Lihat bagaimana cara membodek umno

Kenapa bank perlu bergabung?

USAHA kerajaan untuk memperkukuhkan sistem perbankan Malaysia melalui penggabungan bank-bank telah menerima bermacam reaksi daripada pelbagai pihak. Ramai yang menyahut baik langkah kerajaan ini, tetapi tidak kurang juga yang mengecam, terutamanya mereka daripada parti-parti pembangkang. Apakah yang menyebabkan kecaman ini? Adakah kecaman terhadap langkah kerajaan ini sememangnya dengan niat suci (bona fide) atau adakah ini hanya merupakan sandiwara politik untuk memancing undi di ketika pilihan raya semakin tiba?

Hasrat kerajaan untuk melihat bank-bank di Malaysia bergabung bukanlah satu idea yang datang dengan tiba-tiba. Ia telah diperkatakan sejak beberapa tahun yang lalu dan kini, kerajaan mengambil langkah konkrit kehadapan dengan menetapkan satu tarikh untuk menunjukkan betapa seriusnya usaha kerajaan ini. Lagi cepat langkah penggabungan dapat diambil, lebih baik kesannya untuk sektor perbankan. Penggabungan bank bukan satu langkah mengundur ke belakang. Fenomena ini disaksikan diseluruh dunia. Penggabungan tiga bank Jepun, Dai-Ichi Kangyo Bank, Fuji Bank dan Industrial Bank of Japan yang kini di dalam proses, akan melahirkan sebuah bank terbesar di dunia dengan aset sebanyak AS$1.3 trilion atau RM4.94 trilion. Kita sudah tentu tidak mahu ketinggalan.

Persaingan di sektor perbankan kita sememangnya sengit. Kita perlu berpijak di bumi nyata. Kita perlu ingat bahawa pintu untuk memasuki pasaran kewangan negara akan terbuka luas menjelang wujudnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang akan berkuat kuasa dalam tahun 2003. Pintu ini akan terbuka dengan lebih luas lagi apabila berkuatkuasanya perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Dengan terbukanya pasaran kita, kita perlu bersaing dengan bank-bank antarabangsa yang lain yang mempunyai saiz dan kekuatan yang jauh berbeza daripada bank-bank kita masa kini. Bukanlah niat kita untuk memperkecilkan kedudukan bank tempatan, tetapi secara logiknya, kita tahu bahawa bank terbesar negara, dengan aset sebanyak RM87 bilion, perlu mengukuhkan dirinya untuk bersaing dengan bank terbesar di dunia iaitu Deutsche Bank yang telah bergabung dengan Bankers Trust, yang memiliki aset sebanyak AS$865 bilion atau RM3,287 bilion.

Bayangkanlah betapa kukuhnya bank-bank ini. Mereka boleh memasuki negara kita dan akan dengan senangnya memperkenalkan produk-produk baru yang menarik berbekalkan pengalaman yang mereka ada terutamanya dengan kedudukan kewangan mereka yang jauh lebih kukuh jika dibandingkan dengan bank-bank tempatan.

Kita tentu masih ingat lagi ketika negara dilanda krisis kewangan sedikit masa dahulu, keyakinan rakyat Malaysia sendiri terhadap bank-bank tempatan telah tergugat. Sebilangan rakyat Malaysia telah mengeluarkan wang simpanan mereka di bank-bank tempatan untuk beralih ke bank-bank asing, walaupun bank-bank asing ini menawarkan kadar faedah yang jauh lebih rendah. Gejala ini menyebabkan pengeluaran daripada bank-bank tempatan, menyebabkan bank-bank asing dapat mengaut keuntungan perniagaan yang begitu hebat.

Tahun 2003 bukanlah jauh lagi. Sekiranya penggabungan dapat diselesaikan sepenuhnya pada tahun 2001, setiap bank hanya mempunyai lebih kurang satu tahun sahaja untuk menyesuaikan diri bekerja di dalam suasana baru dan pada masa yang sama, mencari jalan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka. Oleh itu, langkah kerajaan menetapkan tarikh yang telah diumumkan tidak boleh dianggap sebagai memaksa serta menyusahkan bank-bank ini. Pengkritik kerajaan seringkali memainkan isu betapa singkatnya masa yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menandatangani memorandum persefahaman seperti yang telah diumumkan. Mereka mendakwa bahawa bank-bank tidak akan dapat mencapai kata sepakat. Adakah mereka yang bijak pandai ini tidak tahu perbezaannya diantara MoU dan perjanjian sebenar? MoU adalah sekadar membuka jalan bagi bank-bank untuk berunding dengan lebih lanjut lagi. BNM juga telah berkali-kali menyatakan bukanlah harapan kerajaan agar kata putus di atas terma-terma penggabungan bank-bank ini dapat dicapai pada akhir bulan September ini.

