|
KOTA BAHARU, 14 Okt (Bernama) --
Kementerian Kewangan mengarahkan semua jabatan kerajaan
bersunguh-sungguh menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan sedia
ada, sebagai usaha terakhir menjelang berakhirnya tahun ini, untuk
mengerakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri
Kewangan Kedua Datuk Mustapa Mohamed berkata semua pihak terbabit
mempunyai masa terhad iaitu dua setengah bulan sebelum tahun ini
berakhir bagi memastikan perbelanjaan pembangunan masing-masing
digunakan sepenuhnya.
"Daripada mesyuarat mingguan peringkat
semua kementerian, kita dapati setakat Januari hingga September ini,
hanya 61 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan telah
dibelanjakan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menurutnya walaupun prestasi itu meningkat berbanding dulu
yang "lembab sangat" tetapi ia belum cukup untuk dibanggakan.
"Isunya sekarang bolehkah kita belanja baki 39 peratus
(perbelanjaan pembangunan) dalam masa dua bulan setengah. Kita seru
semua jabatan bergerak dengan lebih pantas lagi," katanya.
Mustapa memberi amaran sekiranya semua pihak bersikap lewa,
pencapaian pertumbuhan ekonomi negara tidak akan dapat dicapai
seperti yang diharapkan.
Ditanya mengenai masa depan 70,000
kakitangan bank di negara ini apabila proses penggabungan bank
selesa, Mustapa memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang
pembuangan kerja di kalangan kakitangan terbabit.
"Kerajaan
akan pastikan sedaya upaya ia (pembuangan kerja) tidak berlaku,
kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pekerja bank,"
katanya sambil meminta pekeraja terbabit supaya tidak bimbang..
Beliau berkata isu itu sebenarnya dipolitikkan oleh
pembangkang dengan menjajanya di seluruh negara, walaupun proses
penggabungan itu belum lagi berakhir.
"Kita dukacita dengan
sikap tidak bertanggungjawab ini yang turut cuba dieksploitasikan
oleh pihak lain. Pihak kesatuan pun bimbang, walaupun telah diberi
jaminan oleh Gabenor Bank Negara," katanya.
Mengenai usaha
membantu golongan peniaga kecil yang menghadpai kesukaran
mendapatkan pinjaman kewangan daripada bank, Mustapa berkata beliau
baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara dan
Syarikat Jaminan Kredit (CGC) bagi mengatasi masalah itu.
CGC adalah syarikat yang bertindak sebagai penjamin kepada
usahawan yang membuat pinjaman dan difahamkan syarikat itu
menghadapi kesukaran menjamin peniaga kecil lain yang ingin memohon
pinjaman kerana terpaksa membayar pinjaman usahawan sebelum ini yang
gagal menjelaskan hutang berikutan kegawatan ekonomi.
Mustapa berkata pada pertemuan itu, pihaknya membincangkan
cara penyusunan semula CGC.
"Pertama, dari segi pengurusan
dan kedua bagaimana nak pastikan pinjaman kepada peniaga kecil dapat
diatasi dan diselesaikan dengan cara terbaik," katanya.
Menurutnya perbincangan itu kini pada peringkat akhir dan
kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu tidak lama
lagi.
Terdahulu, Mustapa melawat projek arked Mara di Melor,
dekat sini, bernilai RM1.6 juta yang sepatutnya siap bulan depan,
tetapi kini pembinaannya lewat tiga bulan.
Mengenai
kelewatan itu, Mustapa kesal kerana kontraktor terbabit gagal
menyempurnakan kerjanya mengikut jadual walaupun kerajaan memberi
pelbagai kemudahan dan bantuan kepada mereka. --
BERNAMA |