SAMAN TERHADAP SPR, ISU-ISU PERMULAAN DIDENGAR PADA 19 JAN

 

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Jan tahun depan untuk mendengar isu-isu permulaan dalam permohonan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh pensyarah Universiti Malaya Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamed Sekeri Mamat membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas peguam M.Manoharan yang mewakili Jomo memberitahu mahkamah bahawa mereka membangkitkan isu-isu permulaan berhubung dengan permohonan SPR.

Suruhanjaya Pilihanraya diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Datuk Zaitun Zawiyah Puteh.

Dalam samannya, Jomo, 46, memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya pada 29 Nov tidak boleh diteruskan tanpa penerimaan 680,000 pengundi baru.

Jomo, antara pengundi baru berkata pilihan raya tidak harus diteruskan kerana ia dikatakan berlangusng dengan menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Jomo juga memohon pengisytiharan bahawa sebagai pengundi baru, beliau layak mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing pada pilihan raya 29 Nov.

Pengerusi SPR Datuk Omar Mohamed Hashim mengumumkan bahawa SPR akan menggunakan Daftar Pemilih 1998 yang disahkan pada 7 Jan bagi pilihan raya itu.

Mereka yang berdaftar sebagai pengundi tahun ini tidak berpeluang mengundi pada pilihan raya ini, menurut SPR.

Dr Jomo, bagaimanapun mendakwa bahawa beliau berhak mengundi pada pilihan rayua ini kerana beliau telah mendaftar sebagai pengundi di kantin Fakulti Sains Universiti Malaya pada lewat April atau awal Mei selaras dengan Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan dan pendaftarannya diterima oleh ejen SPR.

Jomo mendakwa bahawa mengikut Perkara 119 (4), tarikh kelayakan ialah tarikh daftar pemilih disediakan atau disahkan dan tidak apabila persiapan atau pengesahan telah selesai. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke