*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabatku saudara/i yang dikasihi, disayangi, diingati dan 
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.

Izinkan saya menyambung sesi kedua, pada membicarakan tajuk

TASAUF/TARIQAT : PENDEKATAN DAN KEFAHAMAN [Bahagian 2]



MAKNA TARIQAT

Pengertian :

"Tariqat" - menurut bahasa ertinya "jalan", "cara", "garis", "kedudukan", 
"keyakinan" dan "agama".

Kamus Dewan (edisi baru) Kuala Lumpur tahun 1989, menyatakan bahawa 
"Tarekat" ialah 1. jalan; 2. jalan untuk mencapai kebenaran (dalam tasauf); 
3. tertib hidup (mengikut peraturan agama atau ilmu kebatinan); 4. 
perkumpulan penuntut ilmu tasauf.

Kamus "Modern Dictionary Arabic - English" oleh Elias Anton dan Edward 
Elias, edisi IX, Cairo tahun 1954 menyatakan bahawa "Tariqat" ialah "way" 
(cara atau jalan) "methode" dan sistem of belief" (mehoda dan satu sistem 
kepercayaan).

Kata "Tariqat" disebutkan Allah dalam Al-Quran sebanyak 9 kali dalam 5 
Surah, dengan mengandungi beberapa erti sebagai berikut :

1. Surah An-Nisa' : 168 -

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan melakukan kezaliman, 
Allah sekali-kali tidak akan mengampuni (dosa) mereka dan tidak (pula) akan 
menunjukkan jalan kepada mereka."


2. Surah An-Nisa' : 169 -

Maksudnya : "Melainkan jalan ke Neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya 
selama-lamanya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."


3. Surah Thoha : 63 -

Maksudnya : "Mereka berkata : "Sesungguhnya dua orang ini adalah benar-benar 
ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri kamu dengan sihirnya dan 
hendak melenyapkan "kedudukan" kamu yang utama."


Ayat itu menerangkan kedatangan Nabi Musa a.s. dan Harun ke Mesir, akan 
menggantikan Bani Israil sebagai penguasa di Mesir. Sebahagian ahli tafsir 
mengertikan "Tariqat" dalam ayat ini dengan "keyakinan" (Agama)."

Menurut Ibnu Manzhur (630 - 711H) dalam kitabnya "Lisanul Arab" jilid 12 
halaman 91, erti "Tariqat" dalam ayat itu adalah "ar-rijalul asyraf", 
bermakna "tokoh-tokoh terkemuka".

Jadi ayat itu bererti, kedatangan Nabi Musa dan Harun ke Mesir adalah untuk 
mengusir kamu dengan sihirnya dan hendak melenyapkan jamaah atau tokoh-tokoh 
terkemuka kamu."

Lebih jauh Ibnu Manzhur menyatakan "hadza thariqatu Qaumihi"...ertinya 
"inilah tokoh-tokoh pilihan kaumnya."

Al-Akhfasy menyatakan "bithariqatikumul mutsla" ertinya "dengan Sunnah dan 
agama kamu yang tinggi."

"Tariqat" bererti juga "al-khaththu fis-syai-i"...ertinya "garis pada 
sesuatu."

"Thariqatul baidhi"...ertinya "garis-garis yang terdapat pada telur."

"Thariqatul romal"...ertinya "sesuatu yang memanjang dari pasir - ma imtadda 
minhu."

Al-Laits menyatakan "Tariqat" ialah "tiap garis di atas tanah, atau jenis 
pakaian, atau pakaian yang koyak-koyak. Itulah "Tariqat"nya.

"Tariqat" jama'nya "tharaiq", bererti "tenunan dari bulu", berukuran 4 
sampai 8 hasta kali satu hasta, dipertautkan sehelai demi sehelai."

Menurut Tafsir "Al-Jamal" jilid 3, hal. 99, "bithariqatikumul 
mutsla"...dalam Surah Thoha : 63 itu, ertinya "bi-asyrafikum", bermakna 
"dengan orang terkemuka kamu." Kata "Tariqat" itu dipergunakan untuk 
tokoh-tokoh terkemuka, kerana mereka itu menjadi ikutan dan anutan orang 
banyak, sebagaimana diertikan juga demikian oleh Abu As-Su'ud.

