*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabat ku saudara/i yang disayangi, dikasihi, diingati dan 
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.

ASSALAMUALAIKUM juga untuk saudara Zain y.s. dan rakan-rakan di dalam 
aL-AHKAM online.

Izinkan saya menjawab persoalan yang dikemukan oleh pihak aL-AHKAM online 
(U/P : Saudara Zain y.s.)

Link : >http://members.xoom.com/ahkam_ol/sufi_salafi/sufi24.html

InsyaAllah, diharap penjelasan yang sewajarnya ini tidak menimbulkan 
ketegangan di mana-mana pihak. Di dalam persoalan yang unik dan genius ini, 
hati-hati kita memerlukan kesabaran dan keikhlasan di dalam memberi dan 
menerima pendapat yang dikemukakan. Jangan melatah atau mebuat telahan yang 
kita sendiri masih berada di dalam persimpangan was-was dan ada keraguan.

Penjelasan di dalam mempertahankan Wahdatul Wujud sudah dilayarkan oleh 
pihak aL-AHKAM online sendiri, disunting dari buku "Mengenal Diri Dan Wali 
Allah", oleh Syeikh Mustafa Muhammad Al-Jiyasi. Saya rasa itulah jawapan 
yang terbaik untuk difahami oleh kita semua! Tetapi masih ada lagi yang 
tidak berpuas hati dan kebingungan dengan persoalan itu sendiri. Mengapa???


MUKADDIMAH

TULISAN ini tidak bermaksud untuk mengemukakan satu kajian lengkap dan 
menyeluruh tentang apa yang dinamakan konsep Wahdatul Wujud cuma sekadar 
untuk menarik perhatian yang diharapkan dapat meredakan ketegangan 
perbincangan dalam masalah tersebut. Maka dengan itu biarlah kita tegaskan 
kesimpulan dari awal lagi bahawa kita adalah berhadapan dengan Wahdatul 
Wujud bukannya Wahdatul Maujud.

Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya 
adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita 
besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang  (yang 
bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang 
banyak barkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur 
(sesuatu) dan tidak (pula) di sebelah barat (nya), yang minyaknya (saja) 
hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya 
(berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia 
kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha 
Mengetahui segala sesuatu."

[An-Nur : 35]

Firman-Nya yang cukup simbolik dan genius. Untuk diperolehi kebenaran mutlak 
bagi mereka-mereka yang diberi petunjuk untuk memahami ilmu-Nya dan ma'rifah 
kepada-Nya sebagai seorang "kekasih".

Sebenarnya jawapan kepada persoalan yang saudara Zain y.s. ingin saya jawab, 
sudah pun terjawab oleh saudara sendiri sebelum ini.

Sila semak kembali, penulisan-penulisan berkenaan Wahdatul Wujud di laman 
Al-Ahkam sendiri!

Tapi yang pastinya saya tidak tahu samada ada saudara Zain y.s. benar-benar 
faham atau tidak dengan apa yang kita diskusikan ini. Di dalam setiap 
huraian, saya cuba memberikan respond yang terbaik untuk saudara Zain y.s. 
dan rakan-rakan kita yang lain untuk memahami apa yang dikatakan Wahdatul 
Wujud! Ianya bukanlah subjek di dalam bentuk silibus mata pelajaran untuk 
atau boleh diajar, belajar dan dipelajari!

Ini kena ingat! Selalu kena ingat dengan teliti. Wahdatul Wujud adalah satu 
"anugerah" Allah berkenaan ilmu dan rahsia-Nya, yang dilemparkan kepada 
makhluknya yang benar-benar diredhoi dan terpilih.

Bukan dibuat-buat dan bukan direka-reka dan bukan ditokok tambah! Ini bukan 
ilmu buatan manusia!

Sendiri mahu ingat!


TASAUF DAN WAHDATUL WUJUD

AL-MAUJUD itu memang banyak dan tidak terkira; langit dan bumi, 
gunung-ganang, bukit-bukau, lautan, daratan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan 
manusia serta lain-lainnya, yang berbeza dari segi jenis, bentuk, warna, 
bau, rasa dan seumpamanya. Tidak ada seorang pun dari ahli Sufi atau tokoh 
Sufi yang sebenar, termasuklah Al-Hallaj dan Ibnul 'Arabi yang mengatakan 
Wahdatul Maujud. Malahan setiap mukmin tidak mungkin akan sanggup mengatakan 
dan mengakui Wahdatul Maujud. Betapa pula dengan ahli Sufi yang dikenali 
oleh sejarah sebagai golongan istimewa dari kalangan mukmin, sehingga berani 
mengatakan dan mengakui Wahdatul Maujud?

Mungkin timbul pertanyaan : kalau begitu dari manakah awal puncanya idea 
tentang Wahdatul Maujud yang salah ini seperti yang diperkatakan oleh 
kebanyakan orang bahawa ahli Sufilah yang tela mengatakan idea : Wahdatul 
Maujud itu? Jawapannya mudah sahaja. Segolongan ahli falsafah dalam zaman 
purba juga dalam zaman moden telah pun memperkatakan idea ini dan telah 
mendokongknya dengan erti bahawa Allah dengan segala makhluknya adalah satu 
jua seperti yang didakwakan dan didustakannya itu.

