BH Edisi Internet

Kabinet terima petisyen kaum Cina

KUALA LUMPUR, Rabu - Kabinet menerima kandungan petisyen pertubuhan masyarakat Cina bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana ia tidak mengenakan sebarang syarat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata mesyuarat Jemaah Menteri kini memandang positif petisyen 'Hua Tuan' yang mengandungi 17 perkara dikemukakan oleh persatuan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata satu delegasi khas dianggotai pemimpin kanan MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), menemui persatuan Cina berkenaan untuk membincangkan kandungan petisyen terbabit.

"Saya menjelaskan kepada Jemaah Menteri hari ini bahawa petisyen itu lebih bersifat rayuan tanpa syarat kepada kerajaan, yang merangkumi perakuan ke arah pembinaan negara.

"Selepas mendengar penjelasan itu, Kabinet memutuskan untuk tidak menolak petisyen berkenaan sebaliknya mengarahkan dialog positif diadakan dengan persatuan terbabit," katanya kepada pemberita selepas menghadapi mesyuarat Kabinet di pejabatnya, di sini hari ini.

Sabtu lalu, Dr Ling yang juga Menteri Pengangkutan, dilaporkan berkata beliau akan menjelaskan kepada Kabinet berhubung pendirian MCA mengenai petisyen itu.

Terdahulu ketika mengulas petisyen berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat tidak menekan kerajaan untuk mendapatkan apa yang mereka perlukan.

Dr Ling berkata, sesi dialog dengan wakil pertubuhan Cina itu akan diadakan esok. Antara pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) yang dijangka menghadirinya termasuk Timbalan Presiden SUPP, Datuk Law Hieng Ding; Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Beliau berkata, jika perbincangan itu didapati mendatangkan hasil positif, ia boleh diperluaskan untuk merangkumi Majlis Perundingan Ekonomi Negara II (Mapen II).

"Kerajaan turut sama-sama mengiktiraf pelbagai prinsip yang terkandung dalam petisyen itu. Ada yang berbentuk jangka pendek, dan ada yang berbentuk jangka panjang," katanya.

Kirim email ke