KENYATAAN MEDIA (28 SEPTEMBER 1999)

CAMPUR TANGAN KUASA ASING JEJAS KESELAMATAN ASEAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk keras campur tangan kuasa asing seperti AS dan Australia di Indonesia sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman rantau ini. Tekanan politik yang dilakukan oleh dua buah negara ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha Barat untuk melebarkan lagi pengaruh politik mereka ke rantau yang aman dan mempunyai potensi ekonomi yang besar seperti Asia Tenggara.

Tindakan angkuh Barat yang berlagak seperti polis dunia ini tidak akan membawa ASEAN kemana-mana melainkan terperangkap di dalam kemelut yang lebih dahsyat. Tidak mustahil suatu hari nanti rantau ini akan mengalami nasib yang serupa dengan Botswana dan Rwanda yang pernah di peralatkan oleh kuasa Barat jika camur tangan ini tidak disekat dengan segera.

DPP Pusat mendesak negara-negara ASEAN agar bertindak tegas terhadap perkembangan politik yang sedang berlaku di Indonesia. Tragedi ini bukan sahaja mendedahkan ASEAN kepada perpecahan politik bahkan juga mendorong kepada kelembapan ekonomi dan campur tangan asing. Konsep rantau aman, bebas dan berkecuali (ZOFPAN) mesti dipraktiskan ketika kegawatan politik serantau sedang berlaku ini. Sewajarnya permasalahan dalaman ASEAN diselesaikan secara dalaman tanpa gangguan angkuh kuasa asing.

DPP Pusat lebih melihat bahawa kecenderungan Barat untuk campur tangan di rantau ini adalah berpunca daripada kebangkitan memdadak gerakan Islam dan telah mendapat sokongan massa terutama di Malaysia dan Indonesia. Barat terpaksa campur tangan berikutan kegagalan kerajaan yang memerintah yang selama ini menjadi proksi mereka untuk membendung kebangkitan tersebut.

DPP Pusat melahirkan rasa kesal di atas sikap kerajaan Malaysia pimpinan BN yang bertindak acuh tak acuh terhadap keselamatan negara terutama terhadap campur tangan Amerika dalam urusan politik rantau ini amnya dan juga negara ini khususnya. Sikap hanya bersuara dari jauh tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap campur tangan Barat ini. DPP Pusat melihat respon kerajaan BN terhadap kuasa asing selama ini lebih menjurus kepada usaha-usaha menarik simpati dan sokongan rakyat untuk pilihanraya umum yang terdekat ini. Kerajaan juga bertindak menakut-nakutkan rakyat terhadap kuasa asing untuk maksud politik mereka. Kerajaan BN tidak pernah ikhlas di dalam mempertahankan kedaulatan negara dan rantau ini daripada gangguan kuasa asing.

DPP Pusat mengutuk keras sikap Kerajaan BN yang menerima baik penempatan tentera AS di Singapura ketika mereka sibuk mengecam campur tangan tentera Australia dan AS di Timor Timur. Kenyataan Menteri Pertahan, Datuk Abang Abu Bakar Mustafa pada 8 September 1999 bahawa kehadiran tentera AS di Singapura bukanlah ancaman kepada Malaysia adalah bercanggah dengan kritikan-kritikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terhadap AS.

DPP Pusat mempertikaikan keperluan perjumpaan menteri tersebut dengan Ketua Komander Markas Pasifik Amerika (US-CINCPAC), Laksmana Dennis Cutler Blair di Kementerian Pertahanan minggu lepas jika Perdana Menteri melihat kehadiran tentera AS di Indonesia sebagai ancaman terhadap keselamatan rantau ini. DPP Pusat menyifat kenyataan Perdana Menteri ini hanyalah untuk berselindung kepada rakyat sedangkan mereka menyokong penuh tindakan AS tersebut. Perjanjian Pertahanan Malaysia dengan AS beberapa tahun dahulu telah mendedah setiap inci bumi Malaysia kepada ancaman AS dan sokongan Kerajaan Malaysia terhadap serangan AS ke atas Iraq pada 1989 juga menampakkan sikap kerajaan BN yang sebenar. Pengalaman hubungan sulit Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Haram Israel yang disembunyikan kepada rakyat mungkin berulang dengan tindakan dangkal ini.

DPP Pusat bagaimanapun melihat Kerajaan BN masih terus bergantung kepada kuasa asing untuk mempertahankan survival politik mereka, kerana itu mereka tidak melihat kehadiran tentera AS di rantau ini sebagai ancaman. Rakyat mesti mengambil langkah segera dengan menolak BN kerana Bn mendedahkan negara kepada kuasa asing

DPP Pusat mendesak Kerajaan Malaysia agar bertindak tegas dan ikhlas terhadap perkembangan politik yang sedang berlaku di rantau ini. Wisma Putra sewajarnya memutuskan hubungan dengan Washington kerana tindakan rakus mereka terhadap rantau ini. Wisma Putra melalui Sekretariat ASEAN juga harus membuat penegasan terhadap sikap angkuh Barat ini. Mesyuarat Tergempar Menteri-menteri Luar ASEAN mesti diadakan segara untuk merangka tindakan yang paling wajar bagi menyelamatkan rantau ini daripada campur tangan Barat.

ASEAN juga hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap Kerajaan Singapura yang membenarkan AS membuka pengkalan tentaranya di republik tersebut. Kerajaan Singapura juga melalui Menteri Pertahanannya, Tony Tan telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Pertahanan AS, William Cohen dan bersetuju untuk membuka pengkalan baru tentera laut AS di Changi. Tindakan Singapura ini juga jelas telah menghina negara-negara ASEAN yang lain yang selama ini berpegang teguh kepada prinsip ZOFPAN.

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat negara ini agar memberikan perhatian yang serius terhadap sikap dan gelagat Kerajaan BN di dalam menangani permasalahan serantau dan keselamatan negara ini. Jika rakyat membiarkan kerajaan BN terus berlagak seperti pemilik mutlak negara ini mereka akan terus menzalimi rakyat serta membiarkan rakyat ditindas oleh kuasa asing.

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Kirim email ke