PETiKAN : Laman-Seri <http://laman-seri.blogspot.com/>
  Melayan suami 'anak
emak'<http://laman-seri.blogspot.com/2010/06/melayan-suami-anak-emak.html>

 <http://laman-seri.blogspot.com/2010/06/melayan-suami-anak-emak.html>

<http://3.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/TBmGUXSWLCI/AAAAAAAAEvQ/KW5RCGxQO0c/s1600/mommy-boy.jpg>LELAKI
biasanya menjadi 'anak emak' kerana lebih akrab dengan ibu berbanding bapa.

Assalamualaikum warahmatullah,

Siapa yang tidak pernah mendengar ungkapan ‘anak emak’...? Rasa-rasanya,
kita semua tahu apa yang dimaksudkan dengan ‘anak emak’ ini, ya. Memanglah
semua orang ada emak dan semuanya anak emak, tetapi bila disebut-sebut si
polan atau si polanah itu ‘anak emak’, semacam ada sesuatu yang
negatiftidak kena dengan si polan atau si polanah tersebut.

“KALAU ummie buat kari, sedap. Tapi kalau you yang buat I tak berapa
seleralah,” pedihnya telinga Hazimah sudah tidak terasa dek lali mendengar
ungkapan ‘semanis’ itu daripada bibir suaminya. Bagi dirinya ungkapan
sebegitu tidak lagi memberikan sebarang erti kerana kalau melenting, suami
akan mengadu kepada ibunya dan beliau pula yang mendapat malu nanti.
Nasiblah bersuamikan ‘anak emak’.

Pernahkah anda mengalami situasi seperti di atas? Bagaimana perasaan anda?
Silap haribulan, ada muka yang disimbah kari! Kui... kui... kui.... Harapan
saya, tidak pernah adalah lebih beruntung. Namun jika anda pernah
mengalaminya, harap dapat bersabar dan cuba habiskan artikel ini. Hari ini
saya hendak berceloteh berkenaan lelaki yang sudah bergelar suami sebenarnya
‘anak emak’! Jiwa wanita mana yang tidak tertarik dengan lelaki yang berbudi
penyayang, pemurah, bertimbang rasa, bertanggungjawab, ikhlas dan jujur.
Anda juga berkemungkinan besar jatuh cinta dengan lelaki apabila dia
memiliki sifat-sifat baik seperti itu.

Ke semua peribadi terpuji tersebut sudah tentunya terbentuk atas asuhan ibu
bapanya, malah didikan itu juga biasanya menyebabkan anak lelaki sangat
menuruti arahan dan permintaan keluarga terutama ibunya. Kisah anak lelaki
yang dikaitkan sebagai ‘anak emak’ bukan perkara baru. Segala-gala dilakukan
‘anak emak’ selalu ‘direportkan’ kepada ibu. Secara umumnya ‘anak emak’
dikaitkan dengan anak lelaki yang terlalu dimanjai ibu kerana 1,001 alasan.

Menurut Kaunselor Berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata ‘anak
emak’ boleh mendatangkan kesan positif apabila anak berkenaan mengambil
berat dan menghormati ibunya itu, sesuai zahirnya yang perlu
bertanggungjawab menjaga ibu apatah lagi sekiranya ketika itu beliau masih
belum mendirikan rumah tangga. Ia mungkin bukan masalah apabila lelaki masih
lagi bujang, bagaimanapun, konsep ‘anak emak’ boleh mendatangkan kesan
negatif dan konflik boleh terjadi apabila anak berkenaan sudah menjengah
alam rumahtangga dan menjadi seorang suami ‘anak emak’ kepada seorang
wanita. Alamak... tersilap pilih rupanya...
Tindakan suami menuruti segala permintaan ibu membuatkan si isteri acapkali
menjeruk rasa. Malah, ada rumahtangga yang berantakan, gara-gara tingkah
laku suami yang berlebih-lebihan mengikut telunjuk emak dia. Bukanlah maksud
saya hendak menyuruh suami menderhaka kepada emaknya sendiri, tetapi taat
kepada emak ibu pun ada batasnya. Taat kepada emak ibu bukan bermakna tidak
mengapa suami boleh nusyuz kepada isteri sendiri. Ingat tu!

Siapakah yang dikatakan suami ‘anak emak’ ini?

Menurut Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar
Md. Zain pula, mengikut teori Sigmund Freud, secara semulajadi anak lelaki
lebih cenderung bersama ibu manakala anak perempuan pula dengan bapa. Erk...
biasanya, bila kita sebut ‘anak emak’, istilah ini agak condong kepada kaum
lelaki. Mengapa? Seperti kata prof Dr. Azhar, ‘anak lelaki lebih cenderung
bersama emak/ibu', oleh sebab itu, secara naturalnya dapat dilihat
kebanyakan anak-anak lelaki lebih rapat dengan ibu sehingga berkongsi segala
masalah peribadi dan menjadikan ibu sebagai sahabat baik mereka... dan
lahirlah istilah ‘anak emak’.

