*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Surat dari Dato Seri Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Penjara Sungai Buloh
Selangor
Saudara Saudari yang Di hormati
Dan Salam Sejahtera.
Saya mohon izin mengemukakan pandangan dan pertimbangan saudara saudari
sempena Pilihanraya Umum pada 29 November 1999. Kuasa dalam sistem
Demokrasi adalah di tangan rakyat. Dan, inilah kesempatan sebaiknya kita
memutuskan bakal Wakil Rakyat dan Kerajaan kita. Dan ini mampu dilaksanakan
sebaiknya dengan fikiran terbuka, membuat penilaian berdasarkan maklumat dan
tidak terbelenggu dengan fitnah dan propoganda sempit atau kerana
terperangkap
dengan sogokan wang dan habuan. Kita mengundi kerana menyempurnakan
tanggungjawab sebagai amanah dalam menentukan masa depan kita dan anak-anak
bangsa.
MENJAMIN PILIHANRAYA BEBAS DAN ADIL
Rakyat prihatin telah mendesak supaya pilihanraya (PR) dikendalikan secara
bebas dan adil. Bukan sekadar pengawasan piliharaya perlu ditingkatkan
tetapi
perjalanan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri perlu diawasi. Kita
menyesali keputusan menafikan hak 650,000 pengundi baru atas alasan paling
leceh. Di era
teknologi maklumat beserta Koridor Raya Multimedia, SPR memerlukan masa
lapan bulan bagi mengesahkan senarai pemilih baru. Ini cukup menimbulkan
kecurigaan di kalangan orang ramai, bahawa alasan sebenarnya ialah
pengundi-pengundi baru tersebut cenderung menyokong Barisan Alternatif (BA).
Saya ingin
menyeru kepada adik-adik yang dinafikan hak mengundi kali ini agar jangan
terus kecewa. Adik- adik perlu membantah ketidakadilan tersebut dengan
memberikan
khidmat sukarela membantu memenangkan calon-calon BA.
Usul memansuhkan Undi Pos juga ditolak oleh SPR. Ratusan kenyataan dan bukti
dikemukakan menunjukkan bahawa perlaksanaan dahulu tidak telus dan didapati
curang. SPR kini perlu memastikan agar Pasukan Tentera, Polis dan keluarga
mereka yang berjumlah 250,000 orang mempunyai hak mengundi. Meneruskan
kecurangan cara pengundian oleh pegawai lain adalah satu penghinaan kepada
mereka. Penyelesaian secara adil dan saksama ialah dengan mematuhi kaedah
pengundian biasa iaitu membenarkan pengawasan oleh semua wakil parti yang
bertanding.
Kita perlu mendapat kepastian mengenai senarai daftar pemilih yang
kemaskini. Parti PBS Sabah telah mengemukakan senarai ribuan "Pengundi
Hantu" dalam PR
Negeri Sabah yang lalu. Akhbar Harakah menyiarkan contoh-contoh nama pemilih
yang bertindih. Dalam amalan Demokrasi, ketelusan pengendalian PR yang bebas
dan adil adalah prasyarat. Bahkan tugas SPR seharusnya mencakup lain-lain
aspek perjalanan PR termasuk pendedahan semua parti dalam media, pengawasan
pasukan keselamatan yang saksama, selain dari menentukan semua pihak
mematuhi undang-undang PR.
UGUTAN, FITNAH DAN SOGOKAN
Pengumuman Dato Seri Dr.Mahathir(DSM) mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri diselang-seli berulang kali dengan ugutan akan
berlakunya rusuhan. Kenyataan bebal sepertimana yang beliau ungkapkan
menzahirkan rasa terdesak dan cemas. Helah beliau dan BN mengekalkan kuasa
ialah
dengan menimbulkan rasa takut di kalangan rakyat dan menggambarkan PAS dan
DAP terutamanya sebagai puak ekstremis dan pelampau. Ugutan ini akan
berterusan menjelang PR. Kita menggesa agar jentera kerajaan tidak terlibat.
