SSM Jejaki Bapa dan Anak Bantu Siasatan Skim Pelaburan
Khamis Julai 8, 2010

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang berusaha menjejaki 
seorang bapa dan anaknya bagi membantu siasatan terhadap sebuah syarikat yang 
dikatakan gagal memberikan pulangan keuntungan kepada pelabur sepertimana yang 
dijanjikan selepas tamat tempoh matang.

Pegawai Perhubungan Awam SSM Mohamad Shahren Mohamad Yusri dalam satu kenyataan 
berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menjejaki Manoharan a/l 
Kandan, 48, dan anaknya M.Kesavanmahe, 22, yang beralamat di No 1071 Jalan 
Lavender Heights 24, Taman Lavender Heights, Negeri Sembilan.

Beliau berkata syarikat berkenaan, Mahekhamay Agrotech Farms Group, disiasat 
berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai terhadap skim pelaburan 
penternakan lintah yang ditawarkannya.

Katanya, kebanyakan pelabur mendakwa mereka gagal memperolehi semula wang 
pelaburan serta pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan selepas tamat 
tempoh matang.

"Pelabur gagal mengesan dan menghubungi penganjur skim pelaburan itu, siasatan 
dijalankan di bawah seksyen 366 (1) dan 363 (3) Akta Syarikat 1965," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mengetahui lokasi, alamat dan nombor telefon 
terkini kedua-dua lelaki itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat SSM Encik 
Luqman Baharam di talian 03-22995381 atau Pegawai Pegawai Penyiasat Kanan SSM 
Encik Baharudin Atan di talian 03-22995347. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/7/8/mstar_berita/20100708215802&sec=mstar_berita

***********************

Sindiket pelaburan kebas duit

Sinar Harian 21 Jun 2001

SEREMBAN – Dengan bertopengkan skim pelaburan berasaskan projek ternakan 
lintah, seorang lelaki dan anaknya berjaya memperdayakan kira-kira 3,000 mangsa 
di seluruh negara serta membawa lari wang tunai dianggarkan RM40 juta.

Lelaki terbabit, 50an, dan anaknya berumur sekitar 20an dipercayai mengaburi 
mata mangsa dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda nilai pelaburan dalam 
tempoh enam bulan.

Skim pelaburan putar alam itu dikendalikan menerusi sebuah syarikat beroperasi 
awal 2008 hingga tahun lalu dan mempunyai ibu pejabat di bandar ini, selain 
beberapa cawangan di negeri lain.

Akibat kegiatan penipuan itu, mangsa melibatkan masyarakat pelbagai kaum 
termasuk orang kenamaan mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM1.5 juta.

Seorang mangsa, Mohamad Halim Husnan, 40, dari Seremban, berkata, ramai yang 
terpedaya kerana publisiti meluas skim itu di sebuah akhbar pada awal 2008.

“Syarikat terbabit menjanjikan pulangan kira-kira RM12,500 bagi setiap RM5,000 
dilaburkan selepas enam bulan bagi projek menternak lintah. Lebih banyak jumlah 
dilaburkan, lebih tinggi nilai pulangan.

“Pada dua bulan pertama, memang ada pelabur yang mendapat sedikit pulangan. 
Namun, bagi bulan-bulan berikutnya, kami tidak menerima walau satu sen pun,” 
katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan kira-kira 150 mangsa penipuan 
skim berkenaan di Rasah dekat sini, semalam.

Dia yang mempengerusikan majlis perjumpaan itu berkata, pelabur mengesyaki 
ditipu cuba meminta wang dikembalikan, tetapi gagal kerana syarikat didapati 
tidak beroperasi dan pejabatnya disita.

Kata Mohamad Halim, dua lelaki terbabit dan semua ahli keluarga mereka tidak 
dapat dikesan serta terdapat kemungkinan mereka melarikan diri ke luar negara.

Beliau mendakwa, kegiatan penipuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi 
sehingga kini, semua mangsa tidak pasti tentang tindakan susulan diambil.

“Pada perjumpaan hari ini (semalam), kami sepakat untuk mengemukakan memorandum 
kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri 
Ismail Sabri Yaacob di Parlimen, 30 Jun ini.

“Selain itu, kami akan melantik peguam supaya tindakan undang-undang diambil 
terhadap semua pemilik syarikat berkenaan,” katanya.

Mohamad Halim yang kerugian RM20,000 berkata, dipercayai masih ramai mangsa 
penipuan skim pelaburan ternakan lintah itu belum tampil membuat laporan dan 
meminta mereka menghubunginya di talian 012-3848840.