Dalam "Mukhtarus Shihhah", disebutkan "wa thariqatul qaumi" ialah 
"amatsiluhum dan jiaduhum", ertinya "orang-orang besar dan terbaik di antara 
mereka."

"At-thariqatu" diertikan juga "syariful qaumi", bermakna "tokoh terjormat 
suatu kaum".

Tafsir Ibnu Katsir jilid 3, hal. 157 menyatakan, "bi thariqatikumul mutsla" 
itu dengan "wa hia as-sihru", ertinya "sihir".

Ibnu Abbas mengertikannya dengan "kerajaan mereka yang mereka bekerja dan 
mencari kehidupan di dalamnya."

As-Sya'bi menafsirkannya dengan "Harun dan Musa memalingkan perhatian orang 
banyak kepada mereka."

Mujahid mengertikannya dengan "orang-orang terkemuka, cerdas dan lanjut usia 
di antara mereka."

Abu Shaleh mengertikannya dengan "orang-orang mulia di antara kamu."

'Ikrimah mengertikannya dengan "orang-orang terbaik di antara kamu."

Qatadah menyatakan "bithariqatikumul mutsla" mereka pada masa itu adalah 
Bani Israil.

Abdurrahman bin Zaid mengertikannya dengan "Billadzi antum 
'alaihi"...ertinya "dengan yang kamu berada di atasnya."

Tafsir Al-Kahzin jilid 3, hal. 273, mentafsirkan ayat itu dengan "yudzahiba 
bi sunnatikum wa bi dinukum al-ladzi antum 'alaihi", bermakna "Keduanya, 
yakni Musa dan Harun akan melenyapkan sunnah dan agama kamu yang kamu anut."

Tafsir Al-Baghawi jilid 4, hal. 273, orang Arab menyatakan "fulanun 'alat 
thariqatil mutsla", maksudnya ialah "ala shirathim mustaqim", bererti si Anu 
berada atas jalan yang lurus.


4. Surah Thoha : 77 -

Maksudnya : "Dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa : Pergilah 
kamu dengan hamba-Ku (Bani Israil) di malam hari, maka buatlah untuk mereka 
"jalan" yang kering di laut itu, kamu tidak usah khawatir akan tersusul dan 
tidak usah takut (akan tenggelam)."

Kata-kata "Tariqat" dalam ayat itu bererti "jalan" di laut, dan terbelahnya 
Lautan Merah untuk jalan bagi Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya itu terjadi 
setelah memukulkan tongkatnya.


5. Surah Thoha : 104 -

Maksudnya : "Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan ketika berkata 
o"rang yang paling lurus" jalannya di antara mereka : "Kamu tidak berdiam 
(di dunia) melainkan hanyalah sehari sahaja."

Adapun yang dimaksudkan dengan "lurus jalannya" dalam ayat itu ialah orang 
yang agak lurus fikirannya atau amalannya di antara orang-orang yang berdosa 
itu.


6. Surah Al-Ahqaf : 30 -

Maksudnya : "Mereka berkata : "Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah 
mendengar kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang 
membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan 
kepada "jalan" yang lurus."


7. Surah Al-Mukminun : 17 -

Maksudnya : "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh buah 
jalan (tijuh buah langit) dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan (Kami).


8. Surah Al-Jin : 11 -

Maksudnya : "Dan sesungguhnya di antara kami dan orang-orang yang soleh dan 
di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adakah kami menempuh 
"jalan yang berbeda-beda?"

Al-Farra' mengertikan "kunna Tharaiqa qidada" dalam ayat itu dengan "kunna 
Firaqan mukhtalifah", bermakna adalah kami beberapa kelompok yang 
berbeda-beda.


9. Surah Al-Jin : 16 -

Maksudnya : "Dan bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas 
jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka 
air yang segar (rezeki yang banyak)."

Kata "Tariqat" dalam ayat itu bererti "agama Islam".

Demikianlah beberapa makna kata "Tariqat" dari segi bahasa.


- Tariqat Menurut Kalangan Sufi -

Adapun "Tariqat" menurut istilah Ulama' Tasauf :

1. "Jalan kepada Allah dengan mengamalkan ilmu Tauhid, Fiqah dan Tasauf".

