|
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Para
pemimpin muda Barisan Nasional hari ini mencabar pemimpin muda
pakatan pembangkang yang menamakan diri mereka Barisan Alternatif,
untuk berdebat secara terbuka berhubung dengan hal-hal semasa negara
khususnya isu politik.
Ketua Pergerakan Pemuda
Barisan Nasional (BN) Datuk Hishammuddin Tun Hussein hari ini
berkata sudah tiba masanya bagi pemimpin muda BN berdepan dengan
pemimpin muda pakatan pembangkang itu menerusi perdebatan terbuka
itu, demi masa depan negara dan generasi akan datang.
"Kita
sudah memutuskan untuk mencabar pemimpin muda Barisan Alternatif
untuk berdebat secara terbuka mengenai hal-hal yang berkaitan masa
depan negara.
"Kita berharap pemimpin muda Barisan
Alternatif tidak berdolak-dalik dalam hal ini dan berharap mereka
akan terima cabaran ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Pergerakan Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra hari
ini.
Katanya perdebatan terbuka itu boleh merangkumi perkara
yang berkaitan bangsa, agama dan negara dan juga mengenai prinsip
perundangan negara.
Hishammuddin berkata beliau akan
mengetuai Pemuda BN yang turut disertai wakil empat parti komponen
utama BN iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan bagi tujuan perdebatan
itu.
Katanya mesyuarat hari ini bersetuju memilih anggota
Exco Pemuda Umno, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Pemuda MCA
Datuk Ong Tee Kiat, Ketua Pemuda MIC, T. Muthiah dan Ketua Pemuda
Gerakan Teng Chang Yeow sebagai wakil masing-masing.
Hishammuddin berkata butiran mengenai bagaimana perdebatan
itu akan dijalankan, akan ditentukan oleh jawatankuasa urusetia
debat yang dipengerusikan anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Abdul Aziz
Sheikh Fadzir.
Mengenai sama ada Pemuda BN akan mengenakan
apa-apa syarat bagi perdebatan itu, beliau berkata yang penting
sekarang ialah menunggu jawapan pemimpin muda pakatan pembangkang
mengenai perdebatan itu.
Semalam Setiausaha Agung Umno Tan
Sri Khalil Yaakob dilaporkan berkata para pemimpin Umno bersedia
berdebat dengan mana-mana pemimpin pembangkang demi menegakkan
keadilan.
Menurut Khalil, beberapa pemimpin Umno sudah
menyatakan kesediaan untuk bersemuka di pentas perdebatan dengan
pihak pembangkang kerana yakin mempunyai fakta serta bukti bagi
menangkis tohmahan pembangkang.
Hishammuddin berkata antara
perkara lain yang dibincangkan pada mesyuarat hampir dua jam itu
ialah jentera pilihan raya Pemuda BN.
Katanya persiapan
jentera pilihan raya Pemuda BN di peringkat pusat adalah pada tahap
yang amat membanggakan dan berharap komitmen di peringkat nasional
itu dapat diterjemahkan ke peringkat negeri.
Beliau berkata
arahan juga sudah dikeluarkan kepada Pemuda parti-parti komponen
supaya menggerakkan kepimpinan serta jentera pilihan raya
masing-masing dan bekerja sebagai satu pasukan bagi menghadapi
pilihan raya umum akan datang. -- BERNAMA
|