Dalam zaman Yunani purba Heraclius telah mengatakan bahawa Allah itulah 
siang dan malam, Allah itulah musim panas dan musim sejuk. Allah itulah 
banyak dan sedikit, Allah itulah benda bekuan dan cair. Tuhan yang 
digambarkan oleh otaknya ialah sebagai bahan api yang harum. Maha Suci Allah 
daripada segala yang dikatakan. Tuhan menurut salah seorang ahli falsafah 
moden di Barat ialah senyuman manis di bibir kanak-kanak yang comel. Tuhan 
itulah juga hembusan bayu yang sungguh nyaman di musim bunga, itulah juga 
sinar cahaya gemerlapan yang indah dari bintang-bintang yang bertaburan; 
itulah juga kuntum bunga yang kembang mekar di taman, Tuhan itulah keindahan 
di mana-mana; tapi juga menurutnya itulah kehodohan di mana-mana, samalah 
seperti kanak-kanak yang punya kecomelan dan keindahan semulajadinya itu 
yang akhirnya akan mati menjadi bangkai, dimakan ulat dan cacing dalam 
kuburnya. Kata-kata seperti ini walaupun datangnya dari orang-orang yang 
digelar ahli falsafah hanya akan disambut oleh seorang mukmin dengan ucapan 
panjang Astaghfiru'llah!

Idea Wahdatul Wujud dengan erti Wahdatul Maujud itu mempunyai peminat dan 
pendokongnya pada setiap zaman. Manakala ahli-ahli Sufi mengemukakan 
al-Wujud al-Wahid atau Wujud Yang Tunggal lantas mereka yang memusuhi atau 
tidak bersetuju dengan perjalanan dan aliran Sufi segera mentafsirkannya 
dengan teori dan idea falsafah; ditafsirkannya dengan Wahdatul Maujud 
sedangkan amat jauh sekali perbezaan antara dua pengertian dan maksud 
tersebut. Tetapi biasanya kerana tidak sealiran dan lebih-lebih lagi 
bermusuhan seorang itu sanggup berdusta dan mengelirukan asalkan dapat 
mencapai matlamat dan tujuan untuk menjatuhkan lawannya. Memang tepat kalau 
pernah dikatakan : Matlamat menghasilkan cara.

Suatu perkara yang sangat penting sebagai satu faktor dalam usaha 
mengelirukan fahaman dan idea ahli Sufi yang sebenar tentang al-Wujud 
al-Wahid ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a. Beliau telah mengemukan 
pendapat tentang falsafah ilmu kalamnya bahawa al-Wujud itulah 'Ayn 
al-Maujud. Pendapatnya itu tidak dipersetujui oleh ahli Sufi, bahkan juga 
tidak diakui oleh banyak tokoh-tokoh ahli fikir Islam, juga oleh ahli 
falsafahnya. Pendapat yang dikemukakan oleh Imam Abu Hasan merupakan idea 
falsafah yang mungkin salah ataupun mungkin benar. Segala 
pendapat-pendapatnya yang lain yang bersifat falsafah itu adalah juga sama 
kedudukannya dengan pendapat-pendapat ahli-ahli falsafah atau ahli fikir 
dalam bidang yang sama yang mungkin salah ataupun benar.

Mereka yang tidak menyetujui Imam al-Asy'ari berpendapat bahawa al-Wujud itu 
bukanlah al-Maujud. Al-Wujud ialah yang dengan sebabnya al-Maujud itu wujud. 
Manakala ahli Sufi mengemukakan idea al-Wujud al-Wahid lantas ditafsirkannya 
dengan pendapat Imam al-Asy'ari tanpa sedikit pun mera'ikan perbezaan aliran 
dan pendapatnya. Maka kata-kata al-Wujud al-Wahid telah ditafsirkan dengan 
idea al-Maujud al-Wahid. Dengan tafsiran yang mengelirukan dari ahli 
falsafah ini dapat mengikis kepercayaan kepada musuhnya, ahli-ahli Sufi.

Satu perkara lain yang sewajibnya diberikan perhatian kerana menurut logik 
kajian adalah tidak bernilai sehingga tidak perlu untuk diberikan perhatian; 
iaitu pendapat-pendapat yang dikemukakan dan tersebar luas di sana sini 
tentang Wahdatul Wujud. Semua pendapat itu adalah rekaan, pengeliruan yang 
sesat dan tidak benar dari segi maknanya, rendah dari segi nilai 
falsafahnya, dan begitu asing dari suasana keIslaman, yang menggambarkan 
dari segi makna dan bentuknya hanya sengaja direka-reka. Segala pendapat 
atau kritik yang dihubungkan dengan Al-Hallaj atau kepada yang lain-lainnya 
tidak ditulis oleh penanya. Mereka dari golongan yang tertentu sengaja 
mereka-reka dan mengada-ngadakannya, kemudian atas rekaan itulah 
dijadikannya asas untuk membuat hukuman; kafir atau sesat. Cara ini menurut 
timbangan logik penyelidikan sudah cukup menjadi bukti bahawa keilmiyahannya 
tidak boleh dipercayai.