["Al-Ayatul Baiyinat"  hal. 23, oleh Syeikh Ahmad Khathib.]


2. "Cara atau kifiat mengerjakan sesuatu amalan untuk mencapai sesuatu 
tujuan."

["Ilmu Tariqat Dan Hakikat" hal. 69, oleh T.H. Abdullah Ujong Rimba]


Berdasarkan beberapa definasi yang tersebut di atas, jelaslah bahawa Tariqat 
adalah suatu jalan atau cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, dengan 
mengamalkan ilmu Tauhid, Fiqih dan Tasauf.

Sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah dan yang dicontohkan beliau 
serta dikerjakan oleh para Sahabatnya, Tabi'in, Tabi'it Tabi'in dan terus 
turun-temurun sampai kepada Guru-guru, Ulama'-ulama' secara 
bersambung-sambung dan bersantai hingga pada masa kita ini.

Suatu contoh dapat diketahui, bahawa di dalam Al-Quran hanya dapat dijumpai 
adanya ketentuan kewajipan solat (sembahyang), tetapi tidak ada satu ayat 
pun yang memberikan perincian tentang raka'at solat tersebut. Misalnya saja 
solat Zohor sebanyak 4 rakaat, Asar 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat, Isya' 4 
rakaat dan Subuh 2 rakaat. Demikian pula terhadap syarat dan rukunnya 
solat-solat tersebut. Rasulullah SAW lah sebagai orang pertama yang 
memberikan contoh-contoh dan cara-cara mengerjakan solat-solat maktubah itu 
dengan melalui perbuatan yang ditunjukkan dan ditiru oleh para Sahabatnya 
terus turun-temurun sampai kepada kita ini lewat pelajaran-pelajaran dan 
petunjuk yang diberikan oleh para Guru, Syeikh dan para Ulama'.

Hal ini bukan bererti, bahawa Al-Quran sebagai sumber pokok hukum dalam 
Islam itu tidak lengkap, Sunnah Rasul dan Ilmu Fiqeh yang disusun oleh para 
Ulama' tidak sempurna, akan tetapi sebetulnya masih banyak penjelasan yang 
diperlukan ummat agar perlaksanaan peraturan dan ketentuan Allah dan 
Rasul-Nya dapat menurut penerimaan atau penangkapan akal bagi orang yang 
hanya mampu membaca, menghayati dan memahami yang pada puncaknya orang ini 
akan mengerjakan syariat Islam sesuai dengan kemauan hawa nafsunya sendiri.


TASAUF/TARIQAT TERMASUK ILMU MUKASYAFAH

PENYAMPAI ilmu Tasauf/Tariqat memang sukar atau susah dapat difahami oleh 
akal manusia biasa, kerana erti maksudnya terlampau seni. Itu sebablah 
hampir saja di seluruh kalangan para ahli Sufi berpendapat, bahawa 
sebenarnya Tariqat/Tasauf itu adalah termasuk ke dalam kerangka Ilmu 
Mukasyafah atau ilmu "Di Sebalik Tabir" yang dapat memancarkan cahaya ke 
dalam hati para penganutnya (pengamal). Sehingga dengan cahaya (Nur) itu 
terbukalah segala sesuatu yang ada di balik rahsia ucapan-ucapan Nabi dan 
demikian pula halnya terhadap segala sesuatu yang ada di balik rahsia cahaya 
Allah.

Ilmu Mukasyafah tidak begitu sahaja mudah dipelajari, kecuali bila ditempuh 
dengan melalui jalan latihan batin (Riyadhah) dan perjuangan melawan hawa 
nafsu (Mujahadah). Dengan kesungguhan menempuh jalan yang demikian ini, maka 
sedikit demi sedikit akan menjadi terbuka segala yang ghaib di balik hijab 
yang mendinding antara hamba dengan Tuhannya, sehingga dapatlah 
bermusyahadah (menyaksikan sendiri). Dengan penglihatan hati (Musyahadatul 
Qalbi) bukan dengan penglihatan mata. Sebab penglihatan mata ini, hanyalah 
merupakan alat belaka dari penglihatan hati. Buta dalam perkara ini bukanlah 
buta mata, tetapi buta hati dalam dada.