Segelintir kecil Pegawai Polis terutamnya dari Cawangan Khas yang bergerak
sebelum
ini perlu diawasi dan wajar menghentikan operasi mereka. Tugas mereka adalah
menjaga keselamatan dan bukannya hulubalang bagi pihak Barisan Nasional.
Kita
mendoakan agar keamanan terus dikekalkan dan keselamatan terpelihara.
Media yang dikuasai oleh pemimpin negara, parti kerajaan dan saudagar kroni
menyerang ganas bagaikan menggila. Rakyat seharusnya insaf dan sedar
kelompok
yang menguasai media tanahair, persekongkolan penguasa, saudagar kroni dan
media menjadikan negara ini milik kumpulan kecil mirip sistem Oligarki. Saya
telah
dedahkan bagaimana DSM dan Tun Daim menguasai Kumpulan New Straits Times
termasuk akhbar-akhbar dan TV 3 melalui pegangan 70% ekuiti dalam Real
Mild. Selaku Presiden UMNO, beliau menguasai Kumpulan Utusan Melayu. Akhbar
The Star dikuasai oleh MCA dan The Sun adalah milik Tan Sri Vincent Tan,
peniaga rapat dengan DSM. RTM pula adalah organ Kerajaan Barisan Nasional.
Soal fakta, kebenaran atau kesahihan berita tidak timbul. Sasaran mereka
ialah
memusnahkan pemimpin dan parti-parti alternatif dengan apa cara sekali pun-
fitnah, cercaan, penipuan atau memutar belitkan fakta. Peluang atau ruang
bagi
menjawab atau memberikan penjelasan dinafikan. Disebaliknya, berita rasuah,
penyelewengan pimpinan Barisan Nasional dipadamkan. Perasuah dan penjenayah
seolah-olah mendapat perlindungan. Hanya dengan kesedaran dan kematangan
rakyat maka berita yang cuba mereka hebahkan akan dianggap memual dan
meloyakan.
Menjelang PR Jentera Kerajaan akan dikerah menggempur ke kawasan tumpuan
dengan pelbagai acara perasmian dan taburan projek. Saya yakin hanya
sebahagian kecil pegawai kerajaan yang rela diperalatkan. Walhal mereka juga
arif tentang kedudukan terdesak kerajaan sementara (caretaker) sahaja. Saya
ingin
menyeru agar pegawai-pegawai kerajaan serta rakan-rakan guru, tenaga pekerja
Telekom, TNB dan lain-lain akan terus dengan komitment mereka menuntut
perubahan dan meyokong calon-calon dari BA. Sudah sekian lama mereka
menerima amaran dan ugutan secara angkuh oleh pimpinan Barisan Nasional.
Tidak
mudah mereka menyerah semata-mata dengan pengumuman bonus oleh manusia dalam
kecemasan. Walhasil, belanjawan terbatal sudah dan belanjawan baru BA,
insyaAllah lebih adil dan menyakinkan.
Kerja menyogok dan memberi rasuah akan berlanjutan sebagai langkah terakhir
memancing undi. Kekayaan melimpah pemimpin BN dan parti-parti BN tidak
dipertikai lagi. Pendedahan melalui laporan polis yang merupakan sebahagian
kecil dari Modus Operandi atau cara dana dikumpulkan oleh mereka memaparkan
kenyataan merunsingkan. Bahawa wang rasuah dan dari syarikat perjudian
menjadi punca kekayaan menimbun dan sebahagiannya akan dicurahkan kepada
pekerja
BN dan pengundi. Sekali lagi andaikata kita terperangkap dengan pendekatan
demikian; sistem pengumpulan harta, memunggah khazanah negara untuk keluarga
dan kroni akan berterusan. Kita bertangungjawab membina benteng iman dan ruh
perjuangan. Menangkis percubaan merasuah pengundi dengan menumpaskan
pelakunya. Berilah sokongan padu kepada BA kerana agenda perjuangan serta
prinsip yang dipertahankannya.
