PAStikan 1 lawan 1 dengan BN!Borang penamaan calon laris
BORANG penamaan calon dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) laris umpama pisang goreng panas. Parti politik dan individu tertentu sudah mula mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara mulai semalam. Kebanyakan mereka mengambil borang itu untuk bertanding kerusi dewan undangan negeri (DUN) memandangkan jumlah kerusi yang banyak, iaitu 394 berbanding 193 kerusi Parlimen. Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jumlah sebenar borang penamaan calon yang diambil oleh mereka yang berminat untuk bertanding pada pilihan raya ke-10 kali ini, hanya diketahui apabila tarikh penamaan calon semakin dekat nanti. Hari penamaan calon ialah Sabtu, 20 November ini manakala pengundian pada Isnin, 29 November. "Borang ini diberi percuma tetapi wakil atau bakal calon yang ingin mendapatkannya hendaklah menunjukkan surat hasrat daripada parti masing-masing kecuali bagi individu yang ingin bertanding sebagai calon Bebas. "Malah, mulai hari ini (semalam) pejabat SPR di seluruh negara sudah menerima banyak pertanyaan mengenai borang penamaan calon ini," katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun katanya, berdasarkan pengalaman lalu, tidak semua borang yang diambil itu akan diserahkan pada hari penamaan calon, mungkin atas alasan tersendiri. "Pernah sebelum ini, SPR mengeluarkan 1,000 borang untuk pilihan raya negeri Sabah yang membabitkan 48 kerusi DUN. Tetapi apabila tiba hari penamaan calon, jumlahnya jauh berkurangan. "Ini adalah dokumen penting dan saya berharap mereka yang benar-benar serius mahu bertanding, mendapatkannya. Kita tidak mahu borang ini nanti akhirnya dijadikan pembungkus barang," katanya. Kertas penamaan itu mestilah sebagaimana borang yang ditetapkan iaitu Borang 4 untuk pilihan raya Parlimen dan Borang 4A untuk pilihan raya DUN. Setiap calon perlu menyerahkan kertas penamaannya dalam tiga salinan di pusat penamaan calon nanti. Mengenai wang pertaruhan (Parlimen RM5,000 dan DUN RM3,000), Wan Ahmad berkata ia boleh dibayar di pejabat SPR pada bila-bila masa mulai semalam dan bakal calon yang berbuat demikian, cuma perlu menunjukkan resit pembayaran di pusat penamaan calon nanti. Satu lagi cara ialah boleh membayarnya kepada pegawai pengurus semasa menyerahkan borang penamaan itu. |