Selain itu, suasana keluarga itu sendiri apabila bapa jarang sekali berada
di rumah atas urusan kerja menyebabkan kaum ibu perlu mengendalikan segala
permintaan anak sekaligus membina ikatan yang lebih akrab. Adakalanya
personaliti bapa yang garang, pendiam dan kurang mesra membuat anak lelaki
lebih selesa dengan ibu yang lemah-lembut.

Saya sendiri pernah mengenali beberapa orang lelaki yang dikatakan ‘anak
emak’. Apa yang hendak dilakukan, semuanya diminta pandangan emak/ibu. Sifat
begini sangat terpuji, tetapi ada kalanya agak merimaskan. Iyalah... kalau
sampai hendak beli ‘spentot’ pun kena tanya emak, haiya... syusahlah. Bukan
sahaja diri sendiri yang syusah, emak pun syusah nak menjawab... hik..
hik...

Tidak dinafikan, semasa anak lelaki masih bujang keakraban bersama ibu itu
mungkin tidak mengundang masalah, walau bagaimanapun, sebaliknya setelah
mendirikan rumahtangga, wanita baru dalam kehidupannya mungkin menyebabkan
suami perlu membahagikan perhatian.

Seorang lelaki yang bergelar suami seharusnya mengetahui cara terbaik untuk
membahagikan kasih sayang antara seorang isteri dan ibu. Lelaki juga perlu
jelas kepentingan yang patut diberi antara wanita yang dicintai dan wanita
yang disanjung tinggi dalam hidupnya.

<http://3.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/TBMPkiDXJfI/AAAAAAAAEsA/JUT5hWycCac/s1600/Melayan+suami+%27anak+emak%27.jpg>~
gambar hiasan ~

Kasih sayang yang salah boleh merosakkan

Menurut Kaunselor Berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh pula,
berdasarkan penelitian perkara ini boleh menimbulkan masalah dengan isteri
apabila si anak mula membandingkan perkara dilakukan isteri dengan ibunya,
seperti cara memasak, cara mengemas rumah dan sebagainya yang berlebihan
hingga menimbulkan kecil hati isteri.

“Kalau memuji dan membandingkan dengan berlebihan, si isteri akan rasa
kekurangan dan apabila berlaku, keadaan ini boleh menggugat keharmonian
rumah tangga kerana isteri mungkin berasa dirinya tidak berperanan dalam
rumah tangga,” katanya yang mengatakan beliau ada mengendalikan purata tiga
kes sebulan membabitkan isu berkenaan.

Katanya, anak emak berlaku dalam semua lapisan masyarakat dan lazimnya
dikaitkan dengan lelaki kerana anak lelaki dikatakan lebih pandai mengambil
hati ibu menyebabkan seorang ibu cenderung mengasihi anak lelaki.

Malangnya kasih sayang itu boleh merosakkan kerana anak lelaki dilayan
bagaikan raja, sedangkan anak perempuan dibebankan tugas yang berat. Malah
ada kalanya, kehendak anak lelaki diberikan sedangkan anak perempuan
terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Sedangkan perkara itu boleh mengundang masalah pada kemudian hari termasuk
generasi lelaki seterusnya yang tidak tahu tanggungjawab dan hidup
bergantung kepada orang lain.

“Anak emak tidak begitu menimbulkan masalah kalau bujang, yang menjadi
masalah ialah bila dia sudah berkahwin. Menangani anak emak ini, saya lihat
anak lelaki dan ibu berkenaan perlu berubah. Kalau si anak berlebihan
seperti terlalu bergantung kepada ibu dalam serba perkara, si ibu itu perlu
menegur dan menasihati anak berkenaan bahawa dia kini punyai keluarga baru
yang perlu diberikan perhatian, sementara anak itu pula perlu tahu
membahagikan kasih sayang itu dengan adil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akui ada segelintir ibu yang ‘tidak sedar atau sengaja’
mengambil kesempatan kerana kepentingan sendiri terutama apabila anak
menjadi sumber kewangan. Malah, dalam keadaan tertentu keakraban itu boleh
menggugat perkahwinan anaknya.

“Banyak juga kes saya kendalikan hingga membawa perceraian. Ada satu kes,
lelaki ini seorang anak emak. Disayangi kerana bijak sejak daripada sekolah
rendah hinggalah masuk universiti dan selalu mendapat keputusan yang
cemerlang. Apabila dia hendak berkahwin, namun si ibu memberi syarat supaya
kekal tinggal di rumah ibunya. Bagaimanapun isterinya enggan, lalu timbul
pergaduhan dan keengganan itu membawa kepada perceraian. Malangnya
perceraian itu menyebabkan anak lelakinya itu terus membujang dan serik
berkahwin lagi,” katanya.

Mengulas mengenai peranan bapa, Hushim tidak menafikan segelintir bapa
bersikap lepas tangan, malah langsung tidak menegur tabiat isteri dan anak
dengan kata lain isteri mendominasi sesebuah keluarga.

“Bapa seharusnya perlu tegas, terangkan bahawa anak lelakinya itu lambat
laun akan berkeluarga sendiri dan tidak akan menjadi seperti ketika masih
kanak-kanak lagi. Ibu boleh beri kasih sayang, tetapi biarlah
berpada-pada. Usah
sampai terjadi anak perempuan terasa hati, memanjakan anak lelaki tidak
bertempat hinggalah membasuh sebiji cawan pun dilarang yang mana kelak dia
akan menjadi seorang suami atau ayah yang mungkin tidak tahu memberi nafkah
kepada anak dan isteri,” katanya.

*INFO - Anda anak emak?*

   - Rapat dengan ibu berbanding bapa.
   - Berkongsi segala masalah daripada perkara kecil hingga ke yang besar
   dengan ibu.
   - Terlalu bergantung kepada ibu, malah ada yang inginkan bakal isteri 100
   peratus sama dengan ibu.
   - Sensitif dalam banyak perkara, malah kadangkala dilihat kurang ada
   keyakinan diri sekiranya perlu membuat sebarang keputusan.
   - Tidak terburu-buru mendirikan rumah tangga kerana ada ibu yang menjaga
   makan pakai.
   - Melebihkan ibu hingga menyebabkan kekasih atau isteri makan hati.


Bagi golongan isteri yang sukar menghadapi suami ‘anak emak’, beberapa tip
untuk memperbaiki keadaan dan menangani masalah agar tidak menggugat
kebahagiaan rumahtangga.

Tips # 1 - Kenali personaliti jejaka

Sebelum menjalin hubungan lebih serius kenali kekasih anda terlebih dahulu.
Seseorang wanita boleh memahami personaliti dan latar belakang lelaki itu
sewaktu bercinta lagi. Pada waktu itu, anda boleh melihat cara perbualan
atau kekerapan teman lelaki anda bercerita mengenai ibu atau ahli
keluarganya.

Jika anda boleh menerima situasi dia sebagai lelaki ‘anak emak’, maka anda
seharusnya belajar menerima situasi itu dari awal. Jika anda wanita yang
tidak dapat bertolak ansur dengan situasi tersebut, sebaiknya anda sudah
menamatkan hubungan itu daripada pergi terlalu jauh. Apabila anda memahami
lebih awal sifat tersebut, setelah berkahwin anda lebih mudah menyesuaikan
diri dengan situasi itu.

Tips # 2 - Memberitahu perasaan

Elakkan naik berang atau pun cemburu tatkala suami lebih memberi tumpuan
kepada ibunya. Ini akan membuatkan dia berasa tertekan dan mendorong kepada
keretakan hubungan indah suami isteri.

Cuba beritahu suami apa yang boleh dia lakukan untuk menunjukkan kejujuran,
kasih sayang dan keikhlasan dirinya kepada anda. Misalnya, anda berkecil
hati apabila terdengar kata-kata sinis dan aduan ibu mertua kepada suami
tentang diri anda. Jangan merajuk sebaliknya beritahu kepada suami supaya
meminta ibunya berterus-terang dengan anda. Bercakap secara berhadapan boleh
mengelakkan syak wasangka. Dengan ini, suami tidak perlu menjadi orang
tengah untuk menyelesaikan masalah.

Tips # 3 - Terbuka dan positif

Apabila anda berfikiran terbuka dan positif, segala tindakan sama ada suami
mahupun ibu mertua tidak menjadi masalah besar. Amalkan sikap lebih bersabar
dan berdoa agar dapat mengharungi segala masalah dengan tenang. Ibu mertua
juga semakin lanjut usia, sudah tentu dia juga inginkan perhatian dan berhak
ke atas anak lelakinya. Apabila anda berfikiran begitu, soal kepentingan dan
kasih sayang yang utama jarang timbul dalam diari kehidupan yang indah ini.

Tips # 4 - Jalin hubungan baik

Layanlah ibu mertua seperti ibu sendiri anda. Sungguhpun teguran dia
kadangkala menyinggung perasaan tetapi jangan lupa tanpa didikan serta
pengorbanan wanita tersebut mungkin tiada suami yang tercinta itu.

Berusaha mengambil hati ibu mertua dengan menghadiahkan aksesori barangan
kemas pada hari jadinya atau pun merancang majlis untuk hari istimewanya.
Lebih manis lagi, berikan sedikit duit saku setiap bulan atau membawa ibu
mertua ke pusat beli-belah dan ke spa supaya dia tahu anda menghargai
dirinya.

Jika ada sesiapa yang mempunyai tips hebat, jangan lupa kongsikan tips anda
di Laman-Seri <http://laman-seri.blogspot.com/>.

Semoga bermanafaat!

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke