*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabatku saudara/i yang disayangi, dikasihi, diingati dan
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.
Izinkan saya membicara berkenaan "Tasauf/Tariqat : Pendekatan dan
Kefahaman", semoga perahasan ini sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman
kepada penghayatan yang sebenarnya di dalam Ilmu Tasauf.
InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan istiqamah kita membaca, menghayati
dan beramal, pastinya kebenaran itu akan terbit juga.
Amin!
TASAUF/TARIQAT : PENDEKATAN DAN KEFAHAMAN
MUKADDIMAH
AKIBAT tidak mengenal Allah, manusia telah begitu jauh terlanjur sesat di
dalam kancah kehidupan dunia yang porak peranda sehingga tercetus berbagai
bentuk kerosakan demi kerosakan yang tidak pernah terduga oleh kita. Kita
terpaksa akur, bahawa kehidupan manusia moden hari ini telah berantakan dan
jika tidak diatasi segera pasti akan menemui kehancuran total. Krisis nilai
kemanusiaan ini tidak akan dapat diubati oleh pakar-pakar teknologi mahupun
ahli psikologi yang paling cerdik. Ia perlu kepada suatu disiplin ilmu yang
tumbuh bersih sesuai dengan pertumbuhan fitrah seorang manusia. Dan perkara
ini telah pernah dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada
cara hidup jahiliah yang mencengkam umat Arab suatu ketika dahulu.
Rasulullah SAW berjaya dalam waktu yang sangat singkat dengan hasil yang
begitu luarbiasa. Seluruh dunia tertegun dengan kebangkitan satu bangsa baru
dari daerah padang pasir yang kontang dengan suara yang nyaring tetapi
begitu lunak, tenang dan penuh kasih sayang. Demikianlah peninggalan hasil
tangan Rasulullah SAW terhadap manusia yang dapat kita saksikan melalui
catatan sejarah. Baginda membawa kunci kepada suatu dimensi (dimension) baru
kehidupan iaitu membawa manusia mengenal Allah (ma'rifatullah) dengan
sebenar-benarnya pengenalan.
DUNIA semakin huru-hara (bedevil), kacau-bilau sehingga menjerumuskan
manusia hidup dalam krisis (crisis) yang tidak berkesudahan, peperangan,
pembunuhan, pencabulan hak asasi, perogolan, perzinahan dan berbagai-bagai
kerosakan yang lain. Hal-hal seumpama ini berlaku di waktu dunia sedang
menikmati puncak kemajuan serta kecanggihan sains dan telnologi. Di waktu
manusia mampu menguasai dan memperkosa semahu-mahunya segala khazanah yang
tersimpan di perut bumi. Tetapi malang sekali, di atas kemajuan kebendaan
itu, insaniah manusia hancur sehancur-hancurnya. Manusia seolah-olah sudah
bertukar menjadi haiwan dan kehidupan masyarakat manusia bagaikan kehidupan
haiwan di dalam hutan belantara, yang hidup gagah hidup, yang lemah
menyerah. Unsur timbang rasa, tolak ansur, bantu-membantu,
sayang-menyayangi, hormat-menghormati sesama manusia sudah luput.
SUASANA dunia yang sungguh menyiksakan ini, membuat kita begitu terkesan,
hairan, terkejut dan tertanya-tanya dan kuat mendorong diri ini untuk
meniliti dan mengkaji di manakah punca atau akar umbi kepada seluruh
permasalahan ini. Cerdik pandai atau intelek sekular ternyata telah gagal
untuk menangani persoalan ini. Teori-teori sosial yang mereka utarakan telah
menjerat leher mereka sendiri, masalah tidak selesai bahkan semakin
bertambah dan menjadi-jadi. Mereka hanya mampu mengatur benda-benda mati
tetapi tidak tahu memimpin dan mengatur manusia.
Oleh kerana itu, kita perlu melihat ke arah atau perspektif lain dalam usaha
menangani persoalan ini. Kaedah serta program baru perlu diwujudkan segera
kerana dua faktor :
1. Supaya punca masalah sebenar dikenal-pasti dan diubati atau diselesaikan
dengan tepat. Akibat tersalah menilai punca maka sasaran penyelesaian selama
ini kerap tersasar. Kekronikan masalah sedikit pun tidak menunjukkan petanda
berkurang tetapi semakin bertambah dengan kadar yang cukup laju. Apabila
punca telah dikenal-pasti, maka orang atau pemimpin yang mampu atau layak
untuk menanganinya juga akan dikenal-pasti.
