BERITA MALAYSIA
 
December 03 , 1999 23:12PM 
 
 
   MB DAN EXCO KERAJAAN ISTIHAR HARTANYA
  
 KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Haji Abdul
 Hadi Awang akan mengisytiharkan hartanya dan mengarahkan
 semua exco kerajaan negeri turut berbuat demikian bagi
 memastikan pemimpin-pemimpin kerajaan tidak melakukan
 penyelewengan.
 
 Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan mengkaji
 semula semua projek mega di negeri ini yang dirancang kerajaan
 Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pelaksanaannya bukan
 satu pembaziran.
 
 Projek yang perlu akan diteruskan terutama yang melibatkan
 kepentingan rakyat dan beliau mahu mendengar taklimat
 pegawai-pegawai berkenaan sebelum membuat keputusan,
 katanya pada persidangan berita di rumahnya di Rusila, dekat sini
 malam ini.
 
 Beliau mengesahkan tidak akan menduduki kediaman rasmi Menteri
 Besar di Batu Buruk dan kerajaan negeri juga telah membuat
 keputusan untuk tidak membeli sebarang kereta baru bagi
 kegunaan anggota-anggota exco dan beliau sendiri.
 
 Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri
 S. Samy Vellu bahawa projek lebuh raya pantai timur tidak akan
 diteruskan ke Terengganu sebaliknya hanya setakat Pahang, Abdul
 Hadi berkata Samy Vellu tidak seharusnya emosional dengan
 keputusan pilihan raya yang lepas.
 
 "Itu adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana kerajaan yang
 mereka mahu dan hasil negara bukan hasil Samy Vellu, bukan
 kepunyaan MIC dan bukan kepunyaan BN...ini kepunyaan seluruh
 rakyat.
 
 "Kalau PAS memerintah negara dan Pulau Pinang diperintah oleh
 MIC, kami wajib memberi hak kepada rakyat Pulau Pinang walaupun
 mereka memilih yang lain," katanya.
 
 Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan mengikut
 contoh kerajaan Kelantan memendekkan masa bekerja bagi
 kakitangan kerajaan negeri pada bulan Ramadan.
 
 Mengenai cuti mingguan pada hari Jumat dan Sabtu, beliau
 berkata hari Khamis adalah hari bekerja sepenuh hari. Kakitangan
 akan tetap mendapat cuti mingguan dua hari walaupun hari Sabtu
 itu adalah Sabtu pertama pada bulan berkenaan, katanya.
 
 -- BERNAMA
  
 
 
 

Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.
 

 

Kirim email ke