PIMPINAN BARISAN ALTERNATIF
BA menampilkan tokoh-tokoh dari PAS, KeADILan, DAP dan PRM yang lebih
berkelayakkan dan komitted bagi melaksanakan agenda perjuangan. Namun yang
lebih menarik ialah keprihatinan mereka dalam isu keadilan, keluhuran
undang-undang, pembangunan ekonomi dan pembahagian yang adil serta tekad
bersama
membenteras rasuah, nepotisme dan kronisme. Gabungan kekuatan ini jauh lebih
mantap dan berakar kepada dukungan rakyat terbanyak. Bahkan kelayakkan
calon-calon yang terdiri dari tokoh politik veteran, sarjana, sasterawan,
profesional, peniaga, ulamak, pimpinan badan bukan kerajaan jelas
menunjukkan keupayaan
dan kewibawaan sebagai satu pasukan padu.
Strategi BN selama ini ialah membunuh kemungkinan munculnya tokoh saingan
yang berwibawa. Maka media milik mereka akan memuatkan gambaran negatif dan
memesongkan kelayakkan mereka, fikiran bernas, dasar parti tidak dimuatkan
kerana ini jelas bercanggah dengan propaganda BN selama ini. Umpamanya
ucapan
Dato=92 fadzhil Noor dalam Muktamar PAS yang lalu mengenai keadilan menurut
perspektif Islam yang mencakup soal kebebasan badan kehakiman, pengagihan
ekonomi, toleransi antara kaum dan agama tidak disiarkan. Ucapan tersebut
bernas, matang dan mewakili sentimen umat islam serta cita rasa masyarakat
Malaysia.
Pentadbiran Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuktikan keupayaan
pengurusan ekonomi dan pembangunan dengan dukungan pentadbir dan
tenaga profesional. Bahkan aspek yang lebih menarik buat saya ialah
kebersihan dari rasuah, gelojoh dan tamak pimpinan yang nyata sekali berbeda
dengan
pentadbiran negeri-negeri di bawah BN, di mana pengagihan balak, kawasan
tanah, peluang perniagaan diperlaku sebagai harta keluarga sendiri.
Propoganda
bahawa PAS mengancam kedudukan rakyat bukan Islam tidak benar sama sekali di
Kelantan.
Lantaran keterlanjuran polemik isu hak dan kaum termasuk isu bahasa dan hak
keistemewaan orang-orang Melayu, Parti DAP digambarkan oleh BN sebagai
mewakili kepentingan Cauvinis Cina. MCA dan Gerakan juga mengakui
memperjuangkan masyarakat Cina sepertimana juga MIC bagi masyarakat India.
Berdasarkan pengalaman saya dalam UMNO dan BN; pemimpin-pemimpin mereka
umumnya cuba memelihara kepentingan kaum secara bermusim. Yang lebih
jelas ialah kesibukan dan keghairahan menjaga kelompok kecil keluarga dan
kepentingan peniaga dan koprat terdekat. Di mana usaha memperhebatkan
pengenalan
Bahasa Cina di kalangan rakyat ? Apa pula usaha mereka menanam kefahaman
budaya Cina atau fahaman Kung Fu Tze kepada umum? Mengapa langkah
merangsang perniagaan dan industri kecil dan sederhana, peniaga kecil dan
penjaja tidak terancang? Sepanjang ingatan saya dalam kabinet jarang sekali
perkara-perkara tersebut diutarakan selain mejelang PR atau manakala timbul
keresahan, bantahan, keriuhan bilamana tanah dirampas.
Yang sering dikemukan ialah saham, kontrak pilihan dan kepentingan saudagar
kaya. Samalah karenahnya dengan masalah Indai di estet dan yang miskin.
Kalau
terdapat pun pengagihan saham seperti MAIKA dan saham TELLEKOM, entah ke
mana akhirnya. Masyarakat Melayu perlu insaf kegelisahan masyarakat Cina
yang disuarakan oleh DAP. Kita tidak dapat menolak kebenaran kenyataan
bahawa terdapat kelompok masyarakat cina terutamanya dikelas pertengahan dan
rendah yang dipingggirkan. Saudara Lim Kit Siang dan rakan-rakannya akan
gagal menyempurnakan tanggungjawab mereka sekiranya permasalahan kelompok
majoriti cina tidak disuarakan. Kenyataan juga menunjukkan bahawa ucapan dan
kenyataan saudara Kit Siang dan rakan-rakannya tidak terbatas kepada masalah
di atas tetapi secara tegas dan berani mereka membahaskan isu rasuah,
keadilan, ekonomi yang menyentuh kedudukan semua rakyat. Masyarakat Melayu
juga tetap
mengenangkan jasa dan menghargai pengorbanan Sdr Lim Guan Eng.
Diantara tokoh politik semasa yang paling konsisten memperjuangkan nasib
rakyat miskin termasuk masalah setinggan ialah Dr. syed Husin Ali. Kehadiran
beliau dan
PRM dalam rangkaian BA akan membantu mengimbangi penekanan pertumbuhan
ekonomi yang rancak dengan perkiraan nasionalistik serta menjuarai ehwal
rakyat
bawahan.
Dr Wan Azizah Ismail memperlihatkan ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi
suasana gawat. Isu keadilan, kesaksamaan dan kedudukan wanita terus menjadi
agenda perjuangannya. Pemimpin KeADILan lainnya seperti Dr. Chandra Muzaffar
tidak dapat disangkal sebagai di antara pejuang dan penghujjah utama dalam
isu
keadilan dan hak asasi.
Saya dapat menyenaraikan puluhan nama tokoh nasional lainnya yang menyertai
BA tanpa ganjaran upah dan kedudukan, tetapi memilih untuk berkhidmat dan
berjuang. Di antara mereka ialah Ustaz Abdul Hadi Awang, Dr.Chen Man Hin,
Dato Dr Harun Din, Prof. Dr Shahnon Ahmad, Karpal Singh, Prof. Dr Jomo
Sundram, Marina Yusoff, Mustaffa Ali, Tian Chua, Dr Sanusi Osman, Sivarasa,
Sheikh Azmi Ahmad, Rustam A.Sani, Tan Seng Giau, Irene Fernandez dan Ezam
Mohd Nor.
Bersyukur saya kehadrat Allah SWT lebih-lebih lagi kerana kepercayaan dan
harapan BA terhadap saya. Percubaan DSM dan beberapa tokoh BN untuk
melenyapkan karier politik saya melalui pelbagai fitnah jahat, dakwaan
mengaibkan, bahkan penderaan fizikal tidak menggugat keyakinan saya dan
kepercayaan
rakan-rakan. Keputusan BA membuktikan bahawa muafakat adalah satu kenyataan.
Pimpinan PAS yang mempunyai kaliber, kelayakkan dan pengalaman masih
berlapang dada tidak sepertimana yang cuba digambarkan oleh BN.
Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa corak kepimpinan baru kami adalah
secara berpasukan, dengan penuh semangat musyawwarah atau perundingan. Ini
berbeza dengan stail kepimpinan kuku besi ala ditaktor sekarang. Apa sahaja
yang dilaukan oleh ketua- baik rasuah besar, membazir dengan projek mega,
megah
atau bertindak zalim, tidak ada siapa yang berani menegur atau melarang!
Bagi kami, kepimpinan adalah amanah, tanggungjawab yang perlu disempurnakan
sebaiknya dengan mengambil kira kenyataan hidup masyarakat di Malaysia. Ini
bermakna pandangan dan teguran dilihat secara positif membantu usaha memandu
perjalanan dasar sterusnya.
AGENDA BARISAN ALTERNATIF
Barisan Alternatif telah merumuskan agenda perjuangan dalam manifesto
bersama. Ini jelas membuktikan bahawa permuafakatan adalah berkesan
melangkaui
persefahaman pilihanraya dan menjurus kepada agenda bertindak jelas. Bahkan
cadangan Belanjawan BA adalah lebih realistik dan jujur berbanding dengan
belanjawan BN yang dibentangkan semata-mata sebagai janji manis pilihanraya.