Mungkin kecaman yang paling hebat terhadap penggabungan bank-bank ialah apabila bilangan bank induk dipersoalkan dan pemilihan bank induk ini dikaitkan dengan isu perkauman.

Negara kita mempunyai 71 institusi bank dengan rangkaian sebanyak 2,712 di seluruh negara. Ini adalah satu pembaziran sumber kerana terdapatnya duplikasi sumber manusia dan infrastruktur. Jika kita mahu bertanya mengapa enam bank dipilih, sudah tentu persoalan yang sama akan ditanya sekiranya 7, 8, 9 atau 10 bank-bank dipilih. Kenapa isu bilangan hendak diperbesar-besarkan? Memandang jauh, kita akan lihat bahawa negara-negara lain juga sedang berusaha untuk mengurangkan bilangan bank-bank di negara mereka. Singapura, misalnya akan mengurangkan bilangan bank mereka dari 5 ke 2. Di negara seperti Australia dan Britain, hanya akan terdapat 4 buah bank di setiap satu negara.

Kita tidak akan ke mana sekiranya perhatian hanya mahu diberikan kepada aspek-aspek yang boleh diputarbelitkan untuk menjadi isu negatif. BNM mempunyai kriteria yang tersendiri di dalam memilih bank-bank induk ini. Telah berkali-kali dinyatakan bahawa saiz sesuatu bank ini bukan menjadi tiket mereka menjadi bank induk. Terdapat banyak lagi faktor dan yang utamanya ialah kekuatan bank tersebut didalam mengharungi krisis kewangan yang terjadi sedikit masa dahulu.

Kita mesti sedar bahawa trend individu memiliki bank tidak lagi sesuai di dalam kita melangkah ke alaf baru dan bersaing dengan bank-bank besar dunia, yang semuanya dimiliki oleh institusi-institusi besar yang diuruskan oleh profesional dengan teknik dan teknologi yang canggih sekali. Ahli-ahli bank tidak sepatutnya beranggapan bahawa kekayaan yang dimiliki mesti kekal di dalam lingkungan kekeluargaan mereka sendiri. Memang benar bahawa titik peluh mereka selama berpuluh-puluh tahun telah memajukan bank-bank tersebut, tetapi tidak kurang juga kesilapan yang telah dibuat yang menyebabkan bantuan luar berbilion ringgit nilainya dihulurkan. Jangan hanya kerana alasan mereka yang memulakan bank tersebut, bantuan boleh diminta dengan syarat yang bersesuaian dengan mereka.

Marilah kita mengambil iktibar dari sejarah lalu. Di dalam tahun 1960-an, kerajaan terpaksa menyelamatkan Malayan Banking Bhd. ketika ia diuruskan oleh orang-orang perseorangan. Kini, ia diuruskan oleh golongan profesional dan berkembang menjadi bank yang besar negara. Agensi-agensi yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan, iaitu Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. dan Danamodal Nasional Bhd. telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelamatkan bank yang diuruskan oleh individu. Contohnya, lebih kurang RM2.2 bilion telah dibelanjakan untuk RHB Bank manakala Kumpulan Arab pula telah diberikan lebih kurang RM1.7 bilion. Bank-bank yang telah diselamatkan oleh Danamodal, sudah tentunya tidak layak menjadi bank induk bagi program penggabungan bank di Malaysia.

Isu perkauman juga sering dimainkan. Adakah benar kerjaan menindas kaum-kaum lain apabila hanya kaum Cina dianggap sebagai diberikan dua bank sahaja? Ini semua adalah tidak benar. Dengan usaha untuk menginstitusikan bank-bank di Malaysia (iaitu institusi-institusi besar sebagai tuanpunya/pemegang saham bank-bank), tidak perlu timbul persoalan samaada bank ini bank kaum tertentu sahaja. Sebagai contohnya, sejumlah besar rakyat Malaysia memiliki akaun di Malayan Banking. Adakah kita pergi ke bank tersebut kerana kita beranggapan bahawa bank tersebut satu bank Melayu, Cina atau India? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Kita menjadi pelanggan Maybank kerana ia mempunyai cawangan yang lebih banyak dan menyediakan kemudahan yang kita kehendaki. Ramai diantara kita, tidak kira apa bangsanya, mengambil pelbagai pinjaman dari bank-bank seperti RHB Bank dan Public Bank. Adakah selama ini bangsa dan warna kulit menjadi isu ketika kita memilih bank-bank tersebut? Jawapannya sudah tentu tidak. Isu bangsa hanya kedengaran ketika pengumuman untuk menggabungkan bank-bank di Malaysia dibuat. Mereka yang menimbulkan isu-isu ini hanya mahu memainkan sentimen perkauman memandangkan sentimen inilah yang senang dipermainkan dan sering mendapat perhatian untuk memburukkan nama negara.

Memang ada segelintir rakyat Malaysia yang suka berurusan dengan bank yang mempunyai nama yang berbau kaum mereka. Bagaimanapun, kita perlu ingat, di dalam kita berusaha keras mencapai Wawasan 2020, sikap ini perlu dikikis. Matlamat utama Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia. Kewujudan bangsa Malaysia ini perlu dari setiap aspek, termasuklah didalam urusan seharian kewangan kita. Jika kita masih lagi mahu bersikap possesif, bagaimanakah kita ingin ingin terus maju untuk menjadi warga dunia?

Tidak cukup dengan isu perkauman, rakyat terus ditakut-takutkan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran. Pemberhentian kerja tidak berlaku di dalam semua penggabungan. Misalnya, tiada pekerja yang akan diberhentikan untuk penggabungan diantara Bank Bumiputra Malaysia dan Bank of Commerce, kerana lebihan kakitangan akan diserap masuk ke dalam bank Islam baru, Bank Bumi Muamalat (M) Bhd. Kerajaan kita yang telah memimpin negara ke pembangunan pesat yang tidak terfikir di minda kita 20 tahun yang lalu, tidak akan bertindak melulu tanpa memikirkan apa yang akan dibuat untuk mengurangkan impak pemberhentian pekerja di sektor ini. Apabila kerajaan melaksanakan penswastaan sesuatu projek, tidak ada pemberhentian pekerja yang telah terjadi.

Memanglah isu pemberhentian kerja tidak dapat dielakkan apabila kita membicarakan isu penggabungan. Ia adalah satu proses mencapai tahap kecekapan dan untuk mengurangkan duplikasi sumber. Jikapun ia berlaku, dengan pemulihan ekonomi negara kita, akan terdapat banyak peluang pekerjaan lain yang akan menanti mereka ini. BNM telah berkali-kali menyatakan bahawa ia akan mengambil langkah-langkah berpatutan untuk mengurangkan sebarang impak negatif yang mungkin timbul daripada penggabungan. Misalnya, bank "baru" (iaitu bank utama yang lahir dari proses penggabungan), tidak semestinya mempunyai pekerja yang datang dari bank induk sahaja. Pekerja-pekerja bank "baru" ini boleh terdiri daripada pekerja-pekerja terbaik dari pelbagai bank-bank yang digabungkan di dalam satu kumpulan. Satu badan bebas boleh ditugaskan untuk menemuduga kesemua pekerja bank-bank yang akan bergabung di bawah satu bank induk untuk memilih hanya yang terbaik. Ini sudah tentu dapat menolong hasrat negara untuk melihat bank Malaysia di uruskan oleh mereka yang benar-benar profesional dan menanamkan sikap mahu bekerja dengan lebih kuat lagi terhadap bank baru ini.

Kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh cepat melatah dan mencemuh tanpa memberi peluang untuk kerajaan Malaysia dan BNM membuktikan bahawa pelan mereka di dalam usaha penggabungan bank-bank boleh dilaksanakan dengan jayanya. Isu perkauman dan lain-lain isu negatif mengenai penggabungan bank ini mula dipermainkan oleh pihak pembangkang dan media-media asing, yang seringkali melontarkan spekulasi tidak berasas atas peristiwa yang berlaku di negara kita. Suara-suara sumbang mengkritik usaha kerajaan ini adalah didorong oleh kegagalan mereka untuk mencari kecacatan atau kesilapan di dalam polisi penggabungan bank di Malaysia. Akibatnya, mereka terpaksa menggunakan isu remeh-temeh untuk mencela Kerajaan, dengan alasan-alasan yang mereka tahu sensitif kepada rakyat Malaysia.

Kita ingat bahawa mereka yang bersikap negatif ini adalah mereka yang dengan lantangnya menyatakan negara akan menjadi bankrap apabila kawalan modal terpilih diperkenalkan. Orang yang buta-ekonomi pun tahu bahawa ini tidak berlaku, malah sebaliknya. Jadi, mengapa kita masih mahu mempercayai dan mengulangi pendapat mereka yang akan tersenyum melihat kekabutan di negara kita bermula dari tohmahan atau serkap jarang mereka? Sememangnya, tiada siapa yang akan kerugian akibat proses penggabungan bank-bank Malaysia. Rakyat dan negara yang sudah pasti mendapat manfaatnya.

Oleh: MOWARDI MAHMUD

Kirim email ke