MIC ingin dua lagi timbalan menteriKUALA LUMPUR, Rabu - MIC berharap mendapat sekurang-kurangnya dua lagi jawatan timbalan menteri dalam Kabinet baru berikutan kemenangan 100 peratus semua calonnya pada pilihan raya umum ke-10, baru-baru ini. Parti itu bertanding di tujuh kerusi Parlimen serta 15 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya lalu, dan semua calonnya menang. MIC kini mempunyai seorang menteri, dua timbalan menteri dan dua Setiausaha Parlimen, tetapi pada pilihan raya lalu seorang timbalan menteri dan seorang Setiausaha Parlimen dari MIC tidak bertanding. Kedua-duanya ialah Datuk K Kumaran (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan Datuk M Mahalingam (Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan). Pemerhati politik meramalkan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk G Palanivel yang kini Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri, menggantikan Kumaran. Dua Ahli Parlimen baru MIC, iaitu Setiausaha Agungnya, Tan Sri K S Nijhar (Subang) dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat, S Veerasingam (Tapah) pula disebut-sebut akan mengisi tempat yang dikosongkan Mahalingam. Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Subramaniam, dijangka kekal dalam barisan Kabinet baru. Menurut pemerhati, Nijhar mungkin dianggap muka baru dalam pilihan raya kali ini, tetapi beliau pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Industri pada 1989 hingga 1991 berikutan pelantikannya sebagai Senator. Veerasingam, 58, pula sebelum ini menjadi Adun Sungkai selama dua penggal. Namun, pemerhati politik tidak menolak kemungkinan Samy Vellu membuat kejutan dengan menamakan calon muda, seperti V Anbalagan, 37, untuk mengisi kekosongan wakil MIC dalam Kabinet. Pada peringkat negeri pula MIC berharap untuk menambah wakilnya dalam senarai Exco Kerajaan Negeri, termasuk di Johor, Pahang dan Melaka. Di Johor, K S Balakrishnan (Pasir Gudang) berkemungkinan besar dipilih kerana beliau lebih berpengalaman berbanding seorang lagi Adun, S Krishnasamy (Tenggaroh). Bagi Pahang dan Melaka pula pilihan tidak begitu sukar kerana MIC hanya mempunyai satu Adun, iaitu M Devendran (Sabai, Pahang) dan Datuk R Raghavan (Bukit Asahan, Melaka). |