Dari sinilah maka sesungguhnya syariat yang dikerjakan dapat berjalan di 
atas landasan yang lurus, tidak terpeleset jatuh ke dalam jurang kesesatan, 
sehingga terhalang untuk dapat sampai kepada yang dituju. Yakni untuk siapa 
sebenarnya syariat itu dikerjakan. Jawabnya : "Hanya untuk Allah" yang 
dituju.

Demikian yang ada pada akhirnya manusia ini akan dapat menemukan hakikat 
kebenaran hidup yang sejati.


TUJUAN MENGAMALKAN TASAUF/TARIQAT

AMALAN Tasauf/Tariqat sebagaimana yang lazim dikerjakan oleh para jamaah, 
sebenarnya banyak sekali tujuan yang hendak diperoleh antara lain iaitu :

1.      Dengan mengamalkan Tasauf/Tariqat bererti mengadakan latihan jiwa 
(Riadhah) dan berjuang melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri 
dari sifat-sifat tercela dan diisi dengan sifat-sifat terpuji dengan melalui 
perbaikan budi pekeri dalam berbagai seginya.

2.      Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar dan 
Maha Kuasa atas segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir 
disertai tafakkur yang secara terus menerus dikerjakan.

3.      Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula dalam 
diri seseorang itu suatu usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam 
pengaruh duniawi yang dapat menyebabkan lupa kepada Allah.

4.      Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan 
kepada Allah, maka tidak mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam 
ma'rifat, sehingga dapat pula diketahui segala rahsia di balik tabir cahaya 
Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.

5.      Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.

Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap orang 
yang mengamalkan Tasauf/Tariqat. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariat 
Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan atau sistem yang menghantarkan 
tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan yang dikehendaki 
oleh syariat itu sendiri.

Sama sekali tiada tujuan negatif yang terselit di dalamnya, sehingga dapat 
menggelincirkan ummat untuk jatuh ke dalam kesesatan. Sebagaimana yang 
sering dituduhkan oleh orang-orang yang belum mengetahui seluk-beluk ilmu 
Tasauf/Tariqat. Mereka dengan gaya gegabah berani melontarkan perasangka 
buruk terhadap Ulama'-ulama ahli Sufi dikatakan sebagai orang yang 
mengajarkan amalan-amalan yang menyerupai ibadah yang tidak pernah dijumpai 
tuntunannya, baik dari Allah mahu pun Rasul-Nya.

Apa yang dituduhkan mereka itu justeru berbalik dengan kenyataan, bahawa 
para Ulama' ahli Sufi yang telah lama mengajarkan amalan-amalan baik 
tersebut sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya. 
Mereka para Ulama' Guru dan Syeikh sama mengajarkan amalan Tasauf/Tariqat 
yang sentiasa bersumber dari ajaran Al-Quran dan Al-Hadis yang diterima 
secara ittishal sampai kepada beliau Rasulullah SAW sendiri. Bahkan apa yang 
hendak dicapai oleh ajaran kesufian ini telah jelas sekali yakni mengerjakan 
syariat dengan jalan yang teratur sesuai dengan semestinya guna memperoleh 
tujuan hakikat hidup yang sebenar-benarnya.


DASAR HUKUM TASAUF/TARIQAT

DALAM pembahasan masalah dasar hukum Tasauf/Tariqat ini, sebenarnya dapat 
dilihat melalui beberapa segi yang terdapat di dalam Tasauf/Tariqat itu 
sendiri, sehingga dari sini aan dapat diketahui secara jelas tentang 
kedudukan hukumnya di dalam Islam. Di samping itu juga untuk menghindarkan 
adanya penilaian yang negetif terhadap Tasauf/Tariqat.

Menurut penyelidikan para Ulama' ahli Sufi yang mu'tabarah, sebenarnya dasar 
hukum Tasauf/Tariqat dapat dilihat dari segi-segi yang antara lain adalah 
sebagai berikut :

Pertama : Dari segi existetensi amalan tersebut yang bertujuan hendak 
mencapai pelaksanaan syariat secara tertib dan teratur serta teguh di atas 
norma-norma yang semestinya dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Hal ini 
sesuai dengan firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :

"Dan bahawasanya, jikalau tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama 
Islam) benar-benar Kami akan memberikan minum kepada mereka air yang segar 
(rezeki yang banyak)."

