CUKAI TAKSIRAN BOLEH DIHAPUSKAN ATAS KEHENDAK KERAJAAN NEGERI

 

KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Kadar kutipan cukai taksiran oleh Pihak Berkuasa Tempatan boleh dihapuskan atas kehendak kerajaan negeri yang memerintah, kata Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), Mazlan Ngah.

Beliau berkata sebarang bentuk penghapusan atau pelaksanaan kutipan cukai termasuk kadarnya ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas cadangan kerajaan Pas Terengganu menghapuskan cukai pintu rumah kediaman.

Kerajaan negeri bagaimanapun belum menetapkan tarikh dasar itu akan dilaksanakan tetapi Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang semalam berkata perkara itu akan dilaksanakan selepas kajian mengenainya termasuk dari segi undang-undang selesai.

Mazlan berkata mengikut seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyebut kuasa mengenakan kadar cukai taksiran oleh Pihak Berkuasa Tempatan boleh dilaksanakan dengan kelulusan pihak berkuasa negeri.

"Dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, pihak berkuasa boleh mengenakan sama ada secara berasingan atau sebagai suatu kadar yang disatukan, kadar atau kadar-kadar tahunan dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan bergantung kepada kerajaan negeri", katanya semasa ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata mengikut seksyen 134 Akta itu terdapat empat pengecualian yang tidak dikenakan kadar taksiran iaitu tempat awam untuk sembahyang; tanah perkuburan atau krematorium awam yang berlesen; sekolah awam dan tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus.

"Pengecualian itu bukan untuk mendapatkan keuntungan wang, pihak berkuasa negeri melalui budi bicaranya boleh mengecualikan pegangan itu atau mana-mana bahagian pegangan itu dari pembayaran apa-apa kadar," katanya.

Ketika ditanya mengenai tunggakan kadar kutipan cukai berkenaan, Mazlan berkata keputusan itu juga bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri.

Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui menyambut baik cadangan kerajaan negeri yang baru untuk menghapuskan kutipan taksiran cukai pintu rumah kediaman, tetapi kerajaan negeri perlu membuat kajian terperinci sebelum melaksanakannya.

Seorang peniaga, Mahrim Ibrahim, 27, berkata cukai untuk rumah kediaman memang sepatutnya dihapuskan tetapi hendaklah melihat keadaan yang bersesuai dengan rumah itu.

"Ia baik untuk mereka yang berpendapatan rendah tetapi bagi orang berada cukai itu tak patut dihapuskan sebaliknya hanya perlu dikurangkan kerana cukai adalah salah satu hasil kepada kerajaan negeri,"

Seorang kakitangan swasta, Rosdi Mamat, 32, yang juga menyambut baik cadangan itu berkata selain menghapuskan cukai pintu rumah kediaman, kerajaan Pas juga diminta mengurangkan cukai premis perniagaan untuk menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang perniagaan.

Tengku Abdul Razak Awaluddin, 37, seorang kakitangan bank pula berkata cadangan kerajaan Pas untuk menghapuskan cukai pintu rumah kediaman itu adalah baik tetapi ia perlu dikuatkuasakan hanya untuk rumah pertama.

"Biasanya orang yang mempunyai lebih daripada satu rumah adalah orang kaya dan mereka selalunya menyewakan rumah kedua dan yang lain," katanya.

-- BERNAMA

Kirim email ke