|
KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Menteri
Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata wawasan beliau bagi Terengganu ialah
untuk memastikan perjuangan Pas dalam melaksanakan peraturan Islam dalam
segala aspek ditunaikan dan antaranya ialah menghapuskan tempat perjudian,
penjualan arak dan hiburan yang berunsur maksiat.
Katanya, perubahan pertama yang perlu dilaksanakan
dengan segera ialah meminda prinsip dan dasar yang sebelum ini dilihat
bercanggah dengan Islam.
"Ini untuk menyatakan bahawa hukum Islam
itu hukum yang tertinggi. Malah menjadi kewajipan kita yang
bertanggungjawab yang diberi amanah rakyat untuk membuktikan Islam itu
yang terbaik daripada segala-segalanya," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri raptai angkat sumpah menteri besar di Istana Maziah, di sini.
Abdul Hadi dilantik menteri besar semalam setelah menerima watikah
pelantikan dari Sultan Terengganu di Istana Badariah di sini.
Beliau berkata tanggungjawab yang akan dilaksanakan ialah
menunaikan kewajipannya kepada rakyat termiskin dan menderita seperti yang
dijanjikan dalam manifesto parti itu.
"InsyaAllah, saya akan
laksanakan perkara yang segera dilakukan mengikut proses peraturan,"
katanya.
Antara janji Pas dalam manifestonya ialah menghapuskan
cukai pintu kediaman, cukai tanah, tol di Jambatan Sultan Mahmud dan
menutup premis perjudian dan penjualan arak kecuali bagi yang bukan Islam
dan mengharamkan hiburan maksiat.
Ditanya sama ada pelaksanaan
undang-undang lain seperti memastikan lelaki Islam menunaikan solat Jumaat
dan kaum wanita memakai tudung, Abdul Hadi berkata: "Yang itu bergantung
pada kefahaman dan kesedaran dan bukan sahaja kepada peraturan dan
undang-undang.
"Walaupun ada undang-undang dan ia sangat berkait
dengan aspek pendidikan dan tarbiah yang memberi kesedaran kepada
masyarakat," katanya.
"InsyaAllah kita akan memberi penekanan
kepada aspek ini. Satu daripada portfolio yag diberikan kepada Exco yang
dilantik ada berkaitan dengan itu," katanya.
Ditanya sama ada
kerajaan negeri akan mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penyokong
Barisan Nasional, beliau berkata: "Kita anggap semua yang ada adalah
rakyat kita sama ada yang menyokong kita atau tidak."
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri Pas harus memberi keutamaan
kepada orang yang berhak. --
BERNAMA |