[Al-Jin : 16]

Ayat ini oleh para Ulama' ahli Sufi dijadikan pegangan hukum dasar 
melaksanakan amalan-amalan yang diajarkan. Meskipun masih ada sebahagian 
orang yang menentang dijadikannya ayat itu sebagai dasar hukum tersebut 
(Tasauf).

Menurut tinjauan Ulama' Sufi ayat di atas secara formal (bunyi lafaznya) 
mahu pun material (isi yang tersirat di dalamnya) adalah jelas merupakan 
tempat sumber hukum diizinkan melaksanakan amalan-amalan kerohanian. Kerana 
dengan mengamalkan Tasauf/Tariqat akan dapat diperoleh tujuan melaksanakan 
syariat Islam yang sebenar-benarnya sesuai dengan yang mesti dikehendaki 
oleh Allah dan Rasul-Nya.

Kedua : Dari segi materi pokok amalan Tasauf/Tariqat yang berupa wirid 
zikrullah, baik yang dilakukan secara Mulazamah iaitu secara terus-menerus, 
ataupun yang dilakukan secara Mukhalafah maksudnya terus menerus 
menghindarkan diri dari segala sesuatu yang dapat membawa akibat lupa kepada 
Allah.

Hal ini sesuai dengan firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, 
zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan 
petang."

[Al-Ahzab : 41-42]

Melihat maksud ayat ini, maka jelas bahawa Allah telah memerintahkan kepada 
sekalian orang yang berIman untuk tetap sentiasa berzikir dan bertasbih 
dengan menyebut nama "Allah" baik dilakukan pada waktu pagi atau petang, 
siang atau malam.

Jadi amalan zikir sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah Ta'ala 
tersebut adalah jelas bersifat "Muthlaq" yang belum nampak ada "Qayyid" nya. 
Dalam erti bahawa syariat zikir, bentuk asal hukumnya masih global. 
Rasulullah SAW sendiri tidak banyak memberikan perincian atau "Qayyid", baik 
yang berbentuk syarat-syarat, rukun-rukun ataupun kifiat-kifiat.

Dari sini maka tugas ummat inilah yang diberi kuasa untuk menciptakan 
syarat, rukun, dan kifiat-kifiat zikrullah asalkan ianya tidak menyimpang 
dari tuntutan syara' secara prinsipil. Itulah sebabnya maka para Ulama' Sufi 
sama menciptakan zikrullah dengan syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu 
serta bentuk kifiat yang bermacam-macam. Misalnya tentang waktunya, 
jumlahnya, cara membacanya dan sebagainya.

Ketiga : Dari segi sasaran pokok yang hendak dicapai dalam mengamalkan  
Tasauf/Tariqat yakni terwujudnya rasa cinta antara hamba dengan Allah 
lantaran ketekunan dan keikhlasan dalam menjalankan syariat-Nya secara utuh 
dan terasa indah oleh pantulan sinar cahaya Allah.

Sebagaimana diterangkan di dalam Hadis Rasulullah SAW, bermaksud :

"Diriwayatkan dari Abu Hurairah berkata bahawa pada suatu hari Nabi berada 
di tengah-tengah sekelompok orang banyak, tiba-tiba ada seorang laki-laki 
(Jibrail) datang kepadanya seraya bertanya : Apakah Iman itu? Nabi menjawab 
: Iman ialah :

1.      Kamu percaya adanya Allah.
2.      Dan percaya kepada Malaikat-Nya.
3.      Percaya akan bertemu Allah di hari Akhirat.
4.      Percaya terhadap para Rasul-Nya.
5.      Percaya kepada adanya hari kebangkitan.

Selanjutnya laki-laki tersebut bertanya lagi kepada Nabi : Apakah Islam itu? 
Jawab Nabi : Islam ialah menyembah kepada Allah dan jangan menyekutukan-Nya, 
mengerjakan solat (fardhu), menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan. Kemudian 
laki-laki itu bertanya lagi kepada diri Nabi : Apakah Ikhsan itu? Jawab Nabi 
: Ikhsan iaitu keadaan engkau menyembah Allah seakan-akan engkau 
melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka Allah melihat engkau."