Setelah pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat dibelai sebentar, cadangan
tersebut
terbatal dengan pembubaran Parlimen!
Dengan mengandaikan saudara saudari dapat menelaah manifesto dan BA saya
ingin menggariskan beberapa isu pokok sebagai bahan renungan bersama:
Pertama:
Mendaulat Negara Hukum
Kita menganjurkan gagasan pemerintahan demokratik, telus dan
bertanggungjawab. Manakala kuasa berpusat kepada seseorang atau kelompok
kecil. Maka
instrument atau jentera pemerintahan biasanya di bawah telunjuk penguasa.
Dan, dengan media mengongkong, maka rasuah, penyalahgunaan kuasa,
ketidakadilan
dan kecurangan pimpinan tersorok. Dengan merasa kebal dari undang-undang,
mereka akan lebih terdorong bertindak ganas lagi. Hanya apabila bangkai
menjadi
lebih busuk dan tidak terdaya dibendung, barulah terbuka pekung dan terhidu
baunya. Demikianlah iktibar sejarah zaman silam serta pengajaran dari
beberapa
negara jiran tentang berakhirnya pemerintahan zalim dan tamak. Dengan kuasa,
jentera, media, dana rakyat, terpesona dengan pemimpin ulung, jagoh dunia.
Tetapi
setelah terbongkar kisah sebenar terbukti harta menimbun dan kekejaman
merata-rata.
Justeru itu, bagi menghindar dari sebarang kecenderungan menindas atau
merompak, beberapa hukum yang lemah dan tidak bermaya perlu diperkukuh.
Badan
penyiasat dan penguatkuasa harus lebih profesional. Lembaga Pendakwaan
semestinya menggunakan wewenang bertindak tanpa memilih apatah lagi berniat
buruk.
Tidak harus ada kesangsian sehingga kedengaran rungutan sinis bahawa
simiskin yang mencuri RM50 di penjara, si menteri mengaut RM500 juta ringgit
terpelihara.
Atau keadaan dimana setiap pengkritik pemimpin bahkan kalangan yang kurang
selesa dengan mana-mana dasar sentiasa diekori cawangan khas menunggu
tindakan. Maknanya kita harus kembali menghayati semangat Perlembagaan
Negara; menjamin kebebasan dan keadilan serta memertabatkan hukum dengan
pembahagian kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman. Demikianlah
raisondetre asas terbentuknya sabuah negara merdeka dan berdaulat, yang juga
kita pusakai
dari tradisi agama dan budaya bangsa.
Sabagai langkah segera, beberapa Akta dan undang-undang yang didapati
bercanggah dengan prinsip kebebasan dan mudah di salah guna oleh penguasa
harus
dimansuh atau dipinda. Umpamanya Akta Keselamatan Dalam Negeri releven
ketika menghadapi ancaman musuh kini di anggap usang melainkan dengan maksud
menindas pengkritik atau pembangkang. Begitu jualah halnya dengan sekatan
dan halangan terhadap media dan kegiatan mahasiswa.
Kedua: Merangsang Pertumbuhan Ekonomi
Tumpuan utama Agenda Barisan Alternatif ialah merangsang pertumbuhan
ekonomi. Ekonomi perlu di pacu laju dan rancak bagi memungkinkan penambahan
peluang, keselesaan ramai dan pengagihan adil. Iklim pelaburan dalam dan
luar negeri termasuk sistem percukaian dan dasar fiskal mestilah serasi
degan dasar yang
dapat menarik penyertaan aktif sektor swasta tetapi perlu terus menjamin
pertumbuhan mampan. Insentif dan galakkan penyelidikkan, pengenalan
teknologi,
pembangunan sumber manusia akan diberikan penekanan sewajarnya. Projek mega,
mercu tanda kemegahan peribadi, cara berbelanja mewah dan membazir akan
dihentikan. Ini akan digantikan melalui skim tambahan bagi industri kecil
dan sederhana, peniaga kecil dan prasarana asas rakyat di bandar, desa dan
kawasan
pendalaman Sabah dan Sarawak. Sistem kelulusan penswastaan, kontrak dan
pembahagian saham akan lebih telus tanpa percanggahan keputusan. Maka amalan
pembolotan peluang sehingga melimpah kekayaan bagi kelompok kecil keluarga
dan kroni akan dihentikan.
