Kes bunuh isteri kian menjadi-jadi
Isteri dijumpai mati di bilik airSejak kebelakangan ini, tiga kes bunuh isteri berlaku di Malaysia. Seorang pakar geologi dituduh membunuh isterinya selepas satu pergaduhan dan kemudian seorang pegawai kastam mencekik isterinya sehingga mati. Kes ketiga melibatkan seorang bekas pengurus besar yang dituduh membunuh isterinya dengan melanggar beliau semasa mengundurkan kereta di rumah mereka. Adakah ia satu trend atau kebetulan saja? Berikut kami imbas kembali kes-kes tersebut untuk renungan kita bersama.
KES 1
PADA 11 Oktober lalu, seorang pakar geologi dan pegawai eksekutif yang bertugas dengan Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, 39 tahun, dituduh membunuh isterinya, Cik Faezah Arshad, 37 tahun, juga seorang eksekutif syarikat berkenaan. Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibacakan oleh Majistret Mahadhir Mohd Kahirudin di sebuah wad pesakit Hospital Kuala Lumpur pada 11.25 pagi. Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, yang dimasukkan ke hospital itu selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kertih, Terengganu, pada 27 September lalu -- dua hari selepas isterinya ditemui mati berlumuran darah di bilik air tingkat bawah di rumah mereka di Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara, pada 3 petang 25 September lalu. Majistret menetapkan 30 November ini untuk mendengar semula kes tersebut dan mengarahkan Muhamad Suhaimi dihantar ke Penjara Kajang selepas kesihatannya pulih. Cik Faezah ditemui mati dengan kesan tikaman di muka, perut dan tangan dalam bilik air di rumah tersebut. "Hasil bedah siasat mendapati mangsa ditikam 14 kali di bahagian badan, muka, perut dan tangan. Laporan bedah siasat mengatakan punca kematian mangsa ialah tikaman di bahagian paru-paru," demikian jurucakap polis dipetik sebagai berkata oleh akhbar Utusan Malaysia. Menurut beliau, semasa kejadian itu berlaku seorang pembantu rumah warga Indonesia bersama dua anak lelaki dan seorang anak perempuan pasangan suami isteri berkenaan ada di rumah tersebut. Siasatan awal polis mendapati cemburu antara motif pembunuhan. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md Ali, berkata motif tersebut adalah antara kemungkinan yang sedang dikaji oleh pihak polis. "Kami telah mengambil keterangan daripada anak, orang gaji serta beberapa pihak lain dan sedang mengkaji salah satu motif pembunuhan iaitu cemburu," kata beliau.
|