[HR. Bukhari]

Dalam Hadis ini dapat difahami adanya beberapa pengertian bahawa kehidupan 
agama dalam jiwa seseorang akan menjadi sempurna jika dapat dikumpulkan tiga 
faktor pokok yang sangat menentukan, iaitu Iman, Islam dan Ikhsan. 
Masing-masing dapat dicapai lantaran mempelajari dan memahami serta 
mengamalkan ilmu-ilmu yang membicarakan tentang masalahnya. Para Ulama' dari 
kalangan aliran/mazhab apa pun sama berpendirian bahawa faktor Iman dapat 
dipelajari daripada ilmu pengetahuan yang dinamakan Ilmu Usuluddin atau Ilmu 
Kalam atau juga Ilmu Tauhid. Sedang Islam dapat dipelajari daripada Ilmu 
Fiqeh atau sering juga dikenal dengan sebutan Ilmu Syariat. Demikian pula 
halnya dengan Ikhsan dapat dicapai dengan mempelajari dan mengamalkan Ilmu 
Tasauf/Tariqat.

Iman, Islam dan Ikhsan, ketiganya berkaitan erat dalam mencapai sasaran 
pokok yakni "Mengenal Allah untuk diyakini". Hal ini menuntut terwujudnya 
sikap tindak perbuatan nyata dalam hidup ini, sebagai bukti kepatuhan 
melaksanakan segala yang diperintah, dikerjakan dan yang dilarang 
ditinggalkan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata disertai penuh rasa 
cinta terhadap-Nya. Manakala keadaan semacam ini sudah sampai pada puncaknya 
maka akan tercapailah hakikat tujuan hidup yang sebenarnya sesuai dengan 
yang dikehendaki oleh Allah sendiri pada syariat yang dibawa Muhammad SAW.


CARA AHLI TASAUF/TARIQAT DALAM MENGENAL ALLAH

BAGI para ahli Tasauf/Tariqat ada cara tersendiri di dalam mengenal Tuhan. 
Mereka sama meletakkan dasar-dasar teori pengenalan Tuhan yang tidak 
bersifat rasional. Berbeda dengan dasar-dasar teori pengenalan Tuhan yang 
berlaku bagi kalangan ahli Theology Islam (Ilmu Tauhid) dan juga berbeda 
dengan yang berlaku bagi kalangan ahli syariat (Ilmu Fiqeh).

Bagi ahli FiqeH cara yang dipergunakan dalam mengenal Tuhan ialah dengan 
jalan keterangan dari dalil-dalil Naqli (Al-Quran dan Hadis). Di dalam 
memperkuat kepercayaan maka Al-Quran tidak dipergunakan sebagai 
alasan-alasan logika atau dengan penyelidikan akal fikiran seperti yang 
terjadi di dalam falsafah. Berbeza dengan Ahli Kalam (Tauhid), di dalam cara 
mengenal Tuhan banyak mempergunakan jalan penyelidikan akal fikiran. Dengan 
dasar ini maka mengetahui siapa Tuhan, meskipun belum tentu mereka dapat 
menyaksikan Tuhan. Termasuk dalam golongan yang memakai cara ini ialah kaum 
"Failasof".

Lain halnya dengan ahli Tasauf/Tariqat, mereka dapat mengenal Tuhan melalui 
dasar-dasar teori perasaan hati lantaran Ilham yang dilimpahkan Allah ke 
dalam jiwa manusia sebagai bentuk wujud pemberian rahmat-Nya. Hal ini 
lazimnya dapat dicapai oleh manusia ketika ia telah dapat sampai ke jinjang 
diri peribadinya dilepaskan dari segala macam bentuk godaan hawa nafsu 
lampau dengan memusatnya fikiran ingat kepada Zat Yang Maha Kuasa.

Keadaan yang demikian ini mengakibatkan segala macam rahsia di balik hijab 
cahaya Allah dan Nabi-Nya dapat tersingkap oleh dirinya dan diketahui secara 
jelas pada penglihatan mata hati. Sebagaimana orang yang melihat air jernih 
yang berada di dalam gelas yang jernih pula, sehingga segala sesuatu yang 
ada di balik gelas yang jernih itu dapat dilihat dengan terang-benderang.

