Islam pula beria-ia hendak meneruskan kelulusan lesen judi ini
kepada Kumpulan Berjaya?

Kelulusan ini ditentang hebat oleh pelbagai pihak. Kumpulan agama,
pertubuhan (NGO) Islam, parti politik, orang ramai dan tokoh sukan termasuk
'Raja Bola' Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak
Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh bangkit menyuarakan pandangan supaya
kelulusan ini ditarik balik. Setelah menerima desakan demi desakan, akhirnya
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan
meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen tersebut kepada
Kumpulan Berjaya.

Bagaimana hasil penelitian itu? Sepak mula Piala Dunia hanya tinggal lebih
kurang dua minggu saja lagi. Kaki-kaki judi pula boleh jadi sudah
tergedik-gedik hendak melakukan pertaruhan, atau boleh jadi pertaruhan sudah
pun bermula.

Cukup-cukuplah. Negara Malaysia ini sudah tidak larat lagi menanggung bala.
Jenayah rompakan, ragut, rasuah, pembunuhan, rogol, dadah, hiburan tanpa
batasan, pergaulan bebas, zina, buang bayi, pergaduhan, anak derhaka kepada
ibu bapa dan 1001 macam kejahatan lagi merupakan bala yang melata sekarang.
Sepatutnya kerajaan mengurangkan kemungkaran ini, bukannya menambah satu
lagi. Katalah lesen judi bola ini sebenarnya lesen lama yang diperbaharui
semula, hakikatnya di mata masyarakat ia sesuatu yang baharu dan boleh
menarik ribuan malahan mungkin jutaan orang yang dahulunya tidak pernah
berjudi.

Amalan berjudi akan menyebabkan ketagihan. Bagi mereka yang sudah ketagih
judi, fokus pemikiran mereka adalah pada pejudian semata-mata sehingga
mengabaikan perkara-perkara lain. Lebih teruk lagi, mereka akan mengaitkan
segala yang berlaku sebagai nasib, kerana menganggap kehidupan adalah suatu
perjudian yang besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah
tidak logik. Mereka sentiasa mencari bantuan daripada alam ghaib untuk
kejayaan dalam hidup. Contohnya mereka mungkin membeli tangkal seperti 'batu
hikmat' untuk meningkatkan 'tuah' semasa berjudi.

Perjudian adalah perjudian. Menang atau kalah boleh berlaku secara mendadak
dan rambang. Lebih malang lagi, yang menang sedikit, yang kalah ramai. Kalah
judi ini pula mengundang berbagai-bagai perkara negatif - jiwa tertekan,
murung, panas baran, hilang perasaan malu, tidak mahu bercampur dengan
masyarakat, tidak mempunyai pendapatan tetap, sentiasa mengalami masalah
kewangan, terdorong untuk mencuri dan menipu, meminjam daripada 'along',
rumahtangga porak-peranda dan banyak lagi.

Benarkah hidup ini pun satu perjudian? Tidak. Sebenarnya hidup ini bukanlah
perjudian tetapi pengabdian; pengabdian kepada Tuhan sekalian alam. Jadi
kalau sudah begitu, sempurnakanlah pengabdian itu dengan mengikut segala
peraturan yang ditetapkan.

Yang mesti diingat, berjudi pasti mengundang kemurkaan Allah!

--

Kirim email ke