Al-Wujud al-Wahid;  apakah dalam kata-kata ini mengandungi keraguan? Itulah 
wujudnya Allah yang terkaya dengan Zat-Nya dari segala yang selainnya. 
Itulah wujud yang Maha Haq yang memberikan dan mengurniakan kewujudan kepada 
segala sesuatu. Tidak ada sesuatu selain-Nya yang dapat memberikan dan 
mengurniakan wujud. Maha Suci Dia yang wujudnya dari Zat diri-Nya. Maha Suci 
Dia Tuhan Maha Pencipta, Penjadi dan Pembentuk segala sesuatu yang 
dijadikannya; Al-Khaliq, al-Bari', al-Musawwir.

Firman-Nya, bermaksud :

"Dialah (Allah) yang membentuk (kejadian) kamu dalam rahim sebagaimana yang 
dikehendaki-Nya."

[Ali-Imran : 6]

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan makna "Pembentukan" itu ialah 
:

Firman-Nya, bermaksud :

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah mencipta manusia (insan) dari saripati 
tanah. Kemudian Kami jadikannya setitis air mani (yang tersimpan) dalam 
tempat yang kukuh (rahim), kemudian Kami ciptakan mani itu 'alaqah, lalu 
Kami ciptakan 'alaqah itu mudhghad, lalu Kami ciptakan mudhghad itu tulang, 
lalu Kami pakaikan tulang itu (dengan) daging. Kemudian Kami jadikan ia 
makhluk yang lain (berbentuk). Maka Maha Suci Allah Maha Pencipta yang 
paling indah. Kemudian sesudah itu sesungguhnya kamu sekalian pasti mati. 
Kemudian sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburan) pada 
hari Kiamat."

[Al-Mu'minun : 12-14]

Jadi hubungan Allah dengan manusia ialah bahawa Allah telah memberikan dan 
mengurniakan wujud mengikut apa yang dikehendaki pada setiap detik dan 
ketika yang sentiasa bersambungan lalu tergambarlah bahawa hidupnya itu 
sentiasa bergantung kepada limpahan wujud Allah yang tidak terpisah walau 
sedikit pun.

Hubungan Allah dengan alam kejadian yang lain adalah dalam bentuk yang sama. 
Allah yang memegang langit dan bumi dari jatuh, dan sekiranya jatuh tidak 
ada siapa pun yang dapat memegang (menahannya) selain-Nya. Dialah Allah yang 
memegang kedua-dua; langit dan bumi dari segi wujudnya; Dialah Allah yang 
memegang kedua-duanya dari segi penyusunan, kerapian dan keselarasannya. 
Manakala terputus sahaja hubungan wujudnya maka akan berkecailah kedua-dua, 
bumi dan langit, sama ada kualiti atau kuantitinya.

Sesungguhnya Allah meliputi (Muhit) alam semesta raya ini. Allah mengusai 
dan mengawali (al-Muhaymin), yang sentiasa mengawasi dan menguasai 
(al-Qayyum) setiap yang di langit dan di bumi, setiap jiwa dan diri dalam 
setiap apa yang dilakukan, setiap atom yang ada dalam sel-sel, bahkan pada 
setiap yang kecil dari itu, sehingga tidak ada suatu pun yang terlindung 
dari "Haymanatih Wa Qayyumiyyatih" walau sebesar debu atom sekali pun.

Sifat Qayyumiyyatullah ini telah dibincang dan diceritakan oleh Al-Quran dan 
Sunnah secara meluas demi untuk menggerakkan, menggoncang dan menggegar 
perasaan jiwa manusia supaya tidak merasakan bahawa ia akan kekal di bumi 
dan tidak mentaati hawa nafsunya, tetapi supaya ia meningkat tinggi dengan 
pandangannya, supaya menjangkau ke alam tertinggi dengan hakikat 
keinsanannya; iaitu dengan membersihkan dirinya dari pengabdian kepada 
kebendaan, supaya dengan itu dapat pula menTauhidkan Allah dalam ubudiyyah 
yang tulin dan suci, tidak dicampuri oleh apa jua kesyirikan sama ada syirik 
hawa nafsu, syirik dari penguasaan kebendaan atau penguasaan sifat-sifat 
naluri kemanusiaan.

Di sini ingin kita jelaskan setengah dari pendirian Al-Quran dalam perkara 
tersebut. Allah sentiasa menarik perhatian kita kepada beberapa ayat dalam 
surah Al-Waqi'ah, yang mengandung beberapa masalah yang biasanya kita lalai 
dan melupainya.