Huraian di atas memberikan penegasan bahawa kerana adanya perbezaan 
dasar-dasar pengenalan Tuhan yang berlainan di antara ahli Fiqeh dan ahli 
Tauhid dengan ahli Tasauf/Tariqat, maka selayaknya sering menimbulkan 
perbezaan di dalam cara menyelidiki Tuhan dengan segala akibatnya (daripada 
sesuatu perbuatan).

Akhir-akhir ini perbezaan tersebut mulai terungkap lagi di sana sini. Ada 
sementara orang yang berbicara manis soal Tasauf/Tariqat dengan penuh 
kelicikan menggunakan gaya "ahli pemberi fatwa agama", sering menyampaikan 
pendapat, baik pada lisan atau pun tulisan yang menganggap Ulama' ahli 
Tasauf/Tariqat dengan terang-terangan menyesatkan ummat terutama bagi para 
jamaahnya.

Perlu diketahui bahawa biasanya orang yang suka menggelabah jalan fikirannya 
sebagaimana anggapan negetif terhadap Ulama' Tasauf/ Tariqat itu adalah 
akibat adanya kekurangan pengertian terhadap masalahnya. Sedangkan 
faktor-faktor yang mendorong timbulnya fikiran semacam itu antara lain 
adalah sebagai berikut :

A.      Adanya pendangkalan pengertian tentang Islam, seringkali hal ini 
menyebabkan Islam hanya dilihat dari satu dimensi tidak secara keseluruhan 
dan bulat.

B.      Adanya ilmu-ilmu yang diperoleh tidak pada Guru Mursyid atau Syeikh, 
melainkan diambilkan dari hasil membaca buku-buku dengan upaya sendiri. 
Akibatnya jalan fikiran benyak dipengaruhi oleh hawa nafsu.

C.      Mereka cenderung mengambil dasar-dasar fikiran di dalam mengungkap Islam 
justeru bersumber dari dasar-dasar fikiran kaum "rasionalis matrialisme", 
yakni fahaman yang beranggapan segala sesuatu dalam hidup harus dapat 
dipecahkan secara rasional dan dapat dilihat oleh pancaindera. Dasar teori 
"rasionalis matrialisme" inilah yang sering dipergunakan landasan berfikir 
kaum orientalis di dalam membahas tentang hal ke Timuran yakni tentang Islam 
dari berbagai aspeknya.

D.      Mereka mudah mengeluarkan fatwa "Mari kembali kepada Al-Quran dan 
Al-Hadis", tetapi mereka sendiri banyak menyimpang dari tuntutan yang 
semestinya tercantum di dalam Al-Quran dan Al-Hadis itu sendiri.

E.      Adanya faktor alat-alat pelengkapan yang sangat dirasa kurang sekali, 
untuk keperluan mengadakan pembongkaran dan penelitian terhadap konstruksi 
bahasa Islam (Bahasa Arab). Seperti tidak menguasai Ilmu Lughat dengan 
Qawaidnya, Ilmu Hadis dengan Musthalahnya, Ilmu Balaghah, Badi', Bayan dan 
Ma'aninya, dan lain-lain. Akibat yang ditimbulkan oleh kekurangan ini ialah 
mereka sering mengalami kesulitan di dalam memahami dan membahas kalam 
Al-Quran yang banyak berbentuk fasekh, baligh dan bahkan banyak yang majaz.

Faktor-faktor di atas itulah di antara penyebab mereka mudah tergelincir 
dalam kekeliruan yang tiada dirasa. Oleh kerana itu tidak mustahil mereka 
dengan mudah tanpa ambil pusing terus cepat-cepat melontarkan anggapan 
bahawa para ahli Tasauf/Tariqat adalah sebagai orang yang hanya akan 
mengajak ummat atau jamaah untuk menjadi sesat dan bahkan dapat berakibat 
syirik dan kafir. Na'uzubillah himin zalik!

Padahal dengan penjelasan tentang dasar hukum dan tujuan Tasauf/Tariqat 
Mu'tabarah di muka tadi, adalah jelas sentiasa sesuai dan berdiri tegak di 
atas tuntunan dan petunjuk langsung baik dari Al-Quran maupun Al-Hadis.

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri


______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke