Umno jadi sasaran maklum balas tidak tepat
Sikap sambil lewa anggota antara sebab parti terjejasOleh Jabbar Hanief "Setiap orang sepatutnya melaporkan keadaan sebenar tanpa menyorokkan maklumat kepada peringkat yang lebih tinggi. Jangan hanya berkata Datuk OK. Datuk OK. Tengok semalam, apa sudah jadi. Saya sendiri cemas dibuatnya." - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika berucap di hadapan penyokong Umno di Pekan kelmarin. SELAIN mengalami perpecahan dari segi sokongan masyarakat Melayu, Umno sebagai sebuah parti komponen terbesar dalam perikatan Barisan Nasional (BN) yang memerintah, kini berdepan dengan satu lagi gejala melibatkan para anggotanya sendiri iaitu penyaluran maklum balas yang tepat. Fenomena itu memberi tamparan kepada Umno dalam pilihan raya ke-10 yang baru selesai dan jika tidak segera ditangani boleh membawa padah dalam pilihan raya akan datang. Beberapa sebab boleh diberi mengapa maklum balas yang tepat tidak disalur kepada pemimpin kanan parti. Antaranya ialah sikap sambil lewa anggota Umno di peringkat bahagian dan cawangan kerana terlalu yakin parti itu tidak boleh digugat. Ada yang terlalu sibuk dengan menjaga kepentingan sendiri hingga semua hal yang didengar atau diadukan penduduk dalam sesebuah kawasan undi dianggap remeh. Gejala itu ketara di Pahang apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hampir-hampir dikalahkan calon PAS. Naib Presiden Umno itu yang juga Menteri Pendidikan, hanya memperoleh kelebihan 241 undi, mengalahkan saingan calon PAS yang sama yang dikalahkannya dalam pilihan raya 1995 lalu dengan majoriti 10,793 undi. Beliau segera melahirkan kekecewaan kerana para pemimpin akar umbinya tidak memberikan maklum balas yang tepat mengenai kawasan undinya di Pekan. "Ini tidak... bila jumpa saya melawat kawasan, kata semuanya tidak ada masalah, tetapi kini kita lihat sendiri apa yang berlaku," katanya. Ramai yang berasa takut akan dipersalahkan sedangkan maklum balas yang mereka perolehi itu adalah perasaan dan aspirasi orang ramai di peringkat akar umbi. Hal ini saya saksikan sendiri ketika berada di kawasan undi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh semasa kempen-kempen pilihan raya dijalankan. Isu pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu masih terkesan di kalangan penduduk di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) -- Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti -- di bawah kawasan undi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang itu. Secara terbuka mereka menyatakan sokongan terhadap Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding untuk mempertahankan kerusi suaminya di kawasan undi tersebut di bawah tiket Parti Keadilan Nasional. Tetapi semasa berceramah, Datuk Dr Ibrahim Saad yang dicalonkan oleh BN-Umno bertanding di situ, begitu yakin akan menang kerana katanya berdasarkan maklum balas yang diterima daripada para anggota Umno di peringkat bahagian dan cawangan, "para penduduk sudah dapat memahami akan perkara sebenar dan kini kembali menyokong Umno". Akibatnya, bukan saja beliau yang tumbang, malah dua lagi kawasan DUN (Permatang Pasir dan Penanti) turut dikalahkan. Walaupun kerusi DUN Seberang Jaya dapat dipertahankan, kelebihan undi yang diperolehi hanya 853, sedangkan dalam pilihan raya 1995 lalu, BN-Umno memenangi kerusi DUN itu dengan kelebihan 8,970 undi. Sikap tidak mahu memahami perasaan para pengundi itu, malah diperhebatkan lagi dengan serangan terhadap Datuk Seri Anwar, turut menjejas kelakonan BN-Umno di Perak. Orang yang dikaitkan dengan satu konspirasi peringkat tinggi seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar, turut menerima tamparan. Datuk Seri Rafidah Aziz, yang mempertahankan kerusi Parlimen bagi kawasan undi Kuala Kangsar, hanya memperoleh kelebihan 2,774 undi sedangkan dalam pilihan raya 1995 lalu beliau menang dengan majoriti 10,649 undi. Padah menimpa Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob yang kalah kepada calon PAS bagi kerusi Parlimen di kawasan undi Parit. PAS menang besar di Kelantan dan Terengganu akibat sikap kepura-puraan jentera pilihan raya Umno di peringkat akar umbi. Di Kelantan, sebagai contoh, kerana ingin sangat meyakinkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang melawat negeri itu tiga hari sebelum pilihan raya diadakan, sebilangan orang luar dibawa meramaikan majlis yang diadakan di sebuah kampung dalam kawasan undi Pasir Mas. Akibatnya, calon BN-Umno, Datuk Ibrahim Ali, selaku pengelola acara sambutan lawatan Dr Mahathir ke kawasan undi tersebut, gagal sekali lagi memenangi kerusi Parlimen itu apabila calon PAS menang dengan majoriti 3,216 undi. Setelah kalah, Datuk Ibrahim berkata beliau kecewa "sebahagian besar rakyat sudah jadi penipu dan tidak jujur pada diri sendiri dan agama". Malah, beliau berkata "mulai sekarang saya serik dan rakyat Kelantan mesti belajar hidup berdikari dan kalau hendak jadi ulat dalam batu pun saya tidak halang". Di Terengganu pula, para pemimpin Umno di peringkat akar umbi tidak begitu mengambil berat tentang gelombang perubahan di kalangan para pengundi yang inginkan perubahan di peringkat pucuk pimpinan negeri itu. Perasaan kurang senang rakyat Terengganu terhadap Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar yang sudah 25 tahun memegang jawatan tersebut dan inginkan tenaga serta pemikiran baru menerajui negeri yang kaya dengan hasil minyak itu, tidak diberikan pertimbangan serius. Akibatnya, bukan saja Menteri Besar yang dicalonkan semula untuk bertanding di kawasan DUN Cukai tumbang, malah pembangkang menyapu bersih kerusi Parlimen dan DUN negeri itu. Maka Umno perlu melakukan perubahan di semua peringkat sehingga ke akar umbi bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Seperti kata Datuk Seri Najib, Umno harus mewujudkan budaya memberi teguran dengan ikhlas bagi memastikan semua kelemahan yang ada dapat diatasi. "Jangan hanya berkata Datuk OK. Datuk OK. Tengok, apa sudah jadi. Saya sendiri cemas dibuatnya," katanya. Dengan itu, rumusan yang dibuat oleh Naib Presiden Umno itu bahawa trend pengundi Melayu yang memilih pihak pembangkang merupakan isyarat bahawa pendekatan yang diamalkan oleh Umno kini tidak dapat diterima rakyat, boleh diterima dan difikirkan secara serius. |
