*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Surat dari Dato Seri Anwar Ibrahim



Anwar Ibrahim 
Penjara Sungai Buloh 
Selangor 

Saudara Saudari yang Di hormati 

Dan Salam Sejahtera. 

Saya mohon izin mengemukakan pandangan dan pertimbangan saudara saudari sempena 
Pilihanraya Umum pada 29 November
1999. Kuasa dalam sistem Demokrasi adalah di tangan rakyat. Dan, inilah kesempatan 
sebaiknya kita memutuskan bakal Wakil
Rakyat dan Kerajaan kita. Dan ini mampu dilaksanakan sebaiknya dengan fikiran terbuka, 
membuat penilaian berdasarkan
maklumat dan tidak terbelenggu dengan fitnah dan propoganda sempit atau kerana 
terperangkap dengan sogokan wang dan
habuan. Kita mengundi kerana menyempurnakan tanggungjawab sebagai amanah dalam 
menentukan masa depan kita dan
anak-anak bangsa. 

MENJAMIN PILIHANRAYA BEBAS DAN ADIL 

Rakyat prihatin telah mendesak supaya pilihanraya (PR) dikendalikan secara bebas dan 
adil. Bukan sekadar pengawasan
piliharaya perlu ditingkatkan tetapi perjalanan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri 
perlu diawasi. Kita menyesali keputusan
menafikan hak 650,000 pengundi baru atas alasan paling leceh. Di era teknologi 
maklumat beserta Koridor Raya Multimedia,
SPR memerlukan masa lapan bulan bagi mengesahkan senarai pemilih baru. Ini cukup 
menimbulkan kecurigaan di kalangan
orang ramai, bahawa alasan sebenarnya ialah pengundi-pengundi baru tersebut cenderung 
menyokong Barisan Alternatif (BA).
Saya ingin menyeru kepada adik-adik yang dinafikan hak mengundi kali ini agar jangan 
terus kecewa. Adik- adik perlu
membantah ketidakadilan tersebut dengan memberikan khidmat sukarela membantu 
memenangkan calon-calon BA. 

Usul memansuhkan Undi Pos juga ditolak oleh SPR. Ratusan kenyataan dan bukti 
dikemukakan menunjukkan bahawa
perlaksanaan dahulu tidak telus dan didapati curang. SPR kini perlu memastikan agar 
Pasukan Tentera, Polis dan keluarga
mereka yang berjumlah 250,000 orang mempunyai hak mengundi. Meneruskan kecurangan cara 
pengundian oleh pegawai lain
adalah satu penghinaan kepada mereka. Penyelesaian secara adil dan saksama ialah 
dengan mematuhi kaedah pengundian biasa
iaitu membenarkan pengawasan oleh semua wakil parti yang bertanding. 

Kita perlu mendapat kepastian mengenai senarai daftar pemilih yang kemaskini. Parti 
PBS Sabah telah mengemukakan senarai
ribuan "Pengundi Hantu" dalam PR Negeri Sabah yang lalu. Akhbar Harakah menyiarkan 
contoh-contoh nama pemilih yang
bertindih. Dalam amalan Demokrasi, ketelusan pengendalian PR yang bebas dan adil 
adalah prasyarat. Bahkan tugas SPR
seharusnya mencakup lain-lain aspek perjalanan PR termasuk pendedahan semua parti 
dalam media, pengawasan pasukan
keselamatan yang saksama, selain dari menentukan semua pihak mematuhi undang-undang 
PR. 

UGUTAN, FITNAH DAN SOGOKAN 

Pengumuman Dato Seri Dr.Mahathir(DSM) mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan 
Negeri diselang-seli
berulang kali dengan ugutan akan berlakunya rusuhan. Kenyataan bebal sepertimana yang 
beliau ungkapkan menzahirkan rasa
terdesak dan cemas. Helah beliau dan BN mengekalkan kuasa ialah dengan menimbulkan 
rasa takut di kalangan rakyat dan
menggambarkan PAS dan DAP terutamanya sebagai puak ekstremis dan pelampau. Ugutan ini 
akan berterusan menjelang PR.
Kita menggesa agar jentera kerajaan tidak terlibat. Segelintir kecil Pegawai Polis 
terutamnya dari Cawangan Khas yang
bergerak sebelum ini perlu diawasi dan wajar menghentikan operasi mereka. Tugas mereka 
adalah menjaga keselamatan dan
bukannya hulubalang bagi pihak Barisan Nasional. Kita mendoakan agar keamanan terus 
dikekalkan dan keselamatan
terpelihara. 

Media yang dikuasai oleh pemimpin negara, parti kerajaan dan saudagar kroni menyerang 
ganas bagaikan menggila. Rakyat
seharusnya insaf dan sedar kelompok yang menguasai media tanahair, persekongkolan 
penguasa, saudagar kroni dan media
menjadikan negara ini milik kumpulan kecil mirip sistem Oligarki. Saya telah dedahkan 
bagaimana DSM dan Tun Daim
menguasai Kumpulan New Straits Times termasuk akhbar-akhbar dan TV 3 melalui pegangan 
70% ekuiti dalam Real Mild.
Selaku Presiden UMNO, beliau menguasai Kumpulan Utusan Melayu. Akhbar The Star 
dikuasai oleh MCA dan The Sun
adalah milik Tan Sri Vincent Tan, peniaga rapat dengan DSM. RTM pula adalah organ 
Kerajaan Barisan Nasional. Soal fakta,
kebenaran atau kesahihan berita tidak timbul. Sasaran mereka ialah memusnahkan 
pemimpin dan parti-parti alternatif dengan
apa cara sekali pun- fitnah, cercaan, penipuan atau memutar belitkan fakta. Peluang 
atau ruang bagi menjawab atau
memberikan penjelasan dinafikan. Disebaliknya, berita rasuah, penyelewengan pimpinan 
Barisan Nasional dipadamkan.
Perasuah dan penjenayah seolah-olah mendapat perlindungan. Hanya dengan kesedaran dan 
kematangan rakyat maka berita
yang cuba mereka hebahkan akan dianggap memual dan meloyakan. 

Menjelang PR Jentera Kerajaan akan dikerah menggempur ke kawasan tumpuan dengan 
pelbagai acara perasmian dan taburan
projek. Saya yakin hanya sebahagian kecil pegawai kerajaan yang rela diperalatkan. 
Walhal mereka juga arif tentang
kedudukan terdesak kerajaan sementara (caretaker) sahaja. Saya ingin menyeru agar 
pegawai-pegawai kerajaan serta
rakan-rakan guru, tenaga pekerja Telekom, TNB dan lain-lain akan terus dengan 
komitment mereka menuntut perubahan dan
meyokong calon-calon dari BA. Sudah sekian lama mereka menerima amaran dan ugutan 
secara angkuh oleh pimpinan Barisan
Nasional. Tidak mudah mereka menyerah semata-mata dengan pengumuman bonus oleh manusia 
dalam kecemasan. Walhasil,
belanjawan terbatal sudah dan belanjawan baru BA, insyaAllah lebih adil dan 
menyakinkan. 

Kerja menyogok dan memberi rasuah akan berlanjutan sebagai langkah terakhir memancing 
undi. Kekayaan melimpah
pemimpin BN dan parti-parti BN tidak dipertikai lagi. Pendedahan melalui laporan polis 
yang merupakan sebahagian kecil dari
Modus Operandi atau cara dana dikumpulkan oleh mereka memaparkan kenyataan 
merunsingkan. Bahawa wang rasuah dan
dari syarikat perjudian menjadi punca kekayaan menimbun dan sebahagiannya akan 
dicurahkan kepada pekerja BN dan
pengundi. Sekali lagi andaikata kita terperangkap dengan pendekatan demikian; sistem 
pengumpulan harta, memunggah
khazanah negara untuk keluarga dan kroni akan berterusan. Kita bertangungjawab membina 
benteng iman dan ruh perjuangan.
Menangkis percubaan merasuah pengundi dengan menumpaskan pelakunya. Berilah sokongan 
padu kepada BA kerana agenda
perjuangan serta prinsip yang dipertahankannya. 

