PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: ANALISIS

BN perhebat 'serangan' di Kelantan

Oleh Jabbar Hanief
Dari Kuala Lumpur

PERSEMBAHAN 'makyung' Kelantan hari ini akan membawa kisah dua 'gergasi' merebut kuasa.

Salah satu watak utama akan tampil sempena tayangan perdana itu.

Demikian suasana di Kelantan apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tiba tengah hari ini untuk memperhebat serangan Barisan Nasional (BN) bagi menawan semula negeri pantai timur Malaysia itu.

Pengerusi BN itu dijadual mengunjungi 'markas-markas tenteranya' di sini, yang diterajui seorang 'jeneral' yang sudah berundur tetapi kali ini diberi kepercayaan melaksanakan misi yang dianggap pemerhati sebagai mission impossible.

Manifesto BN di Kelantan, yang mulanya dijangka didedah semalam, akan diumum hari ini sempena lawatan Dr Mahathir, kata 'jeneral' itu -- Ketua Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Tidak syak lagi, Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menguasai negeri itu selepas menumpaskan kerajaan BN dalam pilihan raya 1990 telah bersiap sedia mempertahankan kuasa.

Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang menerajui kerajaan PAS di Kelantan, dijangka tiada masalah meraih sokongan 99 peratus pengundi Melayu dalam kawasan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang dimenanginya dulu. Begitu juga dengan beberapa calon PAS lain dalam pertandingan di kawasan undi DUN di mana lebih 90 peratus pengundinya Melayu.

Dalam pilihan raya 1995 lalu, PAS menguasai banyak kawasan undi DUN dan diperkuat oleh penyertaan Parti Semangat 46 (S46) pimpinan Ku Li yang keluar dari Umno ekoran perbalahan dengan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, kebanyakan kawasan undi yang dimenangi S46 kecil majoritinya -- seperti kelebihan 116 undi sahaja di Gual Ipoh, Tanah Merah (506 undi) dan Tendong (587 undi).

Di kawasan seperti itu, PAS yakin meraih sokongan mereka yang mengundi S46 dulu. Begitu juga dengan beberapa kawasan yang dimenangi Umno, termasuk kawasan undi Parlimen bagi Peringat yang dimenangi Datuk Annuar Musa (BN).

Faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan turut menjejas sokongan kepada Umno.

Untuk menyaingi calon Cina yang diturunkan BN, Encik Leong Su Siang, di kawasan yang mempunyai lebih 38 peratus pengundi Cina, PAS menurunkan seorang mualaf, Encik Anuar Tan Abdullah.

Berdasarkan senario itu, Dr Mahathir hari ini bakal menumpukan perhatian di kawasan yang sudah dikuasai BN tetapi kali ini disifatkan sebagai "goyang" dan mungkin boleh terlepas ke tangan PAS.

Matlamatnya satu saja -- jom pi tawan Kelantan.

Kirim email ke