BERITA MALAYSIA


November 04 , 1999 17:46PM

 

ANGGOTA TENTERA MENGUNDI SECARA BERKUMPULAN

 

PASIR MAS, 4 Nov (Bernama) -- Anggota tentera yang mengundi secara pos pada pilihan raya umum nanti akan mengundi secara berkumpulan di dewan mengundi yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan disaksikan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penyelaras Pilihan Raya ATM, Kol Sulaiman Zakaria berkata mereka tidak lagi akan mengundi secara yang biasa dilakukan sebelum ini apabila mereka dibenarkan mengundi di rumah atau di pejabat.

"Ejen parti politik bagaimanapun tidak dibenarkan berada di tempat mengundi itu, hanya pegawai SPR dibenarkan mengawasi perjalanan pengundian itu," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga allahyarham Staf Sarjan Zulkapli Ibrahim, 38, di Kampung Repek, di sini, hari ini.

Sulaiman yang juga Pengarah Rekod dan Pencen ATM berkata bagi undi pos di kalangan anggota tentera yang telah bersara, ia tidak lagi diuruskan oleh ATM, sebaliknya diuruskan sepenuhnya oleh SPR.

Katanya ATM hanya memberi senarai alamat terbaru anggota yang telah bersara kepada SPR dan suruhanjaya itu akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menghantar kertas undi pos kepada anggota itu dan isteri.

"Ini adalah cara yang terbaik bagi memastikan ketelusan undi pos dan mengurangkan sedikit bebanan ATM serta dapat mengelakkan tohmahan daripada pelbagai pihak," katanya.

Menurutnya, parti-parti politik diminta tidak lagi mengambil kesempatan untuk menjadikan perkara itu sebagai isu politik, sebaliknya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPR yang kini berperanan dalam mengawasi undi pos angkatan tentera.

Beliau berkata parti politik juga harus akur dengan keputusan untuk tidak membenarkan wakil mereka hadir dan melihat proses pengundian itu kerana ATM telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPR.

Sulaiman berkata ATM cukup kecewa dengan tohmahan kononnya ATM tidak berlaku adil dalam melaksanakan undi pos anggotanya sebelum ini.

Sementara itu Sulaiman berkata, anggota tentera yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya setiap tahun adalah tinggi.

"Perkara ini sering dibincangkan oleh pihak atasan ATM bagi mencari rumusan mengelakkannya daripada terus meningkat," katanya.

Pada majlis itu, Sulaiman menyerahkan cek RM600 kepada balu allahyarham Zulkapli, Masturah Ramli, 36, hasil kutipan derma daripada anggota tentera.

Sulaiman juga berkata keluarga berkenaan akan menerima kira-kira RM53,000 melalui skim insurans berkelompok yang disertai Zulkapli sebelum ini serta menerima ganjaran perkhidmatan sebanyak RM19,000.

Selain itu Masturah juga akan menerima sebanyak RM600 sebulan wang pencen suaminya dan juga menerima wang sebanyak RM4,560 iaitu wang menggantikan cuti rehat yang belum diambil Zulkapli.

Masturah ketika ditemui selepas itu berkata, setiap wang yang diterima itu akan digunakan bagi membesarkan lima anak mereka.

Zulkapli yang bertugas sebagai kerani di Unit 3 Batalion Ubat di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang mati bersama tiga lagi anggota tentera setelah kereta mereka bertembung dengan lori pembancuh simen di Kilometer 108.7, Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, Isnin lepas. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke