Salam..
Sharing is caring…
Malaikat Kecil – Tapi Ayah, Adakah Manusia Tidak Masuk Neraka Jika Hari Hujan?
http://www.kapasito r.net/community/ post/3637
Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di
Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar
untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan
ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar
untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar
rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.


Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah
bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa
telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya
membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah
manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan
nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya
teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku
ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini
berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan
risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.


Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah
padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang.
Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk
diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia
berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan,
dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi
dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada
jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada
sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis
loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian
seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia
menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan.
Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak,
wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu
berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya
ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik.
Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini.
Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita
dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik.
Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga
Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama
seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang
ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara
seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang
berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari
Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir
langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang
lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia
ini."

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah
bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya
mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya
ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian
berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher
saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah
hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di
tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan
pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin
kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk
pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini
yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak
berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi
ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung
rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya
seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak
itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama
mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat
comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi
dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku
bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup
pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku
tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan
kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri
datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak
kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah
terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.


Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka
melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah
kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat
kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak
ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta
ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan
terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..


Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini
sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk
umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup
seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.


Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita
dalam semua perkara yang kita buat.


Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;

“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu)
dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab
itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu
takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama
kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan
(memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan
dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani"
 



      

Kirim email ke