BERITA MALAYSIA


September 27 , 1999 20:24PM

 

PEGUAM ANWAR MAHU HAKIM TARIK DIRI DENGAR KES LIWAT

 

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung hari ini di Mahkamah Tinggi di sini dengan peguam bekas timbalan perdana menteri itu meminta hakim supaya melucutkan kelayakan dirinya untuk mendengar kes itu kerana beliau pernah menjadi rakan perniagaan anak Perdana Menteri hampir 10 tahun yang lalu.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata Hakim Datuk Arifin Jaka tidak sepatutnya terus mendengar kes itu kerana perhubungannya dengan Mirzan Mahathir semasa kedua-dua mereka menjadi pengarah dan pemegang utama saham Dataprep Holdings Bhd.

"Terdapat kebimbangan atau rasa syak bahawa Yang Arif mungkin bersikap berat sebelah, walaupun kami (pasukan pembela) tidak mendakwa Yang Arif berat sebelah," katanya.

Karpal Singh berkata Arifin sepatutnya membuat pendedahan mengenai "hubungannya dengan anak PM" selepas beliau dilantik sebagai hakim bagi kes itu atau sebelum perbicaraan dimulakan.

"Sekiranya pendedahan itu tidak dibuat pada permulaan perbicaraan, kita boleh membangkitkan perkara itu walaupun pada peringkat ini," katanya pada hari ke-53 perbicaraan yang disambung selepas Anwar disahkan layak menghadiri perbicaraan itu oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Anwar dimasukkan ke HUKM pada 10 Sept lepas setelah mendakwa keracunan arsenik.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, didakwa meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada pukul 7.45 malam, antara bulan Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga didakwa bersubahat dengan Anwar yang juga bekas menteri kewangan, untuk melakukan kesalahan itu terhadap Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di tempat dan pada masa yang sama.

Karpal Singh juga mengemukakan kepada mahkamah senarai pemegang saham dalam Dataprep yang diambil daripada sebuah prospektus.

Menurut senarai itu, Arifin memiliki 87,941 unit saham Dataprep manakala Mirzan memegang 381,597 unit saham syarikat itu.

Karpal Singh juga memberitahu mahkamah bahawa perkara itu mempunyai signifikan kerana bapa Mirzan, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebagai perdana menteri, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim.

"Orang yang bertanggungjawab melaksanakan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya adalah perdana menteri," katanya.

Apabila Karpal Singh berkata memang diketahui umum bahawa Dr Mahathir telah memberi kata dua kepada Anwar sama ada meletakkan jawatan atau menghadapi pertuduhan, Arifin mencelah dan berkata bahawa tidak ada bukti seumpama itu dinyatakan di mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mendesak bahawa ia dibangkitkan dalam perbicaraan rasuah Anwar sebelum ini, dan oleh itu, Arifin harus mengambil perhatian berhubung perkara itu kerana ia boleh menimbulkan rasa syak bahawa beliau mungkin berat sebelah.

Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah dalam perbicaraan rasuah itu.

Arifin berkata, "dari segi apa yang berat sebelah?" dan Karpal Singh menjawab," Saya tidak berkata bahawa Yang Arif berat sebelah, tetapi ada kemungkinan umum mungkin menganggap Yang Arif berat sebelah."

"Kamu membuat andaian ini kerana saya pada suatu ketika dahulu berada dalam sektor swasta dan mempunyai kedudukan dalam syarikat ini, yang dikaitkan dengan Mirzan Mahathir, iaitu anak perdana menteri, dan bahawa kini terdapat keraguan mengenai kesaksamaan saya dalam perbicaraan ini dan rasa syak melakukan keputusan berat sebelah. Adakah ini yang dimaksudkan? Kamu sudah banyak bercakap." kata Arifin.

Bagaimanapun, Karpal Singh berkata hakikatnya adalah terdapat perhubungan perniagaan di antara Arifin dan anak perdana menteri.

"Yang Arif harus melucutkan kelayakan diri walaupun perbicaraan ini telah berada di peringkat ini," katanya.

Karpal Singh juga menggesa hakim supaya menimbangkan perkara itu dengan teliti kerana beliau terlibat secara peribadi.

"Tidak wajar ada rasa syak di fikiran orang ramai bahawa perbicaraan itu telah dicemari," katanya.

Peguam Sukma, Gobind Singh Deo yang menyokong penghujahan Karpal Singh mengenai perkara itu, berkata mereka terkejut dengan pendedahan itu kerana ia merupakan satu perbicaraan bersama dan keputusan mahkamah turut mempunyai kesan kepada anak guamnya.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, beiau "terkejut dan kesal dengan kelakuan Karpal Singh kerana membangkitkan permohonan ini (untuk melucutkan kelayakan hakim)."

"Ini tidak dibuat berdasarkan semangat tulen sebagai pegawai mahkamah tetapi mempunyai unsur niat jahat oleh pihak pembela," katanya.

Mohtar berkata dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara beliau tahu bahawa apabila seseorang hakim, terutamanya daripada sektor swasta dilantik, beliau diminta meletakkan semua jawatan berhubung perniagaannya dan pelantikan lain yang mungkin menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas-tugas perundangan.

Mohtar berkata Mirzan, Dataprep dan Dr Mahathir bukan pihak dalam kes liwat itu dan "hubungan Arifin" dengan anak perdana Menteri semasa beliau menjadi peguambela dan peguamcara tidak penting.

Pada peringkat ini, Karpal Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguambela akan memanggil perdana menteri sebagai saksi mereka.

Mohtar berkata isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada hubungan ini mungkin menjejaskan kebebasan dan kesaksamaan hakim dan sama ada terdapat kemungkinan berlaku berat sebelah oleh hakim dalam kes itu.

Beliau juga berkata mahkamah perlu menimbang sama ada perkara itu boleh mencetuskan kebimbangan dan rasa syak di kalangan umum dan bukan pihak-pihak yang berkepentingan seperti ahli politik, penyokong reformasi, BN mahupun PAS.

Ketika Mohtar hampir menamatkan penghujahannya, seorang lagi peguam Anwar, Christopher Fernando memaklumkan kepada mahkamah bahawa Anwar "tidak sihat."

Ketika ditanya Arifin, Anwar memberitahu mahkamah bahawa "kepala saya sakit, badan demam".

Sebelum Arifin menangguhkan perbicaraan sehingga esok, Karpal Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan membuat permohonan untuk memanggil semula Azizan sebagai saksi.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke