Dr M dipanggil jadi saksi minggu depan

Hakim Jaka Arifin setuju keluarkan
sapena ke atas Perdana Menteri

"Kami akan meminta untuk menemubual beliau. Sama ada kita dapat berbuat demikian atau tidak, hanya Allah yang mengetahui." - Peguam bela, Encik Pawancheek Marican.



Sempat berbincang: Sukma Darmawan (kanan), adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan, bercakap kepada salah seorang peguamnya, Encik Jagdeep Singh, di bangunan Mahkamah Federal. -- Gambar AFP.

KUALA LUMPUR -- Mahkamah Tinggi semalam memerintahkan supaya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dipanggil minggu depan sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah berbahas dengan peguam bela mantan Timbalan Perdana Menteri itu, yang mahukan Dr Mahathir dipanggil memberi keterangan pada Isnin ini, Hakim Datuk Arifin Jaka bersetuju mengeluarkan sapina untuk memanggil Perdana Menteri itu pada Khamis depan.

Para peguam bela akan cuba menemubual Dr Mahathir sebelum menentukan sama ada beliau dipanggil atas nama peribadi atau atas kedudukan rasmi selaku Perdana Menteri, kata Encik Pawancheek Marican kepada para pemberita.

"Kami akan meminta untuk menemubual beliau. Sama ada kita dapat berbuat demikian atau tidak, hanya Allah yang mengetahui," kata Encik Pawancheek.

Pada Isnin lalu, Hakim Datuk Arifin menolak permohonan pihak pembela supaya membuang kes dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Datuk Arifin juga mengarahkan supaya kedua-dua tertuduh itu membela diri atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Sejak awal lagi pihak pembela cuba mendapatkan kebenaran bagi memanggil Dr Mahathir sebagai saksi dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar itu.

Tetapi, mereka (pembela) tidak berbuat demikian walaupun Dr Mahathir berulang kali menyatakan beliau sedia memberi keterangan di mahkamah jika dipanggil.

Datuk Seri Anwar, 52 tahun, sepatutnya mula memberi keterangan membela diri semalam tetapi peguam belanya meminta supaya dipanggil semula seorang pegawai kanan polis yang menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Encik Karpal Singh berkata pihak pembela menghadapi masalah selepas percubaannya supaya polis menyiasat notis alibinya dihalang oleh pihak pendakwa.

Encik Karpal berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, melarang pegawai penyiasat, SAC I Musa Hassan, daripada menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara itu walaupun pegawai polis berkenaan sedia berbuat demikian.

Oleh itu, ujar Encik Karpal, "kami memohon kepada mahkamah untuk memanggil semula SAC I Musa bagi memudahkan siasatan tentang notis alibi itu". -- AFP, Bernama.

jumaat1-10.jpg

Kirim email ke