|
KOTA TINGGI, 10 Okt (Bernama) -- Anggota
Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pakatan
parti pembangkang boleh disifatkan seperti sumpah-sumpah, sejenis
binatang yang menyerupai cicak, yang boleh bertukar warna mengikut
keadaan terutamanya dalam keadaan terdesak.
Beliau
berkata pembangkang hanya muncul dan berpura-pura semasa kempen
menjelang pilihan raya sahaja.
Katanya rakyat sudah sedar
taktik pembangkang yang sebenarnya tidak ikhlas walaupun mereka
mendakwa ceramah yang dianjurkan mendapat sambutan orang ramai.
"Rakyat sudah matang dan tidak lagi terpengaruh atau boleh
ditipu dengan dakyah pembangkang melalui ceramah yang lebih bersifat
maki hamun, membenci pemimpin serta kerajaan," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Umno
Bahagian Kota Tinggi, di Bangunan Mawar di sini, hari ini.
Menurutnya rakyat, yang sudah banyak mendapat banyak manfaat
daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui
oleh Umno, akan menolak parti yang berpura-pura itu.
Syed
Hamid, yang juga Menteri Luar, mengingatkan seluruh jentera BN
supaya terus bekerja kuat kerana ancaman untuk memecah-belahkan
perpaduan rakyat tetap ada.
"Kita tidak boleh duduk selesa
walaupun setakat ini, tidak ada ancaman terhadap parti kerana
perkara yang buruk lebih mudah diperolehi daripada perkara yang
membawa kebaikan," katanya.
Syed Hamid yang juga Anggota
Parlimen Kota Tinggi berkata kira-kira 12,000 orang bersiap sedia
membantu jentera pilihan raya BN di kawasan itu dalam menghadapi
kemungkinan pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila
masa sahaja.
"Ini termasuk melaksanakan kempen memerangi
fitnah dan pembohongan yang disebarkan oleh pembangkang supaya
rakyat tidak mudah tertipu atau terkeliru," katanya. --
BERNAMA |