KENYATAAN MEDIA (25 Oktober 1999 / 15 Rejab 1420) : PAS SEDIAKAN KHIDMAT GUAMAN PERCUMA UNTUK GURU MATEMATIK SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN JABI POKOK SENA KEDAH Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) dan PAS Kawasan Pokok Sena kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang mengembar gemburkan isu penglibatan guru dalam politik. Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa guru matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi yang mengubahsuai soalan matematik dengan memasukkan nama-nama ahli politik BN dan kroni akan diambil tindakan di bawah Akta Hasutan. Bagi DPP Pusat adalah tidak wajar sama sekali untuk menyalahkan guru tersebut berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku dalam negara kita hari ini. Dr. Mahathir secara angkuh menuduh guru bersikap kurang ajar kerana menentang kerajaan Barisan Nasional (BN)/Umno, sedangkan hakikatnya kerajaan BN/Umno yang diberi mandat oleh rakyat lebih biadap dengan menzalimi rakyat selama era pemerintahan mereka. Perbuatan guru tersebut dipandang salah dari sudut politik oleh BN kerana menjatuhkan imej mereka. Jika dilihat dari sudut pendidikan tiada kesalahan apa-apa yang dilakukan oleh guru tersebut. Tugas seorang pendidik ialah mesti memberitahu yang mana baik, adil, buruk dan zalim serta memberi contoh suri tauladan mana yang harus diikuti dan yang mana kejahatan yang harus dijadikan sempadan. Allah SWT dalam Al-Quraan sendiri jelas menyebut contoh nama-nama suri tauladan iaitu Nabi Muhammad SAW, Nabi Musa dan ramai lagi para nabi dan rasul. Begitu juga nama Abu Lahab, Firaun, Haman dan Qarun lambang segala kejahatan yang semestinya wajib dijadikan sempadan dan tidak diikuti kejahatan mereka. Oleh itu tindakan guru tersebut yang kreatif dan peka dengan perkembangan semasa adalah sifat seorang pendidik sejati memberi tunjuk ajar yang dan memberi ruang mengenali personaliti tokoh jahat politik dan kroni negara kepada anak murid beliau supaya apabila mereka besar kelak tidak tidak menjadi kuda tunganggan ahli politik dan kroni yang korup bahkan mereka celik dengan politik tanah air. Justeru itu kenyataan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam isu ini diliihat sebagai petanda pemimpin BN dan Umno hilang kewarasan berfikir dan mengambil langkah sumbang dalam bertindak. BN / Umno telah membuka medan pertarungan dengan segenap lapisan rakyat sehinggalah kepada pegawai kerajaan khususnya para guru. BN / Umno telah menyalahgunakan kuasa kerajaan yang ada pada mereka untuk mengugut rakyat supaya kembali menyokong pemerintahan mereka yang zalim. Kezaliman BN/Umno sungguh jelas apabila mereka mengugut akan mengambil tindakan ke atas guru tersebut sedangkan pada masa yang sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang secara terang dan diketahui umum menjadi alat pemimpin BN/Umno untuk kepentingan politik Umno didiamkan sahaja oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan walaupun sudah jelas melakukan kesalahan. Guru yang menyokong dan bergiat dalam parti-parti alternatif akan dikatakan bersalah tetapi guru yang menyokong dan bergiat dalam Umno tidak dikatakan bersalah. Oleh itu Dewan Pemuda PAS Pusat mencabar Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah supaya bersikap sebagai seorang lelaki dengan meletakkan jawatan beliau dan bergiat aktif dalam Umno dan bukan bersikap seorang pondan dengan berlindung di bawah nama jawatan beliau. Dalam kes guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi Pokok Sena, DPP Pusat dan PAS Kawasan Pokok Sena menawarkan dan menyediakan khidmat guaman percuma kepada guru tersebut yang dikatakan akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan seperti kata Timbalan Perdana Menteri. DPP Pusat juga sangat menghargai nilai pengorbanan yang telah dibuat oleh guru tersebut khususnya dan semua guru amnya dalam mempejuangkan keadilan dan membanteras kezaliman. Seluruh warga guru wajar berbangga dengan sikap mereka kerana kuasa yang ada pada mereka amat ditakuti oleh BN dan Umno. DPP Pusat meyeru sekalian rakyat harus meningkatkan pengorbanan seperti mana pengorbanan guru tersebut kerana perjuangan kita untuk mengusir dan menyingkirkan kerajaan BN / Umno dari tampuk pemerintahan ialah bukan sahaja untuk diri kita bahkan untuk generasi anak-anak kita akan datang. Cukuplah segala kezaliman kerajaan Bn / Umno, ayuh bertindak segera untuk menyelamatkan negara, agama, rakyat berbilang kaum dan generasi akan datang dari kezaliman dan kejahatan kerajaan BN / Umno. BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena
|
- Re: H-Net* PAS SEDIAKAN KHIDMAT GUAMAN PERCUMA UNTU... Dewan Pemuda PAS Pusat
- Re: H-Net* PAS SEDIAKAN KHIDMAT GUAMAN PERCUMA... serim seri maharani