BERITA
MALAYSIA
November 01 , 1999 18:51PM
|
HADI SEDIA BINCANG
ISU NEGARA ISLAM DENGAN KIT SIANG |
|
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Timbalan
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia berbincang dengan
Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang mengenai kenyataannya baru-baru
ini bahawa PAS akan meneruskan hasrat menubuhkan negara Islam
walaupun perkara itu tidak disebut dalam manifesto pakatan
pembangkang.
"Memang kita selalu bincang. Kita
bersedia untuk berbincang apa sahaja untuk kepentingan bersama,"
katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Abdul Hadi
(PAS-Marang) diminta mengulas kenyataan Lim semasa membahaskan Rang
Undang-undang Perbekalan 2000 di Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau
(Lim) sedia berbahas dengan Abdul Hadi berhubung beberapa pandangan
dan dasar mengenai Islam.
Lim, Ketua Pembangkang di Dewan
Rakyat, bagaimanapun berkata perbahasan itu tidak boleh dibuat
semata-mata kerana wujudnya cabaran daripada anggota-anggota
Parlimen Barisan Nasional (BN).
"Kalau Yang Berhormat Marang
mahu berbahas mengenai teori Islam dengan saya, silakan. Tapi ia
hendaklah dibuat bukan kerana disebabkan oleh cabaran daripada Datuk
Sukri Mohamed (BN-Machang)," kata Lim.
Sebelum itu, Sukri
bangun meminta penjelasan daripada Lim sama ada beliau bersetuju
dengan hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan
hukum hudud.
-- BERNAMA
| |
|
blue.gif