Sedih $300 'hilang' dari akaun POSB

DBS beritahu drebar bank tidak dapat berbuat apa-apa

Oleh Azahar Mohd


Terkejut bila kemas kini buku akaun: Haji Mohamad Bansor terkejut apabila mendapati $300 dari akaun bank simpanannya telah dikeluarkan semasa beliau mengemas kini akaunnya di POSBank cawangan Simei. - Gambar oleh MAZLAN BADRON

SEORANG pemandu mengadu DBS Bank telah memotong $300 daripada akaun POSBanknya.

Potongan tersebut dibuat walaupun beliau gagal memperolehi wang itu ketika cuba mengeluarkannya dari sebuah mesin teler automatik (ATM) sehari sebelumnya.

Haji Mohamad Bansor, 50 tahun, membuat dua aduan di ibu pejabat POSBank di Bras Basah Road.

Beliau juga telah menulis sepucuk surat kepada bank berkenaan.

Namun, DBS Bank memberitahu beliau bahawa pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa kerana wang itu didapati telah dikeluarkan daripada akaunnya.

"Saya rasa kecewa dan tak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana wang hilang begitu saja.

"Saya buat aduan kerana wang tersebut amat bererti kepada saya, lebih-lebih lagi pendapatan saya tidaklah begitu besar," ujar bapa kepada tiga anak itu.

Menurut Haji Mohamad, beliau cuba mengeluarkan $300 dari ATM DBS Bank di The Atrium, yang terletak di International Business Park, pada 12 Ogos lalu, sekitar 3 petang.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa cek hasil kerja lembur beliau yang berjumlah $482.47, yang beliau masukkan sehari sebelum itu, masih belum diluluskan.

Dicampur dengan baki dalam akaunnya, beliau mempunyai sekitar $508.90.

"Esoknya, sekitar 4 petang, saya cuba mengeluarkan $300 dari ATM di Ibu Pejabat Cisco di Paya Lebar.

"Namun saya terperanjat kerana mendapati hanya tinggal $208.90 sahaja dalam akaun saya. Oleh kerana saya memerlukan wang, saya terus mengambil wang $200 itu," ujarnya.

Kerana tidak sedap hati, Haji Mohamad mengemas kini akaunnya di POSBank cawangan Simei.

Beliau terkejut apabila mendapati $300 telah dipotong dari akaunnya pada 12 Ogos lalu.

Haji Mohamad membuat laporan di ibu pejabat POSBank di Bras Basah Road pada 14 Ogos lalu, dan diberitahu oleh seorang pegawai supaya menunggu selama dua minggu.

Oleh kerana beliau tidak menerima sebarang jawapan selepas tempoh tersebut, beliau membuat laporan kedua pada 7 September lalu.

Menurutnya, seorang pegawai POSBank memberitahu beliau bahawa pihak bank tidak dapat berbuat apa-apa kerana wang itu telah pun dikeluarkan.

Semasa dihubungi, seorang jurucakap perhubungan awam DBS Bank berkata berdasarkan siasatan mereka, wang $300 telah dikeluarkan dari slot tunai ATM yang digunakan oleh Haji Mohamad.

Namun, pihaknya tidak berupaya untuk memberi bukti rakaman video kamera kerana kamera perakam video ATM di tempat wang itu dikeluarkan rosak pada ketika itu.

"Saya tidak dapat memberikan bukti rakaman video kamera itu kerana sewaktu kejadian itu, fokus perakam itu telah dialihkan dari ATM," ujarnya.

isnin2-3.jpg

Kirim email ke