BERITA MALAYSIA


October 22 , 1999 17:47PM

 

HAKIM CABAR KARPAL MULA PROSIDING TERHADAP MEREKA YANG HINA MAHKAMAH

 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Hakim Datuk Arifin Jaka hari ini meminta Karpal Singh supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang beliau dakwa telah menghina mahkamah apabila mengulas mengenai posiding perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arifin berkata, beliau telah membuat pemerhatian dan pengumuman di mahkamah dari masa ke masa yang tiada siapa yang harus mengulas mengenai prosiding itu yang masih berjalan.

"Jika Encik Karpal Singh benar-benar serius dalam melindungi imej dan kewibawaan mahkamah ini mengapa tidak memulakan prosiding penghinaan terhadap mereka yang didakwa telah mengulas mengenai perbicaraan di mahkamah ini."

"Teruskan dan ambil tindakan prosiding penghinaan terhadap sesiapa sahaja tidak kira PM (Perdana Menteri) ataupun sesiapa sahaja - buktikan dakwaan anda dan ikut prosedur," katanya.

Arifin berkata demikian apabila Karpal meminta mahkamah untuk memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mengulas mengenai prosiding perbicaraan liwat yang menurut peguam Anwar itu disiarkan di muka depan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Arifin berkata, ahli politik berhak menyuarakan apa yang mereka berpendapat adalah benar, didorong oleh pemikiran politik mereka.

"Bagaimanapun, jika kenyataan mereka itu menghina mahkamah, mereka bertanggungjawab terhadapnya tetapi saya tidak boleh menghalang mereka daripada bercakap di pletform politik," kata beliau.

Arifin berkata, Karpal Singh sendiri sebagai ahli politik boleh mengambil tindakan melalui proses undang-undang atau pletform lain yang beliau fikirkan sesuai.

"Mahkamah ini tidak boleh dan tidak harus terbabit dalam ucapan politik di luar mahkamah," kata hakim itu.

"Saya bertegas jika kata-kata sesiapa menghina, orang itu perlu diambil tindakan undang-undang dan perlu ada permohonan yang betul daripada pihak yang terkilan," kata beliau lagi.

Karpal Singh mengutarakan isu itu selepas Arifin menolak permohonan peguam itu untuk memanggil semula SAC I Musa Hassan, pegawai penyiasat dalam tuduhan liwat Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

-- LAGI

blue.gif

Kirim email ke