2. Memberi nilai atau erti kehidupan baru yang lebih bermakna untuk manusia.
Salah meletakkan nilai terhadap sesuatu perkara menyebabkan manusia
kerapkali bersungguh-sungguh mendapatkan perkara yang kurang bernilai dan
sambil lewa saja terhadap perkara yang berharga. Dengan membawa tafsiran
baru tentang kehidupan, seperti matlamat hidup, kebahagiaan, ketenangan,
kasih-sayang, maka hidup seluruhnya akan berubah.
Berdasarkan dua faktor tersebut, maka diri rasa bertanggungjawab untuk
berkongsi harapan serta cita-cita dengan para pembaca sekalian demi untuk
melihat kehidupan manusia kembali tenang, tenteram dan bahagia.
- Tasauf/Tariqat Dan Ilmu Mengenal Allah -
WALAUPUN tajuknya memperlihatkan skop yang terjurus kepada matlamat yang
tertentu namun garapan ilmunya adalah luas (tersangat luas), kerana
aplikasinya adalah untuk manusia sejagat. Manusia adalah aset paling
penting, yang mesti "direvolusikan" supaya huru-hara ini segera surut. Untuk
mengenal Allah (ma'rifatullah) ertinya kita perlu mengenal hakikat diri kita
sebenarnya dan di situ akan terbongkar rahsia-rahsia hakikat seorang insan.
Dalam kehidupan seharian ini kita banyak melakukan kesilapan pentafsiran dan
pemahaman berhubung dengan soal-soal kehidupan terutamanya berkaitan dengan
aqidah. Keadaan ini sungguh merbahaya kerana ia boleh meneruskan aqidah dan
keyakinan terhadap Allah. Tetapi kerana sikap kita yang suka memandang
enteng pada masalah itu serta malas pula untuk menyemak dan mencari
asas-asas kukuh, maka kita biarkan kesilapan itu berterusan berlaku dalam
kehidupan kita ataupun menyebabkan sesetengah pemahaman kita itu terus
menyimpang jauh.
Kenapakah berlakunya fenomena demikian? Apakah puncanya? Ia tidak lain dan
tidak bukan kerana kurangnya pembacaan, pengkajian dan juga pembelajaran
terhadap bidang-bidang keagamaan khususnya dalam bidang Kerohanian. Kita
lebih mudah terpesona dengan sesuatu kepercayaan dan ajaran yang berbentuk
khayal (fantasi). Kita seronok menerima sesuatu yang bersifat kesaktian
(karomah hidup), meskipun ia jauh dari kebenaran dan membawa kepada
kesyirikan. Kita juga malas untuk mengkaji ilmu-ilmu Allah yang bertebaran
di muka bumi ini.
Sikap kita yang suka ambil mudah dan suka berpuas hati dengan sesuatu ilmu
juga menjadi punca kenapa kita tidak dapat memahami sesuatu ilmu itu dengan
mendalam ataupun sampai ke dasar hakikatnya.
Maka untuk mengelakkan keadaan itu terus menimpa diri kita, adalah wajar
kita perbetulkan sistem pembelajaran kita. Memperbetulkan sistem pemahaman
kita berhubung dengan ilmu-ilmu agama yang sememangnya banyak bersifat
simbolik yang memerlukan pengamatan serta pentafsiran yang mendalam. Sikap
menerima ilmu sekadar untuk dikatakan sebagai orang yang alim serta hanya
setakat untuk melepaskan tanggungjawab kepada Allah tidak perlu diamalkan
lagi dan hendaklah dikikis dari diri kita.
Sikap dan perangai demikian tidak menguntungkan. Ia malahan merugikan dan
juga menyebabkan hidup kita ini sia-sia sahaja, ke bumi tidak berpijak ke
langit tak kesampaian.
Sesuatu ilmu itu hendaklah dipelajari dan mendalami sampai ke akar umbinya.
Kita kena kenal dengan sesungguh-sungguhnya, Jangan ilmu itu kita kenal pada
ilmu sahaja, tetapi tidak pada hakikatnya. Kita kena ingat sesuatu ilmu itu
kalau kita hanya kenal pada nama (istilah) sahaja, tetapi tidak pada hakikat
ianya tidak memberi apa-apa menafaat.
"Setiap orang yang beramal tanpa dilengkapi dengan ilmu pengetahuan
(tentangnya), maka amalan-amalan itu tertolak dan tidak diterima."
