|
KUANTAN, 1 Dis (Bernama) -- Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Pahang Tan Sri Khalil Yaakob berkata, kekalahan BN di
kawasan Felda di Pahang yang selama ini tidak pernah tewas akan dikaji.
Beliau berkata, bagaimanapun ia tidak ada kena-mengena
dengan sentimen tidak bersyukur oleh golongan peneroka tetapi sentimen
politik Kelantan telah dibawa ke situ.
"Saya nampak bahawa
sentimen Kelantan itu kuat, bukan sahaja di Pekan, Jengka dan juga Kuantan
kerana jelas tempat-tempat itu diduduki oleh orang Kelantan. Yang ini saya
positif," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan
Ahmad Shah semalam.
Beliau berkata, sesetengah mungkin lama
bermastautin di sini tetapi sentimen politik Kelantan di bawa ke sini.
Bagaimanapun katanya, fenomena itu ketika pilihan raya sahaja dan
pada hari-hari biasa mereka akan terlibat dengan aktiviti ekonomi, memohon
tanah, minta projek dan diberi tempat untuk berniaga dan tidak nampak
apa-apa masalah dengan kerajaan yang ada.
"Tetapi apabila sampai
pilihan raya, mereka secara automatik bertukar corak," kata Khalil lagi.
Mengenai calon pula, Khalil melihat bahawa pengundi di Pahang
sudah jemu dengan calon-calon yang bertanding terlalu lama di satu-satu
tempat walaupun mereka menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat
dengan baik.
"Sebagai contoh Datuk Zainal Hassan yang tewas di
Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka bukannya tidak bagus tetapi dia
bertanding terlalu lama, seolah-olah pengundi tak hendakkan dia. Begitu
juga Datuk Wan Razali yang tewas di Cini," katanya.
Khalil
berkata, masalah sabotaj tak timbul tetapi ada gelombang sentimen tertentu
yang ada kaitan dengan PAS dan di sebalik pembentukan Barisan Alternatif,
yang paling untung ialah PAS.
Beliau berkata, sebenarnya daripada
segi siapa yang boleh dapat banyak keuntungan daripada segi pakatan itu
awal-awal lagi PAS sudah tahu apa sahaja yang dibuat mereka akan beroleh
keuntungan.
Beliau berkata, banyak pernilaian dibuat mengenai
kekuatan BN di Pahang yang semuanya menyatakan BN tidak akan hadapi
masalah dan tidak ada satu pun ramalan yang tepat kerana Pahang merupakan
antara kubu kuat BN serta tidak ada yang menjangkakan akan kalah sampai
lapan kerusi DUN.
"Jadi kajian sebegini boleh mempengaruhi kita
dan akhirnya kita merasakan kita tidak perlu bimbang sangat maka dengan
itu kita boleh dapat kemenangan," katanya lagi.
Mengenai calon
pula, BN mungkin mencari satu formula yang terbaik kerana berdasarkan
keputusan, prestasi calon yang bekerja keras sahaja tidak mungkin dapat
menjamin kejayaan BN.
Daripada perspektif pusat pula beliau
berkata ini adalah keputusan yang terbaik bagi BN berbanding keputusan
pada pilihan raya 95 lepas.
Mengenai DUN Triang yang dimenangi
oleh DAP menerusi Leong Ngah Ngah buat kali ketiga berturut-turut katanya,
penduduk di situ dan wakilnya sudah seperti berkembar dan umpama tidak
dapat dipisahkan.
Bagaimanapun beliau bangga kerana BN dapat
menubuhkan kerajaan negeri dan merupakan antara negeri yang memenangi
semua kerusi Parlimen.
-- BERNAMA
|