PIMPINAN BARISAN ALTERNATIF 

BA menampilkan tokoh-tokoh dari PAS, KeADILan, DAP dan PRM yang lebih berkelayakkan 
dan komitted bagi
melaksanakan agenda perjuangan. Namun yang lebih menarik ialah keprihatinan mereka 
dalam isu keadilan, keluhuran
undang-undang, pembangunan ekonomi dan pembahagian yang adil serta tekad bersama 
membenteras rasuah, nepotisme dan
kronisme. Gabungan kekuatan ini jauh lebih mantap dan berakar kepada dukungan rakyat 
terbanyak. Bahkan kelayakkan
calon-calon yang terdiri dari tokoh politik veteran, sarjana, sasterawan, profesional, 
peniaga, ulamak, pimpinan badan bukan
kerajaan jelas menunjukkan keupayaan dan kewibawaan sebagai satu pasukan padu. 

Strategi BN selama ini ialah membunuh kemungkinan munculnya tokoh saingan yang 
berwibawa. Maka media milik mereka
akan memuatkan gambaran negatif dan memesongkan kelayakkan mereka, fikiran bernas, 
dasar parti tidak dimuatkan kerana
ini jelas bercanggah dengan propaganda BN selama ini. Umpamanya ucapan Dato=92 fadzhil 
Noor dalam Muktamar PAS
yang lalu mengenai keadilan menurut perspektif Islam yang mencakup soal kebebasan 
badan kehakiman, pengagihan ekonomi,
toleransi antara kaum dan agama tidak disiarkan. Ucapan tersebut bernas, matang dan 
mewakili sentimen umat islam serta cita
rasa masyarakat Malaysia. Pentadbiran Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz 
membuktikan keupayaan pengurusan
ekonomi dan pembangunan dengan dukungan pentadbir dan tenaga profesional. Bahkan aspek 
yang lebih menarik buat saya
ialah kebersihan dari rasuah, gelojoh dan tamak pimpinan yang nyata sekali berbeda 
dengan pentadbiran negeri-negeri di bawah
BN, di mana pengagihan balak, kawasan tanah, peluang perniagaan diperlaku sebagai 
harta keluarga sendiri. Propoganda
bahawa PAS mengancam kedudukan rakyat bukan Islam tidak benar sama sekali di Kelantan. 

Lantaran keterlanjuran polemik isu hak dan kaum termasuk isu bahasa dan hak 
keistemewaan orang-orang Melayu, Parti DAP
digambarkan oleh BN sebagai mewakili kepentingan Cauvinis Cina. MCA dan Gerakan juga 
mengakui memperjuangkan
masyarakat Cina sepertimana juga MIC bagi masyarakat India. Berdasarkan pengalaman 
saya dalam UMNO dan BN;
pemimpin-pemimpin mereka umumnya cuba memelihara kepentingan kaum secara bermusim. 
Yang lebih jelas ialah kesibukan
dan keghairahan menjaga kelompok kecil keluarga dan kepentingan peniaga dan koprat 
terdekat. Di mana usaha
memperhebatkan pengenalan Bahasa Cina di kalangan rakyat ? Apa pula usaha mereka 
menanam kefahaman budaya Cina atau
fahaman Kung Fu Tze kepada umum? Mengapa langkah merangsang perniagaan dan industri 
kecil dan sederhana, peniaga kecil
dan penjaja tidak terancang? Sepanjang ingatan saya dalam kabinet jarang sekali 
perkara-perkara tersebut diutarakan selain
mejelang PR atau manakala timbul keresahan, bantahan, keriuhan bilamana tanah 
dirampas. 

