Pilihan raya Malaysia ditetapkan 29 November
Hanya lapan hari tempoh berkempen"Kami membuat keputusan bahawa tempoh lapan hari adalah mencukupi. Semua parti-parti terlibat telah berkempen selama berbulan-bulan." - Pengerusi Suruhanjaya, Datuk Omar Hashim.
"Kalau nak diikutkan, kita perlukan tempoh dua minggu untuk berkempen sebab jumlah pengundi meningkat dan kawasan semakin luas berbanding sebelum ini." - Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor.
KUALA LUMPUR -- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mengumumkan 29 November sebagai tarikh pilihan raya dan menetapkan tempoh kempen selama lapan hari, yang didakwa oleh parti pembangkang sebagai terlalu singkat. Suruhanjaya itu pada mesyuaratnya juga menetapkan 20 November sebagai hari penamaan calon bagi 193 kerusi parlimen dan 394 kerusi untuk dewan undangan negeri yang dipertandingkan. Pengerusi Suruhanjaya, Datuk Omar Hashim, berkata buat pertama kali dalam sejarah, pengundian akan dijalankan hanya bagi satu hari -- bukan dua hari -- seperti pilihan raya yang lalu. Selain pengundian yang pertama kali dilakukan dalam sehari, ia juga merupakan pilihan raya umum yang pertama, yang tidak dijalankan pada hujung minggu kerana 29 November ialah Isnin. Seramai 9,564,071 orang -- bilangan pengundi yang terdapat pada daftar pemilih 1998 yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-10 pada 29 November ini. Pihak pembangkang berkata mereka terkejut dengan tempoh kempen pendek itu. Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor, berkata tempoh berkempen itu tidak mencukupi. "Sekiranya hendak diikutkan, kita memang perlukan tempoh selama dua minggu untuk berkempen sebab bilangan pengundi pula telah meningkat dan kawasan semakin luas berbanding sebelum ini," tambah beliau lagi. Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata tempoh kempen itu turut membuat aduan yang serupa. "Ia tidak adil kerana ia tidak membenarkan sehingga sembilan juta pengundi untuk menilai rancangan dan dasar-dasar calon yang bertanding serta parti mereka, terutama dengan media massa berat sebelah, dan tidak adil," kata Encik Lim Kit Siang. Bagaimanapun, Suruhanjaya itu turut mempertahankan keputusannya itu. "Kami membuat keputusan bahawa tempoh selama lapan hari itu adalah sudah mencukupi. Semua parti yang terlibat telah berkempen berbulan-bulan lamanya," kata Datuk Omar Hashim. Parti-parti politik telah mengadakan ceramah politik dan mengibarkan bendera parti di tempat awam sejak beberapa bulan lalu. Datuk Omar Hashim berkata keputusan pilihan raya itu akan diketahui pada hari yang sama dan menjangkakan bahawa rakyat akan mengetahui pembentukan kerajaan baru selewat-lewatnya daripada 2 pagi sehingga 3 pagi pada hari berikutnya. "Saya memberi jaminan bahawa SPR akan mengendalikan pilihan raya ini dengan adil, cekap dan telus mengikut undang-undang dan peraturan," kata beliau. SPR juga meminta media cetak dan elektronik memberi peluang dan liputan saksama kepada semua parti politik yang akan bertanding. "SPR juga berharap media massa memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat supaya keluar mengundi," ujar Datuk Omar. Ketika ditanya sama ada hari mengundi patut diisytiharkan sebagai cuti umum bagi memudahkan orang ramai mengundi, Datuk Omar berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan sedemikian. "Bagaimanapun, kita harap begitulah hendaknya," kata Datuk Omar. -- Reuters.
|

sabtu2-9.jpg