Maksiat kini berleluasa di Dataran Senawang. Adakah Jabatan Agama kekurangan 
kakitangan kerana pegawai mereka bertugas mengawasi kubur Abuya di Pilin dan 
Madrasah yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi di Kuala Pilah ? Juga sibuk 
mengawasi judi bolasepak tanpa lesen hinggakan kurang petugas mengawasi kedai 
judi berlesen yang tetap haram di pekan dan bandar seluruh N.Sembilan ?

Kaki judi dan kaki khalwat di Negeri Sembilan ini tahu agaknya pegawai Jabatan 
Agama hanya sibuk nak mengintip pengikut Abuya dan mereka yang ada kaitan bau 
bacang dengan Wahabi. Juga Jabatan Agama juga mungkin sibuk pantau khutbah di 
masjid terutama isu berkaitan Coca Cola yang tidak mengikut teks.

****************************
Asmara bawah lampu suram
Harian Metro 11 Jun 2010

2010/06/11 SEREMBAN: Pasangan remaja berusia belasan hingga 20-an dikesan 
menjadikan beberapa kawasan suram di Dataran Senawang, dekat sini, sebagai 
lokasi memadu kasih pada malam hari.

Antara lokasi tumpuan termasuk kawasan rumah kedai belakang sebuah pasar raya 
besar di Senawang dengan kebanyakan mereka melakukan aktiviti itu dalam kereta. 
Keadaan itu secara tidak langsung mengundang rasa kurang senang masyarakat 
setempat kerana ia boleh mempengaruhi orang lain melakukan aktiviti kurang 
sihat, tambahan pula pelbagai kegiatan tidak sihat lain seperti meminum arak 
dan berjudi turut berlaku di kawasan berkenaan.

Ketua Perhubungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Negeri 
Sembilan, Mohd Fadil Baharuddin, berkata berdasarkan intipannya mendapati tidak 
kurang lima pasangan memadu kasih dalam kereta di kawasan itu pada setiap malam.

Katanya, kebanyakan mereka melakukan kegiatan sumbang itu dipercayai 
membabitkan remaja berusia 20-an mahupun belasan tahun dan aktiviti itu dikesan 
mula aktif dari jam 11.30 malam hingga 3 pagi, terutama pada hujung minggu. 
“Saya mendapati empat pasangan memadu kasih di kawasan itu berikutan 
kedudukannya terlindung dan hanya diterangi cahaya samar lampu jalan mendorong 
mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat melakukan maksiat.

“Kami amat kesal dengan aktiviti tidak sihat terbabit kerana percaya mereka 
yang melakukan perbuatan itu pasangan Islam. “Malah, sebelum ini kami turut 
menerima beberapa aduan awam, terutama ibu bapa mengenai gelagat remaja mahupun 
pasangan kekasih tanpa segan silu melakukan perbuatan tidak bermoral,” katanya 
ketika ditemui.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri 
Sembilan (JHEAINS) membuat pemantauan lebih agresif di kawasan Senawang 
termasuk Dataran Senawang yang sering dijadikan tempat memadu kasih pasangan 
remaja. “Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka kerana perbuatan itu 
mencemarkan imej Islam. Saya amat berharap masalah ini mendapat perhatian 
kerana bukan saja boleh mencemarkan imej kawasan ini, malah jika tidak 
ditangani, kegiatan tidak sihat ini akan terus berleluasa. “PPIM sedia 
memberikan kerjasama kepada pihak terbabit bagi mengadakan operasi menahan 
mereka yang melakukan perbuatan itu,” katanya.

Penduduk, Jimi Rustam, 37, berkata kegiatan tidak sihat termasuk remaja memadu 
kasih pada malam hari di kawasan Bandar Baru Senawang sering diperkatakan orang 
ramai sejak pembangunan pesat bandar baru terbabit hingga menimbulkan keresahan 
penduduk.

Menurutnya, kegiatan itu perlu dipantau pihak berkuasa berkaitan bagi 
memastikan keruntuhan moral membabitkan golongan muda tidak terus berleluasa 
dan menjadi barah yang boleh merugikan masyarakat dan masa depan negara. “Saya 
menyokong jika kegiatan itu dapat dipantau sebelum menjadi lebih teruk kerana 
ia tidak boleh dibiarkan disebabkan akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” 
katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, berkata pihaknya 
mengalu-alukan kerjasama orang ramai melaporkan sebarang kegiatan maksiat 
membabitkan orang Islam.

http://www.hmetro.com.my/articles/Asmarabawahlampusuram/Article/




Kirim email ke