Bila dah syok dengan industri, lupa pertanian. Bila syok dengan MSC tukar UPM jadi uni putra malaysia. Wal hal kursus pertanian di situ melambak-lambak. Inilah kerja SiTua Nyanyok PM mesia bolehh!!!!!

Universiti Pertanian perlukah diwujudkan sebuah lagi?

PERLUKAH kita mewujudkan sebuah lagi universiti yang mengkhusus dalam bidang pertanian seperti mana yang dicadangkan oleh Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof. Hamdan Adnan?

Idea penubuhan itu nampak murni dan berasas terutamanya ketika negara mula membincangkan masalah peningkatan import makanan yang sudah mencecah RM10 bilion setahun.

Bagaimanapun ia bukanlah penyelesaian kepada kelembapan kita memajukan bidang pertanian di negara ini.

Ini kerana masalahnya bukan semata-mata terletak kepada tiadanya sebuah institusi yang mengkhusus dalam bidang ini, tetapi lebih kepada faktor-faktor sampingan.

Selain Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang mengkhusus dalam bidang penyelidikan pertanian, kita juga mempunyai Universiti Putra Malaysia (UPM).

Walaupun telah mengubah haluan dengan memberikan tumpuan kepada bidang teknologi maklumat (IT) sesuai dengan kedudukannya di kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC), universiti ini sebenarnya masih aktif dalam bidang penyelidikan pertanian.

Berbagai penemuan baru dalam bidang berasaskan pertanian dihasilkan oleh UPM.

Bagaimanapun penemuan-penemuan baru di UPM ini nampaknya, banyak dibayangi tumpuan baru universiti itu dalam bidang IT.

Sebagai bukti kesungguhannya dalam bidang pertanian, universiti ini mempunyai pusat khidmat jururunding, latihan dan juga bertindak sebagai penyampai maklumat kepada peladang dan penternak.

Kini universiti ini dan juga Universiti Teknologi Mara sedang merangka satu kurikulum baru dalam bidang pengurusan estet perladangan.

Langkah ini adalah bagi menyediakan pengurus ladang profesional secara moden.

Universiti Teknologi Mara pula akan menumpukan kepada kursus-kursus berasaskan agroekonomi di kampus cawangannya yang baru di Negeri Sembilan.

Sementara itu, universiti-universiti lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) pula, walaupun tidak mempunyai fakulti pertaniannya yang tersendiri, turut tidak ketinggalan dalam membuat kajian-kajian berkaitan pertanian dan penternakan di fakulti sains masing-masing.

Cili Bangi umpamanya yang mampu menghasilkan hasil enam kali ganda lebih baik daripada cili biasa, adalah hasil kajian di Fakulti Sains Hayat UKM dan kambing kacukan tempatan dan luar negara yang mempunyai ciri-ciri yang lebih baik pula datangnya daripada makmal kajian Fakulti Sains UM.

Justeru penubuhan universiti bukanlah jalan penyelesaian utama untuk mengatasi kesuraman dalam bidang pertanian, walaupun ia merupakan satu cadangan yang baik.

Yang lebih penting ialah mewujudkan sistem sokongan yang mampu membantu serta menggalakkan lagi perkembangan bidang ini khususnya dalam aspek R&D.

Pemberian geran Penyelidikan di bidang-bidang Keutamaan (IRPA) perlu lebih 'mesra pertanian'.

Rungutan sukarnya pensyarah-pensyarah yang menjalankan kajian di dalam bidang ini untuk mendapatkan geran IRPA tidak harus dipandang ringan.

Ini kerana kekangan ini sudah pasti akan mengurangkan semangat mereka untuk melibatkan diri dalam bidang R&D yang sudah memerlukan modal yang tinggi.

Di samping itu, usaha menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam bidang ini juga perlu digiatkan terutamanya dalam menaja dan memberi biasiswa kepada pelajar sama ada di peringkat siswazah ataupun lepasan siswazah yang mengkhusus dalam bidang berasaskan pertanian.

Ini penting terutamanya bagi mencambahkan lagi minat pelajar kita untuk memilih bidang ini di peringkat pengajian tinggi.

Penglibatan pihak swasta juga perlu ditingkatkan dalam membantu pembiayaan penyelidikan berasaskan pertanian di universiti di samping geran IRPA.

Institut Pertanian Malaysia (IPM) yang giat melahirkan lulusan di peringkat sijil dalam bidang-bidang utama seperti ternakan, akronomi, kulturakebunan, kejenteraan dan projek pengkhususan umpamanya mungkin boleh dinaikkan tarafnya menjadi sebuah institut yang mengeluarkan lulusan bertaraf diploma.

Bidang kursus di institut itu perlu diperluaskan dan disesuaikan dengan era pertanian alaf baru yang semakin menekankan aspek teknologi-teknologi baru.

Di samping itu lulusan IPM juga seharusnya digalakkan untuk meneruskan pengajian mereka di institusi-institusi yang menawarkan pengajian berasakan pertanian terutamanya di UPM.

Pengajian selama dua tahun di IPM mungkin memberikan mereka kelonggaran untuk menyambung pelajaran.

Dengan enam IPM yang terdapat di seluruh negara, UPM, UM, UKM, USM serta Mardi sebagai pusat penyelidikan utama dalam bidang pertanian, usaha memajukan bidang-bidang yang sedia di institut ini nampaknya lebih relevan jika dibanding dengan penubuhan sebuah universiti khas dalam bidang pertanian.

Oleh: ZALINA YAHAYA

Kirim email ke