Sinaran Bulan Di Negeri Terengganu Darul-Iman
 

29 November sudah berlalu. Poster-poster dan bendera-bendera sudah diturunkan . Terengganu yang ku cinta sudahpun bertukar wajah. Wajah yang tentunya akan
membawa keberkatan di bawah sinaran bulan purnama penuh. Itulah yang kami rakyat Terengganu tunggu-tunggu. Percaya atau tidak, kami turun mengundi pada
hari itu dengan penuh tekad, untuk menukar kerajaan.
 
Slogan 'ACU UBAH SEKALI' oleh PAS tersemat di hati-hati kami walaupun saya sendiri bukanlah seorang yang fanatik sangat dengan PAS. Perbualan dengan
rakan-rakan se pejabat sebelum pilihanraya cukup meyakinkan bahawa tangan-tangan kami yang mampu mengubah kezaliman kepada keadilan dengan izin ALLAH.
 
Bila saya bercakap dengan seorang kawan yang agak pro-UMNO mengenai angin perubahan yang sudah dirasai, beliau dengan yakin
menjawab bahawa PAS pasti gagal. Kata saya, "tak nampak ke, kalau kat pejabat kita ni (yang selama ini menjadi kubu kuat kerajaan)
lebih daripada 70% sudah bercakap mengenai keadilan, itu adalah petandanya".Beliau masih berkata bahawa itu bersifat sementara dan
luaran.
 
Soal menentukan kerajaan soal lain.Kata saya, "OK, kita tengok. Pejabat-pejabat lain dan sekolah-sekolah lagi hebat. Bukan sekadar guru, tetapi murid pun sudah
mahir berbicara soal Islam dan keadilan ". Pada hari mengundi tersebut hujan turun mencurah-curah dari pagi. Ini tidak sedikitpun menghalang cita-cita kami untuk
keluar mengundi. Tidak pernah saya melihat 'bangsal-bangsal panas PAS' begitu mendapat sambutan. Nampak sungguh bangsal BN sepi, yang ada hanya 2 orang
wanita menunggu bangsalnya di DUN N13. Ada juga 2 - 3 orang yang datang sekali sekala ke situ.
 
Bangsal PAS didatangi pengundi sehingga hampir tamat masa mengundi. Kami sekeluarga sempat berkereta melihat suasana pilihanraya di seluruh kawasan DUN
bagi Parlimen Kuala Terengganu. Hanya di DUN N15 sahaja kami nampak bangsal BN agak mendapat sambutan, itupun ramai kaum Cina yang kelihatan. Di
kawasan-kawasan lain, bangsal PAS lebih ' diminati.' 
 
Sembang-sembang rancak sebelum pilihanraya berganti dengan sembang post-pilihanraya yang lebih rancak. Ternyata ramalan saya tepat
dengan izin Allah. Seorang kawan menelefon saya pada pukul 9.15 malam 29 November bahawa BN sudah tumbang, kalau tak TKO
pun akan KO. "Sujud syukurlah", katanya. Sehingga hari ini di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta masih lagi berbicara soal kemenangan
PAS dan kekalahan BN di Terengganu.
 
Seorang rakan memberitahu saya bahawa malam kemenangan itu disambut dengan laungan Allahu Akbar di merata-rata tempat, dari rumah kediaman, kedai kopi
hingga ke markas-markas PAS. Beliau sendiri keluar melihat bagaimana seronoknya mereka yang diberi kemenangan oleh ALLAH pada malam itu. 1 Disember
1999 Jam 4.00 petang, saya mendapat tahu bahawa bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud sudahpun dihapuskan. 
 
Saya dan keluarga yang kebetulan nak ke Kuala Terengganu sengaja berhenti sebentar di tepi jalan di atas jambatan melihat reaksi rakyat
Terengganu yang selama ini akan menghulurkan syiling 50 sen setiap kali melalui jambatan. Pergi- balik dah RM 1.00. Pelbagai gaya yang
saya nampak. Ada yang tersengih, ada yang mengangkat ibu jari tanda setuju (mungkin tanda kemengangan) dan saya juga dengar ada
yang bertakbir. JUMAAT, 3 Disember 1999 Saya ke Masjid Rusila, nak dengar YAB MB Terengganu yang baru memberi kuliah
agamanya. Saya tak sempat dengar semua kuliahnya. Perjalanan pergi, lebihkurang 1 1/2 km sebelum sampai ke masjid kenderaan dah
bergerak sangat perlahan. Di kiri kanan jalan dah ada orang berhenti untuk parking. Saya dapat lihat kereta diletak di tepi pantai
memenuhi setiap ruang yang ada.
 
Dianggarkan lebihkurang 15,000 orang yang datang untuk mendengar kuliah dan amanat pertama MB baru kami. Ada juga kereta dari negeri lain seperti Johor,
Kedah dan Kelantan. Gambar calon pilihanraya mereka tertampal megah pada kereta-kereta mereka. Syabas dan terima kasih atas semangat yang ada pada
mereka.
 
Terharu sungguh apabila mendengar Tuan Guru Haji Abdul Hadi mentafsirkan surah Al-Fat-h menceritakan bagaimana kemenangan umat Islam membuka Kota
Mekah. Mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar berbanding mencapai kemenangan. Menitis juga airmata saya apabila beliau mengatakan bahawa biarlah
ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq semasa diberi amanah untuk menjadi khalifah pertama memimpin umat Islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. menjadi
landasan kepada ucapannya pada hari itu sebagai seorang MB yang baru diberi amanah. Sampailah masanya Terengganu mengulangi imej negeri Darul Iman, yang
satu ketika dahulu pernah didatangi oleh orang luar untuk belajar ilmu agama kerana kemasyhuran ulama-ulamanya seperti Syeikh Abdul Malik Abdullah (1650an),
Syeikh Kadir Bukit Bayas, Tok Syeikh Duyung hinggalah kepada keturunan Sayyid spt. Tok Ku Paloh dan seumpamanya .
 
Berulangkah sejarah kegemilangan Islam di Terengganu di mana Umara' dan ulama' nya satu ketika dulu pernah mewarnai citra
keislaman di Terengganu (pinjam istilah YB Dr. Shafe'i Abu Bakar. Tahniah atas kemenangan Dr. Shafe'i di Kajang sebagai wakil Rakyat
PAS ) . Baginda Omar (Sultan Terengganu ke 9) bukan sahaja berguru dengan ulama tetapi menjadikan ulama sebagai menteri dan
penasihat baginda. Begitu juga dengan Sultan Zainal Abidin 111.
 
Kemenangan PAS hingga ke saat ini amat dirasai. Banyak Lembu tumbang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan terimakasih kepada semua yang telah
bekerja keras . Tuan-tuan punya lembu tersenyum lebar. Majlis-majlis kesyukuran diadakan di sana sini. Esok sahaja diberitakan di Masjid Setiu akan disembelih 3 -
5 ekor lembu. Selamat menjamu. Belum terlewat rasanya ucapan terimakasih kepada penyokong BN yang mengundi BA . Semuga mereka akan menjadi penyokong
tetap kami. Hanya Allah yang dapat mengubah hati-hati kita. Kepada semua rakyat Terengganu 'JANGAN UBAH LAGI'. Semoga Bertemu Lagi. Jemputlah ke
Negeri Terengganu Darul Iman
 
Oleh pembaca MAHAFIRAUN 2020
07 DISEMBER 1999
 
 
 

Kirim email ke