Firman-Nya, bermaksud :

"Apakah kamu lihat air mani yang kamu keluarkan? Adakah kamu yang 
menciptakannya ataukah Kami yang menciptanya?"

[Al-Waqi'ah : 58-59]


"Apakah kamu lihat apa yang kamu tanamkan? Adakah kamu yang menumbuhkannya 
ataukah Kami yang menumbuhkannya?"

[Al-Waqi'ah : 63-64]


"Apakah kamu lihat air yang kamu minum? Adakah kamu yang menurunkan dari 
simpanannya ataukah Kami yang menurunkannya?"

[Al-Waqi'ah : 68-69]


Apakah kamu lihat api yang kamu nyalakan? Kamukah yang menjadikan kayu itu 
atau Kamikah yang menjadikannya?"

[Al-Waqi'ah : 71-72]

Kembalikan dari kenyataan itu ialah bahawa sekiranya dikehendaki oleh Allah 
nescaya tidak akan diciptanya manusia; nescaya dihapuskan tanam-tanaman 
menjadi debu; nescaya tidak diturunkan air hujan dari tangki simpanannya; 
nescaya tidak diterbitkan pokok yang mengeluarkan api. Maka terbuktilah dari 
keterangan ayat ini bahawa di tangan-Nya sahaja urusan segala perkara : yang 
negetif atau positifnya. Di tangan-Nya sahaja urusan penciptaan, mewujudkan 
atau mentiadakan.

Firman-Nya lagi, bermaksud :

"Kemenangan di medan perang sebenarnya adalah kemenangan dari Allah."

[An-Anfal : 10]


"Demikian juga musuh-musuh gugur di medan perang bukanlah tangan kita yang 
membunuhnya tetapi hakikatnya adalah Allah yang membunuhnya. Lontaran anak 
panah yang anda panahkan itu sebenarnya bukanlah dari lontaran anda tetapi 
Allah yang melontarnya."

[Al-Anfal : 17]


Cuba amati ayat ini di dalam firman-Nya, yang bermaksud :

"Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya! Sesungguhnya Kami 
benar-benar telah mencurahkan air (dari langit). Kemudian Kami belah bumi 
dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan bijian di bumi itu. Anggur dan 
sayur-sayuran. Zaiton dan pohon Kurma. Kebun-kebun yang lebat. Dan 
buah-buahan serta rumput-rumputan. Untuk kesenangan dan untuk binatang 
ternakan kamu."

['Abasa : 24-32]

Haymanatullah dan Qayumiyyatuh adalah tetap dan pasti pada setiap kejadian 
dan ciptaan-Nya. Ia tetap dilalui cuma tidak dirasakan dan disedari oleh 
segolongan terbesar manusia yang sama taraf rasaan dan kesedarannya itu 
seperti haiwan. Wujud-Nya Allah yang empunya sifat tadi tidak sedikit pun 
terasa dalam dirinya. Yang menjadi tumpuan dan perhatian pada setiap pagi 
dan petang hanyalah harta dan kekayaan, menimbus emas dan perak, 
berlumba-lumba memburu pangkat dan kedudukan, atau berusaha dan berjuang 
untuk mengekalkan kedudukan atau kekuasaan. Berapa banyak ayat Allah telah 
dilalui tetapi tidak mereka menyaksikannya, bahkan mereka sentiasa 
dikelilingi oleh kesan-kesan dan tanda-tanda kekuasaan Allah tetapi tidak 
melihat dan memperhatikannya. Mereka tetap dilimpahi oleh nikmat Allah 
tetapi tidak menyedari untuk bersyukur. Sesungguhnya Allah tidak mendapat 
tempat sedikit pun dalam hati mereka, pun tidak dalam fikirannya, pun juga 
tidak dalam hidupnya.

Berlainan dari golongan tersebut terdapat segolongan yang benar-benar 
tenggelam dalam lautan Ketuhanan; yang benar-benar merenangi dan 
mengharunginya; yang benar-benar menyedut kenyamanan tiupan bayunya; yang 
benar-benar diselubungi oleh sinar dan pancaran cahayanya. Mereka telah pun 
memuji dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya yang penuh melimpahi dari seluruh 
arah kelilingnya, lalu ditambahi dengan limpahan nikmat :

Firman-Nya yang bermaksud :

"Dan sekiranya kamu bersyukur nescaya Kami tambah (rezeki) kamu."

[Ibrahim : 7]

Mereka telah benar-benar bertaqwa menepati konsepnya yang dikehendaki lalu 
diberikan pada-Nya ilmu :

Firman-Nya lagi, bermaksud :

"Bertaqwalah kepada Allah, Allah yang mengajar kamu."

[Al-Baqarah : 282]


Memada pada mereka bahawa Allah itu penunjuk dan penolong maka mereka telah 
menerima hidayat ke jalan yang lurus, mereka telah diberi kekuatan untuk 
mengalahkan dan menguasai hawa nafsunya dan juga musuh-musuhnya yang 
abadinya dan hakiki. Seterusnya sedikit demi sedikit mereka berusaha dengan 
jaya untuk menghakikatkan Tauhid yang tulen dalam segala aspek kehidupannya 
dalam kata dan pertuturannya, kepercayaan dan aqidahnya dalam rasaan dan 
hakikatnya. Dengan itu mereka melihat dan merasakan dalam kalimah sakti "la 
ilaha ilallah" itu kedalaman, kehalusan dan keindahan maknanya yang tidak 
dirasakan oleh golongan-golongan lainnya.

