Anwar beri empat nama ketua komplot

KUALA LUMPUR, Jumaat - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan liwat hari ini, menamakan empat orang sebagai ketua komplot yang berusaha menjatuhkannya.

Mereka ialah Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, empat pemimpin berkenaan terbabit dalam usaha menjatuhkannya sebelum beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998.

Katanya, beliau akan mendedahkan nama pemimpin lain yang terbabit dalam komplot itu apabila perbicaraan bersambung Isnin ini.

Anwar,52, yang menggunakan komplot sebagai salah satu asas pembelaannya berkata, kumpulan itu mula bergerak sebaik saja beliau dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri pada 1997.

"Apabila saya memegang jawatan Pemangku Perdana Menteri, sebahagian daripada menteri dan pemimpin parti nyata tidak senang dengan pendirian saya mengenai rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran berkaitan projek mega.

"Perkara ini memang saya bincangkan dengan Ketua Pengarah Badan Pencengah Rasuah (BPR) Datuk Shafie Yahya (kini bekas) dan Yang Berbahagia Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, " katanya.

Anwar berkata, beliau juga ada berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung pembabitan pemimpin kerajaan dan parti itu dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Katanya, beliau mengemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri selepas Peguam Negara dan Ketua Pengarah BPR meminta jasa baiknya berbuat demikian kerana mereka menghadapi masalah bagi mendakwa pemimpin yang terbabit dengan rasuah itu.

Beliau yang memberi keterangan dalam Bahasa Melayu dan diselang-seli Bahasa Inggeris berkata, Abdul Rahim bergiat aktif dalam perancangan menjatuhkannya sejak 1997.

"Saya beritahu Perdana Menteri berhubung dokumen yang disediakan oleh Peguam Negara untuk mendakwa Abdul Rahim dengan tuduhan rasuah. Bukti menunjukkan beliau mempunyai pegangan akaun RM39 juta atas namanya.

"Dengan dokumen itu, saya telah rujuk Perdana Menteri dan kemukakan pandangan BPR dan Peguam Negara. Perdana Menteri beritahu saya bahawa beliau akan lihat perkara, " katanya.

Anwar yang disoal oleh peguam belanya, Christopher Fernando, berkata beliau menamakan Daim kerana selepas saja beliau (Anwar) mengambil jawatan itu daripadanya, Daim masih meminta sebahagian fail Perbendaharaan dibawa ke pejabatnya melalui Datuk Mustapa Mohamed.

Katanya, beliau melarang permintaan itu dan melaporkannya kepada Perdana Menteri.

Anwar berkata, beliau juga melaporkan kepada Perdana Menteri dengan disokong surat tiga ahli korporat bahawa Daim memperolehi RM600 juta daripada mereka ketika masih menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Daim dan tiga ahli korporat berkenaan.

Katanya, ahli korporat terbabit ialah Pengerusi Renong, Tan Sri Halim Saad; Pengerusi Land and General Bhd, Tan Wan Azmi Wan Hamzah dan Pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli.

Mengenai Megat Junid, Anwar memberitahu mahkamah, beliau ingin mendapat penjelasan Perdana Menteri berhubung pembabitan Megat Junid dalam kes pembunuhan Mustakizah dan perbuatannya berjudi di pejabat.

"Pertama, kes membabit bunuh, saya minta Dr Mahathir selaku Menteri Dalam Negeri mendapat maklumat, kalau benar, Datuk Seri Megat tidak terbabit sama sekali, dapatlah dibersihkan namanya kerana pada masa itu beliau adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Kedua, dalam kes perjudian saya merayu Perdana Menteri memberi nasihat kepada Datuk Seri Megat kerana perkara itu dalam pengetahuan ramai," katanya.

Katanya, beliau mendapat tahu tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Megat Junid yang kemudian dilantik memegang jawatannya sekarang.

Anwar berkata, Abdul Aziz pula terbabit dalam mendapatkan kerjasama daripada dua lelaki bernama Taib Solamon dan B K Tan untuk memfitnahnya.

Katanya, beliau memperolehi maklumat itu daripada pihak Cawangan Khas (SB) dan Abdul Aziz juga tidak menyenanginya kerana beliau tidak meluluskan kontrak besar kepada anak Abdul Aziz di Angkasapuri.

Anwar berkata, apabila beliau melapor pembabitan Abdul Aziz itu, Perdana Menteri memberi tindak balas yang positif apabila memberitahunya akan bercakap mengenai perkara itu dengan Abdul Aziz.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan oleh SB bahawa Abdul Aziz ada memberi penjelasan tidak akan terbabit lagi dan memohon maaf.

Sebelum itu, Anwar memberitahu mahkamah, Peguam Negara dan BPR memaklumkannya yang mereka menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan kerana tidak dipersetujui Perdana Menteri.

Katanya, bekas Pengarah SB, Datuk Mohd Said Awang yang mempunyai maklumat mengenai kegelisahaan rakyat mengenai kegiatan rasuah, juga menghadapi masalah untuk menyampaikan maklumat itu kepada Perdana Menteri.

Anwar berkata, Peguam Negara menyerahkan dokumen berkenaan lima tuduhan rasuah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Katanya, beliau terpaksa memberitahu Perdana Menteri mengenai tuduhan rasuah itu kerana ingin menjaga imej dan kewibawaan serta moral BPR dan Peguam Negara.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Kirim email ke