Pemuda PAS promosi ‘nikah gantung’ atasi masalah buang bayi
KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen nikah 
khitbah atau nikah “gantung” - pasangan yang berkahwin tidak perlu tinggal 
bersama jika masih tidak mampu - sebagai salah satu cara mengatasi masalah 
membuang bayi.

“Nikah khitbah atau nikah gantung ini kita anggap dapat selesaikan masalah 
sosial.

“Ia sama macam nikah biasa cuma pasangan tidak tinggal bersama selepas nikah 
atas sebab tertentu seperti tidak mampu atau masih belajar,” kata Ketuanya 
Nasrudin Hassan Al-Tantawi di sini.

Beliau menambah menariknya bagi mereka yang telah bernikah gantung ini ialah 
tidak perlu risau setelah terlanjur kerana sudah pun bernikah.

“Mereka boleh bergaul secara halal dan kalau mengandung pun tidak akan panik 
lalu membuang bayi,” kata beliau merujuk kepada masalah pembuangan bayi yang 
menjadi polemik sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun beliau berkata, nikah “gantung” ini dianjurkan untuk mereka yang 
berusia 18 tahun ke atas atau pelajar universiti dan bukannya seperti cadangan 
perkahwinan bawah umur yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.

Kes buang bayi dan masalah kehamilan luar nikah di kalangan pelajar semakin 
menjadi sehingga membuatkan pelbagai pihak memberikan pandangan bagi mengatasi 
masalah ini.

Kerajaan Negeri Melaka telah membenarkan perkahwinan awal bagi remaja bawah 
umur yang berkemampuan berkahwin serta menubuhkan sebuah sekolah khas untuk 
pelajar hamil.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merumuskan bahawa lebih 80 peratus mereka 
yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.

Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di 
mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu.

Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun 
berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).

Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mencadangkan agar kerajaan pusat menubuhkan 
segera Suruhanjaya Sosial Negara bagi menangani masalah kebejatan sosial di 
kalangan golongan negara ini.

Nasrudin berkata peranan suruhanjaya ini adalah selaras dengan perjuangan PAS 
iaitu mencegah kemungkaran dan gunakan cara Islam sebagai jalan penyelesaian.

“Suruhanjaya ini adalah untuk menangani perkara-perkara yang melibatkan 
penyakit sosial seperti dadah, jenayah, keruntuhan akhlak, masalah remaja, 
serta media massa yang sebahagiannya tidak bertanggungjawab menyiarkan cerita 
tidak sopan yang membawa kepada gejala sosial,” katanya.

Dewan Pemuda itu juga meminta kerajaan menilai penggunaan perundangan syariah 
sebagai alternatif usaha membanteras masalah sosial ini.

Nasrudin berkata perundangan syariah ini menggunakan kaedah menyeluruh dari 
segi pendidikan, kawalan pencegahan dan perlaksanaan, bukannya hanya tertumpu 
dari sudut hukuman semata-mata dan tidak memaksa penganut agama lain.

“Undang-undang dan peraturan syariah bukan semata-mata terhenti ke atas hukuman.

“Ia terlibat dalam kawalan, pencegahan dan sebagainya. Bagi bukan Muslim, kita 
serahkan kepada undang-undang agama mereka jika ada dan jika mereka nak ikut, 
tiada masalah,” ujar beliau.

Menurut Nasrudin PAS, akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan 
(NGO) Islam lain bagi mengadakan Konvensyen Sosial Negara pada November ini 
bagi mengeluarkan satu deklarasi mengenai masalah sosial di kalangan muda 
negara ini.

 
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemuda-pas-promosi-nikah-gantung-atasi-masalah-buang-bayi/




Kirim email ke