Yang sering dikemukan ialah saham, kontrak pilihan dan kepentingan saudagar kaya. 
Samalah karenahnya dengan masalah
Indai di estet dan yang miskin. Kalau terdapat pun pengagihan saham seperti MAIKA dan 
saham TELLEKOM, entah ke mana
akhirnya. Masyarakat Melayu perlu insaf kegelisahan masyarakat Cina yang disuarakan 
oleh DAP. Kita tidak dapat menolak
kebenaran kenyataan bahawa terdapat kelompok masyarakat cina terutamanya dikelas 
pertengahan dan rendah yang
dipingggirkan. Saudara Lim Kit Siang dan rakan-rakannya akan gagal menyempurnakan 
tanggungjawab mereka sekiranya
permasalahan kelompok majoriti cina tidak disuarakan. Kenyataan juga menunjukkan 
bahawa ucapan dan kenyataan saudara
Kit Siang dan rakan-rakannya tidak terbatas kepada masalah di atas tetapi secara tegas 
dan berani mereka membahaskan isu
rasuah, keadilan, ekonomi yang menyentuh kedudukan semua rakyat. Masyarakat Melayu 
juga tetap mengenangkan jasa dan
menghargai pengorbanan Sdr Lim Guan Eng. 

Diantara tokoh politik semasa yang paling konsisten memperjuangkan nasib rakyat miskin 
termasuk masalah setinggan ialah Dr.
syed Husin Ali. Kehadiran beliau dan PRM dalam rangkaian BA akan membantu mengimbangi 
penekanan pertumbuhan
ekonomi yang rancak dengan perkiraan nasionalistik serta menjuarai ehwal rakyat 
bawahan. 

Dr Wan Azizah Ismail memperlihatkan ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi suasana 
gawat. Isu keadilan, kesaksamaan
dan kedudukan wanita terus menjadi agenda perjuangannya. Pemimpin KeADILan lainnya 
seperti Dr. Chandra Muzaffar tidak
dapat disangkal sebagai di antara pejuang dan penghujjah utama dalam isu keadilan dan 
hak asasi. 

Saya dapat menyenaraikan puluhan nama tokoh nasional lainnya yang menyertai BA tanpa 
ganjaran upah dan kedudukan, tetapi
memilih untuk berkhidmat dan berjuang. Di antara mereka ialah Ustaz Abdul Hadi Awang, 
Dr.Chen Man Hin, Dato Dr Harun
Din, Prof. Dr Shahnon Ahmad, Karpal Singh, Prof. Dr Jomo Sundram, Marina Yusoff, 
Mustaffa Ali, Tian Chua, Dr Sanusi
Osman, Sivarasa, Sheikh Azmi Ahmad, Rustam A.Sani, Tan Seng Giau, Irene Fernandez dan 
Ezam Mohd Nor. 

Bersyukur saya kehadrat Allah SWT lebih-lebih lagi kerana kepercayaan dan harapan BA 
terhadap saya. Percubaan DSM dan
beberapa tokoh BN untuk melenyapkan karier politik saya melalui pelbagai fitnah jahat, 
dakwaan mengaibkan, bahkan
penderaan fizikal tidak menggugat keyakinan saya dan kepercayaan rakan-rakan. 
Keputusan BA membuktikan bahawa
muafakat adalah satu kenyataan. Pimpinan PAS yang mempunyai kaliber, kelayakkan dan 
pengalaman masih berlapang dada
tidak sepertimana yang cuba digambarkan oleh BN. 

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa corak kepimpinan baru kami adalah secara 
berpasukan, dengan penuh semangat
musyawwarah atau perundingan. Ini berbeza dengan stail kepimpinan kuku besi ala 
ditaktor sekarang. Apa sahaja yang
dilaukan oleh ketua- baik rasuah besar, membazir dengan projek mega, megah atau 
bertindak zalim, tidak ada siapa yang
berani menegur atau melarang! Bagi kami, kepimpinan adalah amanah, tanggungjawab yang 
perlu disempurnakan sebaiknya
dengan mengambil kira kenyataan hidup masyarakat di Malaysia. Ini bermakna pandangan 
dan teguran dilihat secara positif
membantu usaha memandu perjalanan dasar sterusnya. 

AGENDA BARISAN ALTERNATIF 

Barisan Alternatif telah merumuskan agenda perjuangan dalam manifesto bersama. Ini 
jelas membuktikan bahawa
permuafakatan adalah berkesan melangkaui persefahaman pilihanraya dan menjurus kepada 
agenda bertindak jelas. Bahkan
cadangan Belanjawan BA adalah lebih realistik dan jujur berbanding dengan belanjawan 
BN yang dibentangkan semata-mata
sebagai janji manis pilihanraya. Setelah pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat dibelai 
sebentar, cadangan tersebut terbatal
dengan pembubaran Parlimen! 

