|
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) --
Majlis Tertinggi Umno malam ini membuat keputusan melarang anggota
parti membuat sebarang pendedahan berkaitan bekas timbalan perdana
menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum merujuk perkara itu kepada
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku presiden parti.
Dr Mahathir berkata larangan itu bertujuan
memastikan setiap pendedahan yang dibuat mesti mempunyai bukti
berbentuk dokumen.
"Kita perlu ada dokumentasi penuh supaya
kalau ada (dakwaan dalam) pendedahan, ia boleh dipertahankan,"
katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di
ibu pejabat parti di Menara Dato Onn.
Perdana Menteri
berkata Umno akan tentukan anggota tidak membuat pendedahan
sewenang-wenang iaitu yang tidak mempunyai cukup bukti dan tidak
boleh dipertahankan jika ada pihak yang mengambil tindakan
undang-undang.
"Kalau ahli ada apa-apa, dia (harus) beritahu
kepada saya dulu, saya akan semak dan kalau saya berpendapat bahawa
ia perlu sokongan daripada dokumen, saya akan minta dia dapatkan
dokumen itu.
"Kalau dia tak dapat kita tak boleh dedah
kerana sukar untuk mempertahankan pendedahan yang memburukkan orang
lain yang tidak ada bukti," katanya.
Ketika ditanya sama ada
larangan oleh MT itu bercanggah dengan permintaan Badan Pencegah
Rasuah supaya penyelewengan dilaporkan kepada badan itu, Dr Mahathir
berkata oleh kerana masalah itu melibatkan parti, lebih baik ia
dilaporkan dahulu kepada parti.
"Perkara ini ada kaitan
dengan parti, kalau dia nak report pada sesiapapun lebih baik dia
beritahu kepada parti dulu supaya kita tentukan dia tak pergi buat
laporan yang kemudian dia tak boleh dapat cukup keterangan, tak
boleh prove (buktikan), tak boleh pertahan," katanya.
Menjawab soalan sama ada bekas Penolong Gabenor Bank Negara
Datuk Abdul Murad Khalid adalah anggota Umno, Dr Mahathir berkata
beliau tidak pasti.
Murad merupakan orang yang mendedahkan
mengenai satu akaun berjumlah RM3 bilion untuk digunakan oleh Anwar
bagi kepentingan politiknya.
Ekoran pendedahan Murad itu
yang dibuatnya menerusi satu akuan berkanun, beberapa pemimpin Umno
berkata mereka juga bercadang membuat pendedahan yang turut
mengaitkan Anwar.
Ditanya mengenai maksud bukti berbentuk
dokumen itu, Dr Mahathir berkata: "Macam-macam...sebarang dokumen
yang boleh dijadikan evidence (bukti), kita akan kumpul dan semak
dan jika benar baru boleh boleh buat pendedahan."
Katanya,
yang dimaksudkan dengan bukti itu boleh jadi membabitkan wang atau
penyalahgunaan kuasa, yang semuanya perlu mempunyai dokumen bukti.
Dr Mahathir menasihatkan anggota Umno supaya berhati-hati
dalam soal membuat pendedahan itu.
Ketika ditanya sama ada
terdapat anggota MT yang membuat pendedahan dengan bukti kukuh dalam
mesyuarat malam ini, beliau berkata: "Ada beberapa kes disebut
tetapi tidak ada bukti, cuma pengalaman mereka.
"Saya
beritahu mereka kita perlukan dokumentasi penuh supaya kalau ada
apa-apa tindakan undang-undang, kita dapat mempertahankannya."
Ketika ditanya sama ada pendedahan yang dibuat oleh seorang
wanita yang dulunya didakwa mempunyai hubungan dengan bekas ketua
menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkaitan dengan usaha
membersihkan nama Rahim, Dr Mahathir menjawab;
"Tiba-tiba
saja ia timbul. Anwar sebut dalam kesnya... dia (wanita itu) tak
suka namanya dibabitkan. Terpulang kepada orang ramai untuk terima
atau tidak," katanya.
Dr Mahathir juga berkata beliau akan
mengadakan lawatan kali kedua ke kawasan-kawasan tertentu tidak lama
lagi tetapi lawatannya kali ini lebih untuk berjumpa dengan jentera
parti dan "bukan sangat untuk berjumpa dengan orang ramai."
Namun demikian, katanya, dalam keadaan-keadaan tertentu
perjumpaan dengan orang ramai mungkin juga diadakan.
Beliau
berkata mesyuarat MT malam ini juga meluluskan penubuhan 30 buah
cawangan baru.
Ketika ditanya sama ada pilihan raya umum
akan diadakan tahun ini atau tahun depan, Dr Mahathir berkata,
"Mungkin ya dan mungkin tidak. Belum ada ilham lagi." --
BERNAMA
|