[Kitab Zubad]
Demikian juga dalam soal kita hendak mengenal diri dan juga Ma'rifat dengan
Allah. Kita kena kenal dengan terperinci dan dari satu peringkat ke satu
peringkat. Kita kena kenal diri kita dari peringkat pertama sebelum
terwujudnya mani (nauthfah) sampailah kepada masalah roh (diri batin) yang
ghaib.
Begitu juga dengan Tuhan. Kita perlu kenal dengan sebenar-benar pengenalan.
Daripada sebelum kewujudan kita, baik selepas disyariat (diwujudkan) hingga
kepada dibangkitkan kembali (hidup). Kita kena kenal Allah bukan hanya pada
sifat nama-Nya (99 nama dan 20 sifat diri-Nya), tetapi kita kena kenal pada
(sifat-sifat), Zat-Nya, Asma'-Nya dan Af'al-Nya.
Kalau kita mengenali diri kita atau Allah hanya setakat istilah sahaja,
ataupun setakat luar sahaja maka akan sia-sialah hidup kita. Hidup kita
tidak akan bererti langsung kalau kita hanya boleh sebut, tetapi tidak
memahaminya.
Taraf hidup yang demikian samalah dengan taraf makhluk lain termasuk haiwan
dan tumbuh-tumbuhan. Apakah kita merelakan taraf hidup kita disama-darjatkan
dengan makhluk-makhluk itu??? Tentu sekali tidak kerana kita ini telah
diakui sendiri oleh Allah SWT merupakan makhluk yang paling mulia sekali
pada sisi-Nya.
Juteru demikian penting bagi kita mengenali diri dan mema'rifatkan diri
dengan Allah, maka sama-samalah kita mengorak langkah dengan penuh
bersemangat dan insaf lagi untuk mempelajari dan memiliki segala ilmu
ma'rifat ini.
Kecerdasan dan kesanggupan akal manusia di dunia ini tidaklah sama, kerana
ada yang dikatakan umum dan ada pula yang dikata khas tetapi yang khas itu
berfikir lebih cerdas daripada pemikiran umum. Dengan perkataan yang luas
"umum" itu adalah manusia biasa , dan "khas" pula adalah dikhususkan kepada
manusia yang sempurna dari sudut alam pemikirannya. Oleh itu, orang umum
yang belum sanggup berfikir-fikir cerdas, teratur dan meluaskan
pengetahuannya, tidak perlu bersoal-jawab dengan perkara yang tidak
diketahuinya berdalam-dalam, yang mana banyak menimbulkan keraguan di dalam
hatinya sendiri
Ilmu yang sukar difahami akan mendatangkan mudarat kepada diri seseorang
seandainya ia tidak mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan dikhuatiri
merosak daripada memperbaiki, andaikata ia tidak dapat mencungkil atau
menembusi erti maksudnya yang sebenar. Oleh itu bagi orang umum, memadailah
jika ia berpegang dengan Nas Al-Quran dan Sunnah itu adalah lebih baik
daripada bertanya, bahkan tidak payah campur untuk menta'wilkan ayat dan
Hadis yang dalam pengertian, fahaman dan kehendaknya, kerana ia boleh
merosakkan pendiriannya sendiri. Ta'wil orang umum, adalah laksana orang
yang tidak pandai berenang mencuba-cuba hendak merenangi lautan yang luas
dan dalam; itu adalah suatu kerja atau perbuatan yang sia-sia (bodoh
sombong) saja.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Mengapa tidak pula berangkat satu rombongan dari tiap-tiap golongan itu
untuk mempelajari perkara agama."
[At-Taubah : 122]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Maka bertanyalah anda kepada ahli ilmu jika anda tidak tahu."
[An-Nahl : 43]
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud :
"Tidak wajarlah bagi orang yang bodoh, berdiam diri atas kebodohannya. Dan
tidak wajarlah bagi orang yang berilmu, berdiam diri atas ilmunya."
[HR. Thabrani & Abu Na'im]
Ilmu Tasauf yang benar tidak sekali-kali bertentangan dan memang tidak boleh
bertentangan dengan ajaran Al-Quran, Hadis dan Sunnah Rasulullah SAW. Sebab
sebagai suatu cabang cabang ilmu ke Islaman, Tasauf tidak boleh bertentangan
dengan sumber asalnya. Andaikata terdapat seorang yang mengaku dirinya Sufi
atau mengaku dirinya sudah kenal hakikat, tetapi ia menyalahi dan melanggar
hukum-hukum syariat, ternyata benar bahawa mereka itu adalah manusia jahil
dan sesat Imannya.
Saya ingin menyentuh sedikit tentang bab Solat (sembahyang) di dalam
perbahasan ini. Ada seorang netters yang mempertikaikan tentang ajaran
Keronahian ini yang katanya tidak perlu mengerjakan solat, cukup setakat
berniat sahaja. Begitu juga dengan puasa, cukup dengan berniat sahaja. Dan
perkara ini pula berlaku ke atas kerabatnya (keluarga) sendiri. Lalu dengan
firasat yang rendah akhlaknya, menisbahkan perkara yang bertentangan syara'
ini disama tarafkan dengan ajaran "Tariqat/Tasauf"! Apakah bendanya ini???
Apakah celupar dan dangkalnya (jumud) fikiran mereka???
Ini adalah tidak benar! Sesuatu yang amat tidak benar!
Kemantapan jiwa dicapai dengan solat (sembahyang), zikir, doa, istighfar,
mentauhidkan Allah, menginsafi kebesaran Allah, menautkan diri dengan
pengucapan-pengucapan Rabbani, Puasa dan sebagainya. Perkara-perkara ini
dilakukan secara terus-menerus tiap masa beraleh dan beredar. Amalan ini
dikaitkan dengan masa tertentu agar manusia merasakan betapa nikmat Allah
dalam penghayatan masa-masa itu dan betapa mahalnya nilai masa-masa itu.
Oleh itu, janganlah diletakkan perkara atau hal ini kepada Tasauf kerana
ilmu Tasauf tidak bersifat tercela malah tidak pernah menganjur atau
menaburkan bid'ah-bid'ah dhalalah (sesat), dan tidak pernah mendidik pada
sesiapa dengan perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum syariat
Rasulullah SAW, bahkan menganjurkan perkara yang dituntut oleh syara' iaitu
mematuhi dan mentaati segala perintah Al-Quran, Hadis dan mengikut Sunnah
Rasulullah SAW. Dari itu bukanlah salah ilmu Tasauf malah tidak ada
kena-mengena langsung kepada apa yang dilakukan oleh manusia durjana sama
ada yang mengaku diri orang Sufi atau mengaku diri diri sudah kenal hakikat,
kesalahan yang mereka lakukan itu, merekalah yang bertanggungjawab, bukannya
ilmu Tasauf/Tariqat yang hendak disalahkan.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Bahkan (Al-Quran) itu adalah bukti-bukti yang jelas di dalam dada mereka
yang diberi pengetahuan."
[Al-Ankabut : 49]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Contoh-contoh itu Kami buat untuk manusia dan tidak ada yang mengerti
kecuali orang-orang yang berilmu."
[Al-Ankabut : 43]
Agama Islam adalah suatu agama yang suci murni, tidak ada taranya kesucian
dan melambangkan kebesaran Ilahi yang menciptakan alam semesta ini agar
manusia yang beragama tunduk dan sujud ke hadhrat-Nya. Dengan penuh
kasih-sayang-Nya Allah mengutus Nabi-nabi dan Rasul-rasul-Nya untuk memimpin
dan mengasuh manusia ke jalan yang diredhoi-Nya. Tetapi malangnya manusia
itu zalim, tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah.
Allah Ta'ala memberi manusia akal untuk berfikir, supaya dapat seseorang itu
memperbezakan atau memilih yang mana satu intan dan yang mana satu kaca.
Kalau tidak memahami atau mendalami ilmu-ilmu Tasauf/Tariqat bagaimana kita
dapat membezakan sama ada kaca itu intan atau intan itu kaca. Jangan hentam
buta saja tak kira adakah perkara itu benar atau salah.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Barangsiapa buta (hati) di dunia ini, maka di akhirat juga ia buta dan
lebih sesat lagi perjalanannya."
[Al-Isra' : 72]
Dalam ilmu Tasauf ada menerangkan : Bahawa Sunnah Nabi itu, harus dilakukan
dengan Tariqat. Bererti tidak cukup hanya dari Hadis Nabi saja, jikalau
tidak ada yang melihat pekerjaan dan cara Nabi melaksanakannya, yang melihat
itu adalah Sahabat-sahabat Nabi yang menceritakannya kembali kepada
murid-muridnya iaitu Tabi'in dan al-Tabi'in menceritakannya pula kepada
pengikut-pengikutnya sampai ada yang membuat Hadis-hadis dan tersusunnya
kitab-kitab fiqeh oleh ahli-ahli Hadis seperti Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu
Daud, Abu Na'im, Al-Baihaqi, Abu Bakar Lal dan Ibnu Abdil Barr dan lain-lain
lagi. Begitu juga ahli-ahli fiqeh, seperti Imam Hanafi, Imam Malik, Imam
Syafi'e dan Imam Hambali dan lain-lain lagi. Sebenarnya Al-Quran menjadi
sumber utama dan Sunnah Hadis merupakan penjelasan yang penting, tetapi
adalah urat nadi daripada pelaksanaan ajaran-ajaran itu ialah Tasauf.
Ilmu Tasauf menerangkan : Bahawa "syariat" itu hanyalah peraturan-peraturan
belaka, "Tariqatlah" yang merupakan perbuatan untuk melaksanakan syariat
itu. Apabila "syariat" dan tariqat" itu sudah dapat dikuasai, maka lahirlah
"hakikat" yang tidak lain daripada kebaikan keadaan dan ahwal, sedangkan
tujuan yang penting dicari atau matlamatnya ialah "Ma'rifat" yakni mengenal
Allah dan wajib mencintai-Nya dengan sebenar-benar sampai ke akar umbi qalbu
kita. Ini penting difahami!
Ummul-Kitab, adalah papan-tulis kepada pengetahuan Allah, Ia menjadi
ternyata di dalam "Kitabul mubin" atau Loh Mahfuz. Di sini Jibrail a.s.
membaca perkataan Allah dan membawa turun untuk menyampaikan kepada Nabi.
Tajalli pancaran Nur Allah pertama-tama mencapai "Ummul Kitab" yang mana
dikatakan peringkat Jabarut, daripada sini ia menurun ke Loh Mahfuz yang
mana peringkat paling bawah dari peringkat Malakut juga dinamakan "Alam
Misal" atau "Nafsi Kul". Maka Jibrail a.s. adalah di antara Jabarut dan
Malakut iaitu Misal dan dunia jiwa, apa juga yang menjadi ternyata di dalam
dunia kebendaan pertama-tama menjadi simpanan di atas ini :
"Di sana adalah bukan benda-benda hijau juga bukan benda-benda yang kering,
tetapi ia adalah tertulis di dalam Kitabul mubin."
[Al-An'am : 59]
Terlalu banyak wahyu dari Rasulullah SAW di dalam dunia kecil ini, ilham
Aulia'-aulia' di dalam dunia adalah anugerah daripada hak melalui peringkat
sirr dan khafi yang mana kedua-duanya di dalam peringkat Jabarut. Zamir dan
Fawad kedua-duanya di dalam Malakut iaitu kalb. Kalb adalah Loh Mahfuz dari
Alam Misal.
Berdiri di atas kebenaran yang hak dengan mengikut garis-garis dan
aqidah-aqidah Islam yang mutlak. Oleh sebab itu pengetahuan Tariqat dan
Hakikat adalah sifat-sifat yang penting dalam agama dan menjadi dasar
Tariqat/Tasauf menuju ke matlamat Allah SWT atau Tariqat/Tasauf itulah yang
menjadi pedoman yang sebenarnya.
Sesungguhnya Tariqat/Tasauf itu pada hakikatnya sangat patuh kepada Allah
SWT dan ibadah yang dikerjakan oleh anggota badan merupakan penjelmaan
belaka daripada apa yang menyinar dari qalbu kita dan merupakan sinaran yang
tersimpan. Apabila manusia tidak dapat mengenali isi kerohaniannya sendiri,
dia akan menjadi bodoh sombong terhadap dirinya dan mengakibatkan jahil
wara' pula terhadap Khaliqnya.
Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :
"Telah sempurna Tuhanmu, dengan benar dan adil, tidak ada yang boleh
mengubah kalimah-kalimah-Nya dan Ialah yang Mendengar lagi Mengetahui."
[Al-An'am : 115]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Sesungguhnya Tuhanmu, Ialah yang lebih mengetahui sesiapa yang sesat dari
jalan-Nya, dan Ialah yang lebih mengetahui orang-orang yang terpimpin."
[Al-An'am : 117]
Wallahu ta'ala a'lam.......
Wassalamu.......
TO BE CONTINUED
Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>