Dengan mengandaikan saudara saudari dapat menelaah manifesto dan BA saya ingin 
menggariskan beberapa isu pokok sebagai
bahan renungan bersama: 

Pertama: 

Mendaulat Negara Hukum 

Kita menganjurkan gagasan pemerintahan demokratik, telus dan bertanggungjawab. 
Manakala kuasa berpusat kepada
seseorang atau kelompok kecil. Maka instrument atau jentera pemerintahan biasanya di 
bawah telunjuk penguasa. Dan, dengan
media mengongkong, maka rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan kecurangan 
pimpinan tersorok. Dengan merasa
kebal dari undang-undang, mereka akan lebih terdorong bertindak ganas lagi. Hanya 
apabila bangkai menjadi lebih busuk dan
tidak terdaya dibendung, barulah terbuka pekung dan terhidu baunya. Demikianlah 
iktibar sejarah zaman silam serta pengajaran
dari beberapa negara jiran tentang berakhirnya pemerintahan zalim dan tamak. Dengan 
kuasa, jentera, media, dana rakyat,
terpesona dengan pemimpin ulung, jagoh dunia. Tetapi setelah terbongkar kisah sebenar 
terbukti harta menimbun dan
kekejaman merata-rata. 

Justeru itu, bagi menghindar dari sebarang kecenderungan menindas atau merompak, 
beberapa hukum yang lemah dan tidak
bermaya perlu diperkukuh. Badan penyiasat dan penguatkuasa harus lebih profesional. 
Lembaga Pendakwaan semestinya
menggunakan wewenang bertindak tanpa memilih apatah lagi berniat buruk. Tidak harus 
ada kesangsian sehingga kedengaran
rungutan sinis bahawa simiskin yang mencuri RM50 di penjara, si menteri mengaut RM500 
juta ringgit terpelihara. Atau
keadaan dimana setiap pengkritik pemimpin bahkan kalangan yang kurang selesa dengan 
mana-mana dasar sentiasa diekori
cawangan khas menunggu tindakan. Maknanya kita harus kembali menghayati semangat 
Perlembagaan Negara; menjamin
kebebasan dan keadilan serta memertabatkan hukum dengan pembahagian kuasa eksekutif, 
legislatif dan kehakiman.
Demikianlah raisondetre asas terbentuknya sabuah negara merdeka dan berdaulat, yang 
juga kita pusakai dari tradisi agama dan
budaya bangsa. 

Sabagai langkah segera, beberapa Akta dan undang-undang yang didapati bercanggah 
dengan prinsip kebebasan dan mudah di
salah guna oleh penguasa harus dimansuh atau dipinda. Umpamanya Akta Keselamatan Dalam 
Negeri releven ketika
menghadapi ancaman musuh kini di anggap usang melainkan dengan maksud menindas 
pengkritik atau pembangkang. Begitu
jualah halnya dengan sekatan dan halangan terhadap media dan kegiatan mahasiswa. 

Kedua: Merangsang Pertumbuhan Ekonomi 

Tumpuan utama Agenda Barisan Alternatif ialah merangsang pertumbuhan ekonomi. Ekonomi 
perlu di pacu laju dan rancak
bagi memungkinkan penambahan peluang, keselesaan ramai dan pengagihan adil. Iklim 
pelaburan dalam dan luar negeri
termasuk sistem percukaian dan dasar fiskal mestilah serasi degan dasar yang dapat 
menarik penyertaan aktif sektor swasta
tetapi perlu terus menjamin pertumbuhan mampan. Insentif dan galakkan penyelidikkan, 
pengenalan teknologi, pembangunan
sumber manusia akan diberikan penekanan sewajarnya. Projek mega, mercu tanda kemegahan 
peribadi, cara berbelanja
mewah dan membazir akan dihentikan. Ini akan digantikan melalui skim tambahan bagi 
industri kecil dan sederhana, peniaga
kecil dan prasarana asas rakyat di bandar, desa dan kawasan pendalaman Sabah dan 
Sarawak. Sistem kelulusan penswastaan,
kontrak dan pembahagian saham akan lebih telus tanpa percanggahan keputusan. Maka 
amalan pembolotan peluang sehingga
melimpah kekayaan bagi kelompok kecil keluarga dan kroni akan dihentikan. 

