Harakah terima surat tunjuk sebabALOR STAR, Khamis - Pengurusan Harakah menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meminta mereka memberikan sebab mengapa lidah rasmi itu tidak boleh diharamkan. Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor hari ini berkata surat itu diterima baru-baru ini. Kataya, KDN memberikan tempoh sehingga 8 Januari depan bagi pengurusan Harakah menjawab surat berkenaan. "Berikutan itu, Lembaga Pengarah Harakah akan mengadakan mesyuarat sebelum tarikh berkenaan bagi membincangkan langkah yang wajar diambil," katanya ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di sini hari ini. Fadzil bagaimanapun tidak mengulas lanjut. Isu pengharaman Harakah timbul baru-baru ini berikutan tindakan pegawai penguatkuasa KDN merampas naskah Harakah yang diedar sekitar Lembah Kelang kerana dijual kepada bukan ahli. Berikutan itu, ramai pihak, khususnya pemimpin Umno menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Harakah, termasuk mengharamkannya. Selain melanggar syarat KDN kerana dijual secara terbuka, alasan mereka ialah kandungannya mengandungi fitnah yang boleh memecah-belahkan perpaduan Melayu dan umat Islam. Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid ketika menyokong saranan pengharaman Harakah semalam berkata, langkah itu adalah suatu ibadah kerana lidah rasmi Pas itu menyebarkan fitnah. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri, baru-baru ini berkata, kerajaan sedang mengkaji tindakan yang perlu diambil terhadap Harakah. |
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu adalah s... Concorde
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu ada... Engku Hamid
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu ada... HUWAZI
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu... Abdul Hadi Hassan
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu ada... nuarida yg bercahaya
- Re: H-Net* Langkah pengaharaman Harakah itu ada... osba