Seiringan dengan itu makna syirik pula semakin terang dan semakin jelas 
sehingga dalam bentuk yang tak pernah terlintas dalam hati dan fikiran 
orang-orang yang lalai kerana dibuai oleh harta dan keluarga. Seterusnya ia 
semakin berusaha untuk meruntuhkan dinding-dinding dan tembok-tembok syirik; 
menghancur dan memusnahkan patung-patung berhalanya, hawa nafsu, syaitan, 
naluri kehaiwanan, dan naluri keinsanan, sehingga runtuhlah jenis-jenis 
syirik itu dari bisikan hati. Tegasnya runtuhlah syirik yang jali dan syirik 
khafi. Yang kekal dan tetap terpaku kukuh dalam rasaan, ehwal dan maqamnya 
ialah kalimah "la ilaha ilallah".

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah), di 
situlah arah yang diredhoi Allah."

[Al-Baqarah : 15]


Di mana pun mereka berada maka Allah ada bersamanya. Dia lebih hampir dari 
urat lehernya; lebih dekat dari teman duduk dan teman hidupnya. Allah 
melimpahi seluruh dirinya, lalu tidak ada yang dilihat selain hanya Dia 
sahaja, yang bersifat Qayyum di langit dan di bumi. Tidak melihat selain 
dari hanya Dia yang mengurus segala sesuatu, dari yang sekecil-kecilnya 
hinggalah yang sebesar-besarnya. Ia tidak melihat selain dari hanya Dia yang 
memiliki kekuasaan.

Firman-Nya, yang bermaksud:

"(Allah) yang mempunyai kuasa pemerintah, Engkaulah yang memberi kuasa 
pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang 
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkaulah 
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang 
menghina sesiapa yang Engkau kehendaki."

[Ali-Imran : 26]


Mereka telah menepati sifat golongan yang dipanggil (Rabbaniyun). Allah 
telah menguasai penglihatan, pendengaran, anggota dan hatinya. Benar-benar 
Allah telah mengisi seluruh diri, mengisi segenap ruang jiwa sehingga tidak 
ada tempat untuk yang lain.

Golongan manusia Sufi cuba mengajak segolongan dan sebilangan kecil dari 
manusia kepada Allah. Mereka berusaha dengan terus tanpa putusan, tanpa jemu 
dan bosan untuk mencabut pandangan manusia yang ditumpu ke alam kebendaan 
supaya mengangkatkan pandangannya ke langit. Mereka cuba menarik pandangan 
dan perhatian manusia kepada Allah melalui ayat-ayat yang sentiasa meliputi 
kehidupan mereka, melalui rahsia kejadian dan ciptaannya. Sesungguhnya Allah 
yang mengindah segala ciptaan-Nya.

Mereka berusaha ke arah itu melalui keindahan kuntum bunga yang sedang 
kembang mekar; melalui tumbuh-tumbuhan yang mengarahkan wajahnya ke langit; 
melalui matahari yang memancarkan sinar cahaya; melalui bulan yang indah 
mengambang di awan; melalui planet bintang dan peredarannya; dan melalui 
pada segala ciptaan-Nya yang sentiasa berlaku di alam semesta.

Golongan manusia ini cuba memahami dan menjelaskan kandungan ayat-ayat Allah 
seperti :

Firman-Nya Allah Ta'ala yang bermaksud :

"Maha Suci Allah yang ditangan-Nyalah terletak segala kerajaan, dan Dia Maha 
Kuasa ke atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia 
menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia <aha 
Perkasa lagi Maha Pengampun. Yang telah mencipta tujuh lagit berlapis-lapis; 
kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah sesuatu 
pun yang tidak seimbang. Oleh itu lihatlah berulang-ulang kali adakah kamu 
lihat sesuatu yang tidak seimbang. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya 
penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan 
penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah."

[Al-Mulk : 1-4]


Ta'biran atau expresi mereka adalah ta'biran orang yang penuh kehalusan 
rasa, bukannya ta'biran yang berjiwa kasar membantu dari golongan ahli 
falsafah dan Ulama' Kalam. Dengan ta'biran itu mereka menjelaskan bahawa 
Allah jua yang menghulurkan wujud bagi segala yang maujud. Dialah yang 
menghulurkan gerak berdiri bagi setiap yang berdiri, yang menghulurkan gerak 
berjalan bagi setiap yang berjalan, yang menghulurkan gerak bagi setiap yang 
bergerak.