Kepentingan Bumiputra tetap terjamin tetapi diperluaskan penyertaan dan peluang kepada 
yang berkelayakkan dan tidak
berlegar kepada beberapa kerat yang terpilih. Oleh kerana monopoli segelintir korporat 
dimansuhkan, maka jaringan peluang
peniaga termasuk bukan bumiputra terutama diperingkat menegah dan kecil lebih meluas 
dan melebar. Program pembasmian
kemiskinan, penyediaan program asas, pembangunan rumah rakyat serta usaha mengurangkan 
kos perkhidmatan awam akan
lebih terjamin. Pembangunan kawasan dan wilayah juga dianjak dari tumpuan berlebihan 
ke projek mega terpilih di kota besar
kepada pendekatan yang lebih seimbang. Dan, ini berkaitan dengan dasar BA yang 
berhasrat menyalurkan belanjawan yang
lebih saksama serta menurunkan kuasa-kuasa tertentu kepada negeri dan 
daerah/jajahan/bahagian bagi menjamin perlaksanaan
projek dan program secara cekap dan berkesan. Pertimbangan khas diperlukan bagi 
negeri-negeri Sabah dan Sarawak. 

Ketiga: Kerukunan Hidup Beragama dan Berbudaya 

Masyarakat kita umumnya masih terikat dengan kehidupan beragama, sistem kekeluargaan 
yang kental dan nilai hidup yang
luhur. Maka berbeda dengan mencanang Islam sebagai lambang melalui pembinaan institusi 
atau masjid yang tersergam indah
semata, kita lebih menjurus kepada penghayatan dalam kehidupan. Ia seharusnya mencakup 
urusan ibadah, peraturan dan
sistem nilai akhlak. Kedudukan agama dan sistem nilai penduduk Bukan Islam 
terpelihara. Dan, sebarang kaedah perlaksanaan
mengambil kira hak masing-masing dengan semangat tasamuh atau toleransi. Ini dibedakan 
dengan kebiadapan pihak yang
sengaja menghina agama dan ulama atau mempersendakan hukum. 

Pendekatan sedemikian juga yang harus mendasari semua langkah menangani masalah sosial 
yang kian serius di negara kita.
Dengan menggunakan pendekatan sederhana dan bijaksana, jentera kerajaan dan badan 
bukan kerajaan didorong bekerja
sama membantu menyelesaikan masalah berbangkit. Tumpuan ialah melalui pendekatan 
pendidikan, memupuk rasa kasih
sayang dan memperteguhkan institusi kekeluargaan. 

Kita perjelaskan bahawa penekanan isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu 
diteruskan, dipertingkat sebagai
bahasa resmi yang berkesan dan bahasa ilmu yang dikagumi. Di samping itu, penguasaan 
lain-lain bahasa termasuk Inggeris,
Cina ,Arab, Tamil dan lain-lain perlu ditingkatkan. Kita akui kedudukan penting Bahasa 
Cina di negara dan di rantau. Sebab itu
isu pengembangannya tidak harus menjadi masalah sepertimana juga pengajaran bahasa 
suku kaum lainya seperti Bahasa Iban
dan Kadazan. 

Masalah Agama, Bahasa dan juga budaya hanya menjadi masalah bilamana dijadikan isu 
politik buat menakutkan rakyat. Saya
masih ingat kontrovesi galakkan penggunaan Bahasa Inggeris dahulu. Ianya dipertikaikan 
bukan kerana masyarakat Melayu
menentang keperluan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi kerana pendukung kempen tersebut 
di kalangan pemimpin tidak jelas
komitment bahkan lemah dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan . Saya lebih yakin dengan 
pendekatan dan kefahaman budaya
yang lebih mendalam sepanjang Pentadbiran Barisan Nasional, usaha memahami dan 
mengenali lain-lain bahasa dan faham
budaya tidak mendapatkan perhatian. BA merancang untuk memupuk kesedaran dan kefahaman 
yang lebih mendalam antara
agama, budaya dan peradaban. SERUAN DAN HARAPAN 

