Ada lagi kes macam ni. Ingatkan zaman saya kecil-kecil dulu. Walaupun dalam 
berita tak di sebut orang UMNO dengan orang PAS, kemungkinan itu ada. Kalau nak 
ulas isu ini, siapa bersalah, siapa benar, sampai bila-bila pun tak habis. 
Masing-masing akan bawa hujah masing-masing. Kalau nak saman ke mahkamah pun, 
akan memakan masa bertahun-tahun. Mudah sahaja, nak selesai, atau tak nak 
selesai, itu sahaja.

Kepada ulama-ulama veteran dalam UMNO dan PAS, cubalah turun padang, selesaikan 
isu ini dengan cara baik.

Nak sangat bertumbuk, dua-dua pihak daftar sebagai sukarelawan bantuan ke 
Palestin, baru tahu langit tinggi rendah.

Kepada pihak yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, baik jangan masuk 
campur. Berdoa sahaja agar Allah memberi petunjuk kepada mereka dan kita semua.

*****************
JEMAAH BERTUMBUK DALAM MASJID
Sinar Harian 1 Julai 2010

PERNU – Hanya kerana disangka menutup lampu masjid, seorang lelaki dibelasah 
beberapa jemaah lain di Masjid Bukit Pegoh, di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku sebelum solat Maghrib apabila mangsa, berusia dalam lingkungan 
37 tahun itu disergah seorang jemaah yang berusia 20an yang baru tiba.

Mangsa yang memegang jawatan ahli jawatankuasa masjid itu belum menyalakan 
lampu masjid kerana hari masih siang, tetapi dipercayai memadamkan lampu.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan menyerang jemaah itu selepas 
menyergah mangsa dengan pertanyaan "kenapa kau tutup lampu masjid?".

Mangsa kemudiannya diserang bertubi-tubi dan cuba melawan untuk mempertahankan 
diri sebelum seorang lagi jemaah yang juga ‘orang kuat’ masjid itu turut sama 
menyerang dengan mengetuk kepala mangsa dengan lampu suluh.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku campur tangan jemaah lain yang 
menyokong kedua-dua pihak berkenaan sehingga bertukar menjadi ‘medan gusti’ 
sambil disaksikan lebih 60 jemaah.

Akibat kejadian itu, mangsa dan beberapa jemaah terbabit mengalami lebam lebam.

Sumber berkata, kejadian itu ada kaitan dengan pemecatan salah seorang imam 
masjid itu beberapa bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah 
mengesahkan kejadian itu.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7889457.asp

JEMAAH BUKIT PEGOH DILEMA SOLAT DUA IMAM
Berita Harian 10 Mei 2010

JASIN: Ahli jemaah kariah Masjid Bukit Pegoh di Pernu, dekat sini, bagaikan 
dalam dilema apabila mereka berhadapan situasi melakukan solat berimamkan dua 
imam, sejak awal April lalu, dipercayai akibat perbezaan fahaman politik.

Pengerusi masjid berkenaan, Md Jani Gembor, 65, berkata perselisihan faham 
antara imam masjid itu yang dilantik Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dengan 
seorang imam muda berusia 28 tahun bermula tahun lalu. Beliau mendakwa, bukan 
sekadar mengajar ilmu agama tanpa tauliah sejak setahun yang lalu, imam muda 
itu juga seolah-olah menghasut dengan mengatakan Imam 1 masjid terbabit tidak 
layak menjadi imam. Katanya, menyedari imam muda itu mengajar tanpa tauliah, 
kariah masjid memintanya untuk mendapatkan tauliah terlebih dulu daripada 
Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

"Pada awal tahun ini, kita memintanya mendapatkan tauliah mengajar agama tetapi 
dia enggan, malah pengikutnya seramai kira-kira 15 orang hingga 20 orang 
memarahi kami.

"Berikutan itu, pada 1 April lalu, ahli kariah masjid membuat laporan kepada 
Jaim dan sejak itu imam muda bersama pengikutnya melakukan solat dua imam di 
masjid ini," katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Md Jani berkata, imam muda dari Masjid Tanah itu bersama 
pengikutnya akan datang sebelum masuk waktu solat lima waktu, namun akan 
melihat dan menunggu di saf belakang sehingga solat selesai dan selepas itu, 
barulah beliau mengimamkan solat.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JemaahBukitPegohdilemasolatduaimam/Article/index_html

SEJARAH MASJID BUKIT PEGOH

Masjid Bukit Pegoh asalnya adalah sebuah surau dibawah naungan Masjid Pernu. 
Setelah bertambahnya bilangan penduduk dalam Kg. Bukit Pegoh dan Bukit Larang 
berlakulah persempadanan semula kawasan kariah dan wujudlah kawasan Kariah 
Masjid Bukit Pegoh. Bangunan surau telah dinaikkan  taraf menjadi masjid dengan 
sedikit pengubahsuaian  tetapi ianya masih bangunan kayu. Dalam tahun 1973 
sekali lagi bangunan masjid ini telah dinaikkan taraf dan diubah menjadi  
bangunan batu. Bangunan ini masih berdiri diatas tapak asal masjid lama dan 
telah disempurnakan  perasmiannya oleh Y.B. Tun Abd. Ghaffar Baba dalam bulan 
September 1973.

Setelah lebih 30 tahun berlalu dan bilangan penduduk dalam kawasan kariah 
bertambah, usaha-usaha untuk membesarkan masjid mula dijalankan. Pada bulan 
Ogos 2003 pihak lembaga  Masjid telah mengemukakan permohonan kepada Perdana 
Menteri bagi meminta peruntukan sebanyak RM600,000 bagi tujuan mengubahsuai dan 
membesarkan masjid. Di akhir tahun 2004 pihak Jabatan Perdana Menteri telah 
mengeluarkan arahan kelulusan peruntukan yang diminta.

Setelah beberapa perubahan dibuat pada pelan yang dikemukakan maka akhirnya 
nilai sebenar semasa kos pembinaan dan pengubahsuaian telah meningkat melebihi 
RM780,000. Setelah dikeluarkan tender Syarikat Epilog Bina Sendirian Berhad 
telah berjaya memperolehi tender tersebut dengan nilai RM732,075. Tarikh 
penyerahan tapak telah dilakukan pada 17 Julai 2005 dan pembinaan masjid 
dijangka siap pembinaannya dan diserahkan kepada pihak Lembaga Masjid pada 2 
Disember 2005.

http://www.al-azim.com/~bukitpegoh/sejarah.htm





Kirim email ke