Sementara itu, mangsa, S Magindran, 45, dari Rawang, Selangor, berkata, dia dan 
dua rakannya menyertai skim terbabit untuk menambah pendapatan.

Bagaimanapun, kata Magindran, hasrat itu tidak kesampaian malah menyebabkan 
mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7849082.asp

***********************

Mahen ‘tawan’ lintah

SEREMBAN 22 Dis. – Apabila sebut lintah, ramai yang geli dan tidak kurang pula 
yang menutup telinga kerana tidak mahu mendengar kisah ‘si penyedut darah’ ini.

Tetapi jika kita terus bersembang dan bercerita mengenai lintah, ia akan 
membuatkan anda merasa terpukau, terpegun dan tidak kurang juga yang balik ke 
rumah memikirkan cara untuk melabur dalam sektor pertanian melalui penternakan 
lintah.

Inilah yang dibuktikan seorang pemuda apabila menjadikan usaha menternak lintah 
sebagai pendapatan lumayan selepas menyedari ia cukup berpotensi untuk pasaran 
domestik dan antarabangsa.

Mahekhamay Agrotech Farms (MKAF), syarikat yang membekalkan dan menjalankan 
perniagaan lintah, kini terus mendapat permintaan di dalam dan luar negara.

Menurut pengusahanya, M. Mahen, perniagaan berasaskan lintah ini mula diceburi 
sejak dua tahun lalu dan setakat ini syarikatnya memiliki 3,000 tangki lintah 
untuk dibekalkan kepada penternak di seluruh negara.

Tambahnya, walaupun ada sesetengah individu yang berasa geli dengan haiwan ini 
apatah lagi untuk menternaknya, namun di negara barat bidang ini sudah lama 
diterokai.

Ini kerana pengamal perubatan moden menggunakan air liur lintah yang dipanggil 
hirudin untuk rawatan pembedahan dan kosmetik.

”Saya rasa penglibatan saya dalam industri penternakan lintah ini amat berbaloi 
selain mendapat pasaran yang begitu meluas.

”Setakat ini pasaran lintah berjaya menembusi Singapura dan permintaan 
menggalakkan berikutan setiap bulan kira-kira 4.5 juta ekor lintah dieksport ke 
negara itu.

”Jadi apabila ternakan ini dibuat secara serius di negara ini, ia nyata memberi 
pulangan pendapatan yang baik ditambah pula faktor cuaca di negara yang 
sesuai,” katanya.

Mahen memberitahu, ternakan secara berskala kecil melibatkan modal sekitar 
RM5,230 bagi satu tangki poli bersaiz 2.5 kaki x 3.5 kaki yang menempatkan 
2,000 ekor lintah.

”Biasanya proses dari pembesaran lintah sebelum ia sesuai dijual memakan masa 
enam bulan dan saiznya sekitar tiga hingga empat inci.

” Selepas tempoh itu, hasil pendapatan yang bakal diterima oleh penternak pula 
dianggarkan RM15,000,” katanya.

Mahen turut menjelaskan, lintah tidak memerlukan penjagaan khusus kerana ia 
hanya perlu diberi makan darah ikan keli atau belut seminggu sekali selain 
memastikan sistem cahaya dan pengudaraan cukup.

”Ia mudah kerana tidak perlu kerap tukar air dan ia boleh membiak dari semasa 
ke semasa. Kerjanya mudah kerana perlu bagi lintah makan seminggu sekali,” 
ujarnya.

Mahen memberitahu, pihaknya juga turut memberi taklimat dan lawatan tapak 
secara percuma kepada mereka yang berminat untuk menjadi penternak.

Selain dari itu, pihaknya turut menyediakan pakej kepada mereka yang berminat 
untuk memulakan perniagaan berskala kecil dan besar.

”Untuk skala kecil, mereka boleh menggunakan satu atau dua tangki dan jaga 
dibelakang rumah atau laman sendiri.

”Bagi mereka yang mahu berskala besar lebih daripada 50 tangki, MKAF juga 
menyedia bantuan teknikal untuk tangki-tangki tersebut,” katanya.

Jelas Mahen, pengusaha juga tidak perlu bimbang mengenai bagaimana untuk 
memasarkan lintah apabila cukup tempoh kerana MKAF sendiri boleh membantu.

”Syarikat itu akan membeli semula lintah-lintah yang diternak oleh mereka,” 
katanya.

http://syukrilan.wordpress.com/2009/01/08/tawan-lintahmerasa-terpukauternakan-berskala-kecil/




Kirim email ke