Kepentingan Bumiputra tetap terjamin tetapi diperluaskan penyertaan dan
peluang kepada yang berkelayakkan dan tidak berlegar kepada beberapa kerat
yang
terpilih. Oleh kerana monopoli segelintir korporat dimansuhkan, maka
jaringan peluang peniaga termasuk bukan bumiputra terutama diperingkat
menegah dan kecil
lebih meluas dan melebar. Program pembasmian kemiskinan, penyediaan program
asas, pembangunan rumah rakyat serta usaha mengurangkan kos perkhidmatan
awam akan lebih terjamin. Pembangunan kawasan dan wilayah juga dianjak dari
tumpuan berlebihan ke projek mega terpilih di kota besar kepada pendekatan
yang
lebih seimbang. Dan, ini berkaitan dengan dasar BA yang berhasrat
menyalurkan belanjawan yang lebih saksama serta menurunkan kuasa-kuasa
tertentu kepada
negeri dan daerah/jajahan/bahagian bagi menjamin perlaksanaan projek dan
program secara cekap dan berkesan. Pertimbangan khas diperlukan bagi
negeri-negeri
Sabah dan Sarawak.
Ketiga: Kerukunan Hidup Beragama dan Berbudaya
Masyarakat kita umumnya masih terikat dengan kehidupan beragama, sistem
kekeluargaan yang kental dan nilai hidup yang luhur. Maka berbeda dengan
mencanang
Islam sebagai lambang melalui pembinaan institusi atau masjid yang tersergam
indah semata, kita lebih menjurus kepada penghayatan dalam kehidupan. Ia
seharusnya mencakup urusan ibadah, peraturan dan sistem nilai akhlak.
Kedudukan agama dan sistem nilai penduduk Bukan Islam terpelihara. Dan,
sebarang
kaedah perlaksanaan mengambil kira hak masing-masing dengan semangat tasamuh
atau toleransi. Ini dibedakan dengan kebiadapan pihak yang sengaja menghina
agama dan ulama atau mempersendakan hukum.
Pendekatan sedemikian juga yang harus mendasari semua langkah menangani
masalah sosial yang kian serius di negara kita. Dengan menggunakan
pendekatan
sederhana dan bijaksana, jentera kerajaan dan badan bukan kerajaan didorong
bekerja sama membantu menyelesaikan masalah berbangkit. Tumpuan ialah
melalui
pendekatan pendidikan, memupuk rasa kasih sayang dan memperteguhkan
institusi kekeluargaan.
Kita perjelaskan bahawa penekanan isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan perlu diteruskan, dipertingkat sebagai bahasa resmi yang berkesan
dan bahasa
ilmu yang dikagumi. Di samping itu, penguasaan lain-lain bahasa termasuk
Inggeris, Cina ,Arab, Tamil dan lain-lain perlu ditingkatkan. Kita akui
kedudukan penting
Bahasa Cina di negara dan di rantau. Sebab itu isu pengembangannya tidak
harus menjadi masalah sepertimana juga pengajaran bahasa suku kaum lainya
seperti
Bahasa Iban dan Kadazan.
Masalah Agama, Bahasa dan juga budaya hanya menjadi masalah bilamana
dijadikan isu politik buat menakutkan rakyat. Saya masih ingat kontrovesi
galakkan
penggunaan Bahasa Inggeris dahulu. Ianya dipertikaikan bukan kerana
masyarakat Melayu menentang keperluan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi
kerana
pendukung kempen tersebut di kalangan pemimpin tidak jelas komitment bahkan
lemah dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan . Saya lebih yakin dengan
pendekatan dan kefahaman budaya yang lebih mendalam sepanjang Pentadbiran
Barisan Nasional, usaha memahami dan mengenali lain-lain bahasa dan faham
budaya tidak mendapatkan perhatian. BA merancang untuk memupuk kesedaran dan
kefahaman yang lebih mendalam antara agama, budaya dan
peradaban. SERUAN DAN HARAPAN
Sepanjang zaman aktif saya dalam kegiatan mahasiswa, belia dan akhirnya
sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama UMNO dan Barisan Nasional, saya
telah
menemui dan mengenali ratusan ribu teman, layanan, budi baik dan sokongan
rakyat menjadi kenangan abadi. Saya telah menimba banyak pengalaman pahi
tmanis,
banyak mempelajari sepak terajang politik, banyak menguasai urusan
keewangan, ekonomi dan pentadbiran . Tetapi setelah bercanggah pendapat
mengenai
beberapa isu pokok dan dasar dengan DSM, saya tidak menjangka saya diperlaku
sebegini rupa. Setelah di pecat, segera diusir dari rumah resmi, ditangkap
dalam
serbuan, dipukul dalam lokap, dihina, dicerca saban hari sepanjang lebih
setahun saya dalam penjara. Tidak ada yang harus saya sesalkan. Saya
bertindak atas
keyakinan . Saya menjadi mangsa fitnah jahat dan konspirasi keji. Maka saya
dengan rendah hati memohon pertimbangan saudara-saudari merenung sejenak,
menilai kandungan warkah dan seruan dan harapan saya. Saya mohon pegertian
dan sokongan saudara-saudari.
Memang benar, sebelum ini saya berbeda pendekatan dengan rakan-rakan dari
PAS, DAP dan PRM, kerana saya meyakini keupayaan merubah dari dalam
UMNO dan Kerajaan BN. Saya masih mempercayai sabahagian besar ahli-ahli
biasa UMNO dan lain-lain komponen BN ikhlas menyokong pimpinan kerana
meyakini bahawa pemimpin mereka akan mematuhi janji mendirikan kerajaan
bersih, tradisi membela rakyat dan adil.
Beberapa percubaan pembaharuan telah diperkenalkan tetapi manakala
perubahan-perubahan menghala kepada perkara dasar seperti Akta Pencegah
Rasuah yang
baru, ketegasan menentang amalan kronisme dan nepotisme, membatalkan projek
mega, megah dan membazir, berusaha memupuk akhlak dan kehidupan beragama
yakni perubahan yang saya yakini didukungi oleh rakyat terbanyak. Saya tetap
bersabar dan menjadi penyokong yang setia, bekerja keras, mempertahankan
dasar
yang sedia ada dengan harapan melakukan perubahan bila tiba ketikanya nanti.
Ramai rakan yang mempertikaikan pendekatan saya kerana tetap bersabar dan
betahan. Cuma saya enggan berpakat dan bersekongkol dengan cara mereka
menimbun kekayaan peribadi, mempersendakan hukum agama dan ulama, menindas
pengkritik dan menahan pembangkang. DSM merasa dirinya tercabar atas nasihat
para konspirator dan mulai mencemburui kejayaan saya. Mereka sedar mereka
akan gagal menyingkir saya mengikut jalan demokratik.
Sengaja saya imbas semula bukanlah sekadar meraih simpati meskipun saya akui
beban berat yang turut ditanggung oleh Azizah, anak-anak dan sahabat handai.
Saya telah menafi keras fitnah dan segala tuduhan keji.
Nampaknya saya sekali lagi dinafikan hak untuk bertanding sesuai dengan
perancangan konspirator. Namun saya yakin, penentu akhirnya ialah rakyat
sebagai
pengundi dari semua parti, pegawai kerajaan, pekerja, petani dan nelayan
untuk memberi kesempatan kepada calon-calon BA- PAS, DAP, PRM dan KeADILan
bersama dengan sekutu kita di Sabah dan Sarawak.
Inilah kesempatan sebaiknya. Tegakkan Keadilan Dan Bela Nasib Rakyat,
Undilah Calon Barisan Alternatif.
Salam Hormat dan Terima Kasih.
(Anwar Ibrahim)
______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Perisik Persendirian" <[EMAIL PROTECTED]>