Sepanjang zaman aktif saya dalam kegiatan mahasiswa, belia dan akhirnya sebagai 
Timbalan Perdana Menteri bersama UMNO
dan Barisan Nasional, saya telah menemui dan mengenali ratusan ribu teman, layanan, 
budi baik dan sokongan rakyat menjadi
kenangan abadi. Saya telah menimba banyak pengalaman pahi tmanis, banyak mempelajari 
sepak terajang politik, banyak
menguasai urusan keewangan, ekonomi dan pentadbiran . Tetapi setelah bercanggah 
pendapat mengenai beberapa isu pokok
dan dasar dengan DSM, saya tidak menjangka saya diperlaku sebegini rupa. Setelah di 
pecat, segera diusir dari rumah resmi,
ditangkap dalam serbuan, dipukul dalam lokap, dihina, dicerca saban hari sepanjang 
lebih setahun saya dalam penjara. Tidak
ada yang harus saya sesalkan. Saya bertindak atas keyakinan . Saya menjadi mangsa 
fitnah jahat dan konspirasi keji. Maka
saya dengan rendah hati memohon pertimbangan saudara-saudari merenung sejenak, menilai 
kandungan warkah dan seruan dan
harapan saya. Saya mohon pegertian dan sokongan saudara-saudari. 

Memang benar, sebelum ini saya berbeda pendekatan dengan rakan-rakan dari PAS, DAP dan 
PRM, kerana saya meyakini
keupayaan merubah dari dalam UMNO dan Kerajaan BN. Saya masih mempercayai sabahagian 
besar ahli-ahli biasa UMNO
dan lain-lain komponen BN ikhlas menyokong pimpinan kerana meyakini bahawa pemimpin 
mereka akan mematuhi janji
mendirikan kerajaan bersih, tradisi membela rakyat dan adil. 

Beberapa percubaan pembaharuan telah diperkenalkan tetapi manakala perubahan-perubahan 
menghala kepada perkara dasar
seperti Akta Pencegah Rasuah yang baru, ketegasan menentang amalan kronisme dan 
nepotisme, membatalkan projek mega,
megah dan membazir, berusaha memupuk akhlak dan kehidupan beragama yakni perubahan 
yang saya yakini didukungi oleh
rakyat terbanyak. Saya tetap bersabar dan menjadi penyokong yang setia, bekerja keras, 
mempertahankan dasar yang sedia
ada dengan harapan melakukan perubahan bila tiba ketikanya nanti. Ramai rakan yang 
mempertikaikan pendekatan saya
kerana tetap bersabar dan betahan. Cuma saya enggan berpakat dan bersekongkol dengan 
cara mereka menimbun kekayaan
peribadi, mempersendakan hukum agama dan ulama, menindas pengkritik dan menahan 
pembangkang. DSM merasa dirinya
tercabar atas nasihat para konspirator dan mulai mencemburui kejayaan saya. Mereka 
sedar mereka akan gagal menyingkir
saya mengikut jalan demokratik. 

Sengaja saya imbas semula bukanlah sekadar meraih simpati meskipun saya akui beban 
berat yang turut ditanggung oleh
Azizah, anak-anak dan sahabat handai. Saya telah menafi keras fitnah dan segala 
tuduhan keji. 

Nampaknya saya sekali lagi dinafikan hak untuk bertanding sesuai dengan perancangan 
konspirator. Namun saya yakin,
penentu akhirnya ialah rakyat sebagai pengundi dari semua parti, pegawai kerajaan, 
pekerja, petani dan nelayan untuk memberi
kesempatan kepada calon-calon BA- PAS, DAP, PRM dan KeADILan bersama dengan sekutu 
kita di Sabah dan Sarawak. 

Inilah kesempatan sebaiknya. Tegakkan Keadilan Dan Bela Nasib Rakyat, 

 Undilah Calon Barisan Alternatif. 

Salam Hormat dan Terima Kasih. 

(Anwar Ibrahim) 


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke