|
Oleh Nazri Hassan
ALOR SETAR, 27
Nov (Bernama) -- Bolehkah Mat Sabu menang di Kuala Kedah? "Sebab apa
dia tak boleh menang? Hang habaq mai kat aku. Kalau dia menang,
suara dia dok dengar lagi di Parlimen, bolehlah dia bangkit masalah
kita di sini, tak seperti wakil rakyat kita sebelum ini," kata
seorang pemuda, jelas peminat setia calon PAS itu, dalam loghat
Kedah.
Inilah sebahagian daripada perbualan yang
kedengaran di sebuah warung kopi di Pekan Kuala Kedah, sebuah
kawasan nelayan yang juga merupakan pintu keluar masuk ke pulau
peranginan Langkawi.
Pertandingan Mohamad Sabu menentang
calon Barisan Nasional (BN) menjadi topik hangat di kawasan ini,
baik di kedai kopi, pejabat mahupun di mana sahaja orang ramai
berjumpa sambil bersembang tentang pilihan raya umum ke-10 ini.
Percaturan PAS mempertaruhkan ayam sabungnya, Mohamad Sabu
bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah tidak dinafikan sedikit
mencemaskan Barisan Nasional (BN) di situ.
Jentera pilihan
raya BN, kini dilihat begitu bekerja keras bagi memastikan kerusi
kawasan itu terus dipertahankan, walaupun suasana ketika ini dalam
keadaan 50-50.
Mohamad, 41, berasal dari Seberang Perai,
Pulau Pinang dan sebelum ini telah dua penggal menjadi anggota
Parlimen Nilam Puri dan Kubang Kerian apabila bertanding atas tiket
PAS di Kelantan.
Bagaimanapun, agak mencemaskan, sentimen
itu juga turut menjadi igauan bagi Dr Fauzi Abdul Hamid, 52, seorang
calon muka baru yang dipertaruhkan oleh BN berhadapan dengan
Mohamad.
Walaupun Dr Fauzi anak tempatan, beliau tidak
dianggap calon popular di kawasan Kuala Kedah kerana kedudukannya
dalam politik adalah sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor
Setar.
Terdapat kalangan anggota BN di kawasan Kuala Kedah
sendiri yang mempertikaikan kewajaran Dr Fauzi bertanding di Kuala
Kedah, seperti kata, salah seorang ketua Umno cawangan: "Mengapa
tidak diletakkan Dr Fauzi dalam kawasan Parlimen Alor Setar kerana
dia lebih popular di situ".
Mohamad Sabu yang menyedari
dirinya bukan anak tempatan, lebih banyak menggunakan pendekatan
berkempen secara individu berbanding secara terbuka dengan
mengadakan ceramah-ceramah umum.
Beliau turun ke
tempat-tempat awam seperti terminal jeti, kedai-kedai kopi dan
kampung-kampung berkempen dari rumah ke rumah merayu pengundi supaya
memilih PAS.
"Walaupun bukan orang sini, tetapi penduduk di
Kuala Kedah sendiri telahpun mengenali saya sejak 20 tahun lalu
kerana saya sering berceramah di sini," katanya.
PAS sendiri
menggunakan motto "Kekalkan Suaranya Di Parlimen" pada setiap kali
Mohamad turun berkempen dengan beralaskan fakta pengundi-pengundi di
Kelantan dapat menerimanya sebelum ini.
Satu lagi faktor
yang dikatakan turut menggugat kemenangan mudah BN di sini, apabila
Fadzil sendiri akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Anak Bukit, salah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Kuala
Kedah.
Berdasarkan pilihan raya umum 1995, PAS yang
mencalonkan Abdul Rahman Halim ketika itu hanya tewas tipis dengan
majoriti 568 undi ditangan calon BN Abdullah Hasnan Kamaruddin.
|