Bercerita tentang ulangkaji Ramadhan ini agak seronok juga. Maklumlah Ramadhan
menjenguk kita saban tahun. Saya teringat cerita kebanyakan ustaz mengenai
melatih beruk memetik kelapa. Beruk merupaka haiwan yang bukan tahu sangat
dengan bahasa manusia apatah lagi arahan dan suruhan. Namun setalah menjalani
latihan tak sampai setahun (atau setahun lebih bagi yang degil sangat), akhirnya
beruk-beruk yang dilatih dalam jangka masa tersebut dapat memahami bahasa
manusia dan boleh disuruh memetik kelapa muda dan kelapa tua. Sebodoh-bodoh
beruk boleh juga dilatih menjadi pemetik kelapa yang bagus dalam tempoh satu
tahun.


Setelah itu, ditemplak pula kepada manusia yang dilatih setiap sebulan dalam 12
bulan supaya menjadi manusia baik. Dalam Ramadhan seorang itu boleh menjadi
baik- tak mengumpat atau cakap buruk, rajin solat termasuk solat tarawikh
sebanyak 20 rakaat semalam (tidak termasuk yang 5 fardhu dan sunat lain), suka
menderma dan bersedekah dan lain-lain sifat yang baik dapat ditonjolkan
sepanjang sebulan Ramadhan. Malah dia menjadi manusia yang hebat disisi agama
atau Islam. Yang peliknya selepas Ramadhan di balik kepada asalnya. Dalam
sekelip mata di jadi baik, dalam sekelip mata dia balik kepada mulanya sebelum
Ramadhan. Begitulah setiap tahun. Yang makin meriah setiap tahun ialah bazar
Ramadhan dan juga solat tarawikhnya.


Jadi, apalah sangat yang hendak diulangkaji. Ramadhan tetap berulang setahun
sekali. Begitulah seterusnya tahun demi tahun sehingga masing-masing sampai ke
ajal masing-masing dan tradisi tersebut terus disambung oleh mereka yang masih
ada. bagi sesetengah lebih suka meriahkan masjid dengan tarawikhnya dan ada yang
lebih suka meriahkan bazar Ramadhan. Hanya dua perkara ini saja yang ketara
dalam  musim Ramadhan. Hilang Ramadhan, hilanglah ia. Dah tak ada dah yang suka
solat sunat 8 atau 20 rakaat di masjid-masid atau surau-surau selepas Isyak.
Pada satu ketika dulu kita digamatkan dengan wabak kiamullail yang berpindah
dari masjid ke masjid. Tak tahulah apa sebenar yang dicari atau yang masih
tercari-cari. Hari Raya Aidilfitri macamana pulak? Sekarang masyarakat kota
menyambutnya sebulan penuh 30 hari dalam Syawal. Ini pun mungkin perlu ada
ulangkaji juga agaknya. Tak disambung lagi dengan kenduri kahwin yang semakin
menjadi pesta hebat. Adakah umat Islam di negara kita ini semakin
hebat? Bagaimana ya? I think something, somewhere is not right lah. Semoga Allah
memberi Rahmat kepada kita semua.

Wallahu a'lam.


.



Kirim email ke