MENJELANG PILIHAN RAYA MALAYSIA

Ahli parlimen bermaaf-maafan

KUALA LUMPUR -- Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengambil kesempatan bermaaf-maafan berikutan pembubaran parlimen semalam.

Suasana perbahasan yang biasanya "panas" menjadi sayu sebaik saja Speakar Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail, membacakan pengisytiharan pembubaran parlimen apabila Dewan Rakyat menyambung persidangan pada 2.30 petang kelmarin.

Tun Mohamed Zahir turut meminta maaf jika terkasar bahasa ketika mengendalikan mesyuarat Parlimen Kesembilan yang hanya sempat bersidang selama 14 hari bermula pada 18 Oktober lalu.

Persidangan itu sepatutnya berakhir pada 9 Disember.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Ruhanie Ahmad, yang mewakili Anggota Parlimen BN sambil meminta maaf, berkata:

"Kami menerima dengan dada terbuka pembubaran ini dan yakin BN akan terus mampu memerintah negara ini serta memberi pembelaan kepada seluruh rakyat."

Ketua Pembangkang, yang juga Anggota Parlimen DAP, Encik Lim Kit Siang, yang kelihatan agak terkejut dengan berita pembubaran parlimen, berkata:

"Ini adalah kali pertama Dewan Rakyat dibubarkan ketika mesyuarat sedang berjalan. Saya tidak tahu sama ada ini baik atau tidak baik.

"Bagaimanapun, kita harap semua rakyat Malaysia akan mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini. Kita semua perlu membentuk sikap cinta kepada negara dan bukan musuh negara."

Beliau, yang sebelum ini meramalkan pilihan raya akan diadakan pada minggu ketiga Januari tahun depan, juga mengambil kesempatan meminta maaf bagi pihak dirinya dan anggota parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen PAS bagi Kubang Kerian, Encik Muhamad Sabu, pula sambil meminta maaf sempat berjenaka dengan berkata:

"Sesiapa yang tak dapat datang pada sesi parlimen akan datang, harap bersabarlah. Dan kemungkinan kami akan duduk di sebelah kotak sana (merujuk bahagian kerusi ahli kabinet). -- BHM.

Kirim email ke