Gimik nak menang undi.

Jangan beri satu undi pun pada Barisan Nasional yg zalim ini.
-mak Yan ibu anwar ibrahim

 

Harga getah sekerap naik 7 sen mulai hari ini

PUTRAJAYA 12 Okt. - Kerajaan bersetuju menaikkan harga pembelian getah sekerap basah dari 73 sen sekarang kepada 80 sen sekilogram berkuat kuasa esok.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-Cara Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Getah hari ini turut meluluskan peruntukan sebanyak RM325 juta bagi manfaat 400,000 pekebun kecil getah seluruh negara.

Ia termasuk RM80 juta, bagi membantu mereka membeli alat torehan moden yang boleh meningkatkan penghasilan getah.

Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan menambah tujuh sen lagi bagi pembelian getah sekerap basah adalah ekoran kenaikan harga komoditi itu di peringkat antarabangsa.

''Kerajaan tawarkan harga ini (80 sen sekilogram) di pasaran bagi menggalakkan persaingan pembelian dengan pembeli sektor swasta.

''Mungkin mereka akan berebut-rebut tawarkan harga lebih dan harga yang kurang dari itu akan ditolak pekebun,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, selama dua jam di sini.

Kenaikan harga getah sekerap basah itu dibuat ekoran rayuan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), September lalu yang mengesyorkan kenaikan bahan itu kepada RM1 sekilogram.

PKPKM turut mencadangkan harga getah sekerap kering dinaikkan kepada RM2 daripada RM1.40.

Mesyuarat kabinet pagi esok akan memuktamadkan keputusan jawatankuasa itu.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa; Menteri Perusahaan Utama, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik dan Menteri Pertanian, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud.

Mengulas pecahan peruntukan terbabit, Abdullah berkata, sebanyak RM145 juta diperlukan bagi program penanaman semula getah membabitkan keluasan 45,000 hektar.

''Beberapa bulan lalu, kita tidak sediakan peruntukan kerana ada rancangan mengkorporatkan RISDA tetapi ekoran tidak dilaksanakan, kita kena fikirkan peruntukan sesuai,'' katanya.

Menurut beliau, bagi memajukan aktiviti ekonomi pekebun kecil, kerajaan turut mewujudkan tabung Yayasan Pembangunan Pekebun-Pekebun Kecil, dengan peruntukan RM120 juta.

''Kita telah pun menggunakan RM20 juta yang disediakan melalui Tabung Sosioekonomi RISDA bagi program pembangunan ekonomi di kawasan pekebun kecil,'' katanya.

Satu pelan pembangunan di kawasan itu melibatkan penanaman semula dan pembangunan projek ekonomi akan disyorkan kepada kabinet esok.

''Pendekatan itu antaranya mencantumkan kawasan-kawasan yang keluasannya kecil, sekitar tiga atau empat hektar secara tersusun dengan tidak mengambil alih hak milik pekebun.

''Hak milik tidak akan disentuh tetapi yang utama mereka perlu bermuafakat bagi membentuk ladang-ladang yang besar,'' katanya.

Mengenai peruntukan RM80 juta bagi pembelian alat torehan, tegas Timbalan Perdana Menteri, kerajaan prihatin dengan masalah kewangan yang dihadapi pekebun bagi menggunakan alat moden menambah pengaliran susu getah.

''Antara sebab mengapa mereka tidak memperoleh pendapatan lebih kerana mereka tidak menggunakan sistem torehan yang diperkenalkan kerajaan. Sistem ini perlu dipakai dan mereka perlu beli alat ini,'' katanya.

Sistem torehan berfrekuensi tinggi yang diperkenalkan oleh Kementerian Perusahaan Utama, mampu meningkatkan pendapatan 80 peratus pekebun kecil getah.

Menerusi sistem itu, penoreh akan memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan bagi setiap 20 hektar berbanding RM400 sebulan yang diraih sebelum ini.

Abdullah menambah, kerajaan juga mahu cara pengurusan ladang diberi perhatian dengan membendung kegiatan mencampurkan susu getah sekerap dengan bahan dicemari seperti batu, kayu dan kulit getah.

''Gejala ini mesti dihentikan segera. Mereka fikir dengan memasukkan bahan ini akan memberatkan timbangan sedangkan sebenarnya pendapatan bersih yang diraih jauh lebih rendah.

''Cara tamak ini hanya merugikan,'' katanya.

Kirim email ke