Menurut gambaran yang diberikan oleh ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan Asy'ari 
bahawa Dialah Allah yang memotong bukannya pisau yang memotong. Dialah yang 
membakar bukannya api yang membakar. Dialah yang mengatakan kepada api 
manakala dikehendaki-Nya :

Firman-Nya, bermaksud :

"Wahai api sejuklah engkau dan sejahtera."

lalu jadi sejuk dan memberikan kesejahteraan kepada yang dikehendaki-Nya.

Melalui peningkatan dalam perjuangan nafsu tadi maka nafs atau jiwa diri 
insan itu akan berubah sifatnya dari setingkat ke setingkat mengikut sejauh 
mana darjah kebersihan dan kesuciannya, kejernihan dan keheningannya, 
kecahayaan dan kesinarannya. Setiap peringkat itu diberikan namanya :

al-Nafs
al-Nafs al-Natiqah (al-'Aql)
al-Qalb
al-Ruh
al-Sirr
al-Khafiy
al-Akhfa

Setiap nama itu menepati sifat dan keadaan al-Nafs al-Insani atau Diri Jiwa 
Insan hasil dari sejauh mana usaha melaksanakan konsep Tazkiyyah atau pun 
tidak.

al-Nafs al-Ammarah
al-Nafs al-Lawwamah
al-Nafs al-Mulhimah
al-Nafs al-Mutmainnah
al-Nafs al-Radiyyah
al-Nafs al-Mardiyyah
al-Nafs al-Kamilah

Yang dimaksudkan dengan nama-nama yang tersebut itu bukanlah dari sudut 
fizikalnya tetapi sudut kerohaniannya yang halus dan tersembunyi serta 
rahsia, iaitu seperti yang diistilahkan oleh ahli Sufi dengan Lata'if :

Latifatu'n-Nafs
Latifatu'l-Qalb
Latifatu'r-Ruh
Latifatu's-Sirr
Latifatu'l-Khafiy
Latifatu'l Akhfa


Akhlak yang telah digariskan oleh wahyu ini pun masih memerlukan gambaran 
contoh atau corak tauladan yang tepat menepati dengan garis akhlak yang 
terkandung dalam wahyu untuk diikuti dan dicontohi oleh manusia. Dengan 
penjelasan lain bahawa akhlak yang layak menjadi wasilah kepada matlamat 
Tasauf itu perlukan kepada al-Dalil al-Akhlaqi dalam kedua-dua garisnya, 
iaitu panduan akhlak yang tersirat dalam diri seseorang manusia. Sebagai 
terjemahan yang tepat dan hakiki kepada akhlak yang tersurat, atau sebagai 
pelaksanaan yang tepat dan menepati dengan panduan yang tersirat, demi untuk 
dijadikan contoh ikutan dan model tauladan dalam kehidupan manusia.

Demikianlah kedudukan akhlak dalam Tasauf yang merupakan sebagai wasilah 
yang terpenting untuk mencapai matlamatnya. Akhlak sebagai kekuatan Iradah 
untuk menjalani jihad nafsu demi untuk membersih dan menjernihkan jiwa, 
serta mempertingkatkan kesucian dan kerjenihan jiwa sehingga ke peringkat 
yang layak untuk menjadi pusat limpahan ma'rifat dan musyahadah.

Suatu yang perlu dijelaskan di sini bahawa bentuk akhlak yang layak menjadi 
wasilah kepada matlamat Tasauf iaitu akhlak Allah, iaitu akhlak Allah yang 
telah digariskan oleh Allah sendiri melalui Kalamullah yang qudus dan suci, 
terpelihara dari perubahan dan pengubahan, penambahan dan pengeliruan 
jelasnya melalui wahyu yang kekal dan abadi.

Al-Quran adalah panduan yang tersurat secara abdi qudus dan suci sementara 
Rasulullah SAW adalah panduan yang tersirat yang telah melaksanakan 
panduan-panduan akhlak Al-Quran dengan tepat dan bulat, padu dan padat. 
Hanya Baginda Rasulullah SAW sahaja yang telah dapat menterjemahkan panduan 
Tasauf itu dengan sempurna dan tepat sebagaimana yang diakui dan diiktiraf 
sendiri oleh Al-Quran :

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Demi pena dan dan apa yang mereka tulis. Engkau (Muhammad) bukanlah orang 
yang gila lantaran nikmat Tuhanmu. Engkau tetap akan mendapat pahala yang 
besar, tidak putus-putus. Engkaulah pemilik akhlak yang sangat agung."

[Al-Qalam : 1-4]

Allah telah bersumpah dengan tiga perkara yang amat penting dalam ilmu dan 
Ilmiyyah :

"Da'wat - Pena - dan Tulisan"

Sumpahan ini diikuti dengan penafian sifat rendah, kekurangan dan hina pada 
diri Nabi Muhammad, seterusnya diiringi pula dengan pujian dan sanjungan 
dalam bentuk bahasa yang penuh kesungguhan, "Sesungguhnya engkau pemilik 
akhlak yang sungguh agung." Kemudian diakhiri dengan penegasan yang bulat 
dan kuat bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad pemilik akhlak yang agung. 
Penegasan ini diperkukuh dengan tiga alatnya, huruf "inna", huruf "lam" dan 
huruf "'Ala".

Keagungan akhlak Muhammad adalah kerana akhlaknya menepati akhlak Al-Quran. 
Tidak ada keagungan yang sebenar dan hakiki melainkan keagungan yang 
diberikan oleh Allah yang Maha Agung yang empunya sifat-sifat Maha Tinggi 
dan yang empunya nama-nama yang Maha Indah.

Pengakuan dan pengiktirafan daripada Allah inilah yang satu kelayakan yang 
mutlak untuk menjadi contoh ikutan dan model tauladan yang abadi kepada umat 
manusia. Sebagaimana panduan akhlak yang tersurat itu terjamin kekal dalam 
kekudusan dan kesuciannya demikian juga panduan akhlak yang tersirat dalam 
Sirah Muhammad adalah terjamin kekal dalam pemeliharaan :

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan 
yang baik, iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan keredhoan Allah dan 
balasan di akhirat serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah."

[Al-Ahzab : 21]


Berdasarkan hakikat ini, perjuangan nafsu untuk membersih jiwa dan 
menyucikan hati pastilah mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah. Tegasnya 
berakhlak dengan akhlak Allah sebagai wasilah untuk mencapai matlamat dalam 
Tasauf itu pastilah dan sememangnya sudah pasti mengikut panduan akhlak 
Rasulullah SAW. Hanya itulah panduan yang akan mencapaikan kepada matlamat 
Sufi yang sebenar dan hakiki sehingga melayakkan diri unruk menerima gelaran 
: "Rabbaniyyun."


KESIMPULAN

JANGAN sekali-kali berani mengaku diri Tuhan sama ada zahir ataupun batin 
selagi manusia itu berada di dalam dirinya. Maksudnya bukan'arad atau rupa 
yang berbentuk itu Tuhan, Tuhan tidak dapat dilihat dan tidak dapat diraba 
dengan tangan (is not tangible).

Saya ingin menari perhatian apa kata Hadhrat Mansur Al-Hallaj, menasihati 
khadam dan anak lelakinya, kata beliau :

"Jangan tunduk kepada hawanafsumu, jika kamu tunduk kepadanya ia akan 
mempengaruhi kamu supaya membuat dosa dan maksiat. Dan dunia ini mencari 
hidup berakhlak, tetapi kamu carilah hidup Ketuhanan, itu lebih baik. 
Walaupun sedikit kamu mendapat hidup Ketuhanan itu, maka ianya adalah lebih 
baik dari semua amalan yang dilakukan oleh manusia dan Malaikat dan ingat! 
Selagi seseorang itu di dalam kesedaran pancainderanya jangan sekali-kali 
menyebut (Ana Al-Haq) "Aku Yang Benar" atau akulah Tuhan, sama ada lisan 
maupun di dalam hati. Kerana selagi ia manusia, ia bukanlah Tuhan. Jika ia 
menyebut perkataan itu, maka ia adalah palsu dan bid'ah."

Apa yang dinasihati oleh Hadhrat Mansur Al-Hallaj itu adalah benar. Bukan 
semudah apa yang kita fikirkan. Ramai yang tersalah tafsir mengatakan 
manusia itu Tuhan, manusia tidak tahu apa-apa dan tidak mempunyai ilmu atau 
dapat mengenal Allah. Bererti tidak dapat hendak memperbezakan "al-innas" 
dengan "al-insan". Oleh kerana ilmu Tasauf sudah banyak dirosakkan orang 
dalam penyampaian dan tafsiran yang bid'ah. Kerana tidak berpegang kepada 
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, dan dengan adanya Al-Quran, Hadis-hadis 
Rasulullah SAW dapatlah manusia petunjuk jalan yang lurus dan dapat mengenal 
ilmu Tauhid dan Ma'rifat.

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, oleh kerana itu 
turutlah dia, dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan lain, kerana hal itu 
akan memisahkan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Ia wasiatkan kepadamu 
supaya kamu memelihara diri".

[Al-An'am : 153]

Bila membicarakan perihal Wahdatul Wujud ini, tiada apa yang "melucukan". 
Tetapi cukup "very interesting subject"! Yang " "melucukan" adalah bagi 
manusia-manusia yang tidak berakal dan hidup di dalam kebingungan. Buta mata 
hati mereka! Ada akal tetapi tidak mahu berfikir, ada mata tetapi buta. 
Kalaulah dah mata yang zahir itu "dibutakan", apatah lagi "mata batin"?!

Oleh itu sebagai rakan yang sama-sama memperjuang dan memartabatkan Syiar 
Islami ini, adalah suka saya nasihat-menasihati untuk saudara Zain y.s. , 
rakan-rakan di dalam Al-Ahkam dan rakan-rakan yang lainnya, di dalam 
membicarakan persoalan Tasauf dan wahdatul Wujud ini, adalah lebih baik 
jangan diperlekehkannya! Gunakanlah fatwa Al-Quran, Al-Hadis, Ijma Ulama' 
dan Qias dengan tafsiran-tafsiran yang rasional perbahasannya. Jangan 
hentam-kromo dengan tuduhan-tuduhan sesat, bid'ah, murtad dan sebagainya 
dengan sewenang-wenang tanpa memikirkan implikasi yakni kesan daripada 
perbuatan keceluparan mulut dan akal fikiran kita.

Saya tidak memaksa untuk tuan-tuan ikut dan menyokong setiap apa yang saya 
luah dan ketengahkan. Saya tidak meminta setiap ulasan-ulasan, pendekatan 
dan kefahaman saya diterima pakai untuk diamalkan. Apa yang saya usahakan 
ini adalah untuk mengajak sahabat-sahabat membaca message yang hendak saya 
sampaikan.

Pendekatan saya mudah saja di dalam menuntut dan mempelajari sesuatu ilmu 
itu. Kalau fahaman yang saya bawa ini salah dan berlawanan dengan hukum 
Allah, maka tolak dan gugurkanlah ianya! Jangan ikut dan patuhi arahan. 
Bukan ke mudah! Buat apa nak pening-pening kepala dan pusing-pusing 
berbelit-belit bermain dengan kata-kata dan hujjah???

Tiga kiasan diberikan untuk berfikir sejenak supaya dapat kita memikirkan 
apakah maksud kata-kata kiasan yang dipaparkan di bawah ini :

a)      Besi ada tiga jenis, katakanlah. Besi berani, besi biasa, besi berkarat. 
Cuba kita masukkan ketiga-tiga besi itu ke dalam api, apabila semua besi itu 
sudah bersatu atau sebati dengan api, dapatkah kita mengagaknya yang mana 
satu besi dan yang mana satu api. Kerana leburnya sifat keaslian besi itu ke 
dalam sifat api dan yang mana satu sifat yang kita hendak musyahidahkan, 
adakah 'ain besi atau 'ain api itu. Akal hanya mengetahui yang api itu 
sebagai bahan pembakar saja tidak lain dari itu.

b)      Kerana mungkin bagi seseorang yang tidak pernah melihat cermin seumur 
hidupnya akan terpesona oleh cermin itu apabila ia melihat cermin itu dan 
menyangka apa yang dilihatnya dalam cermin sebagai bentuk rupa cermin itu 
sendiri. "Serupa" dengannya, yang mana satu cermin dan yang mana satu rupa 
orang itu. Kerana rupa orang itu sudah bersatu atau fana' dengan 'ain 
cermin.

c) Seseorang lain melihat arak dalam gelas dan menyangka arak itu sebagai 
warna gelas. Jika sangkaan itu telah menjadi sebati di fikirannya ia pun 
lenyap dalam sangkaannya itu, lalu ia menyanyi : "Gelas itu nipis, arak itu 
jernih, kedua-duanya serupa, perkara ini rumit sekali, kerana seolah-olah 
ada araknya dan tidak ada gelas arak di situ atau seolah-olah ada gelas arak 
dan tidak ada araknya." Dapatkah kita meneka mana satu gelas dan yang mana 
satu arak kalau kedua-duanya sudah sebati menjadi satu.

Itulah tiga kiasan atau perbandingan berkenaan ilmu ma'rifat-tu-ma'rifat 
yang dapat saya terangkan dengan ringkas saja.

Adakah saudara Zain y.s. faham maksud message saya ini???

Saudara Zain y.s., adakah saya ini pendokong Wahdatul Wujud???

Murtad? Syirik? Kafir? Zindik??? Mengapa perkataan-perkataan ini keluar 
apabila membahaskan Wahdatul Wujud??? Siapa yang layak menerima "anugerah" 
tersebut???

Secara peribadi, saya memang "sentiasa" merujuk kepada Guru-guru Mursyid 
yang mu'tabar di dalam perkara Wahdatu Wujud ini. Tok fakir mana yang tidak 
saya jumpa! Dan jalan yang paling terbaik di dalam persoalan ini ialah 
merujuk terus ke Hadhrat Ilahi. Bagaimana???

Ilmu adalah untuk diimplementasikan, buklan untuk diperaga!

Jangan suka membuat telahan dan tuduhan yang bukan-bukan. Apa yang lebih 
mendukacitakan, tuan-tuan rakus membuat tuduhan dan kritikan terhadap 
fahaman dan aliran Wahdatul Wujud. Tetapi dalam masa yang sama juga 
tuan-tuan sendiri tidak faham apakah pendekatan dan kefahaman yang ada pada 
Wahdatul Wujud itu. Inikan pelik bunyinya!

Jadi, fikir-fikirlah! Setiap amalan dan perbuatan kita akan dihisabkan kelak 
di Yaumul Mahsyar, satu persatu. Jangan pula menyesal dikemudian hari, 
apabila DITERLANJANGKAN kepada umum akhirat nanti!

Harap maaf! Segala kesulitan amat dikesali!

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri


______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke