|
UMNO SUSUN
SEMULA PROGRAM DI KELANTAN DAN TERENGGANU |
| |
|
KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) -- Umno akan
menyusun semula semua programnya di Kelantan dan Terengganu dalam usaha
merampas kembali kedua-dua negeri daripada PAS.
Ketua Penerangan Umno Datuk Dr Yusof Nor berkata
parti itu telah merangka pelbagai program untuk mengukuhkan kembali
kedudukannya di kedua-dua negeri itu.
"Pengumuman mengenai program
yang akan dijalankan secara bersama oleh kedua-dua badan perhubungan Umno
di dua negeri itu akan dibuat tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Yusof berkata anggota Umno di Terengganu kini menunggu
pembentukan jawatankuasa perhubungan Umno negeri yang baru selepas
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik
pengerusinya menggantikan bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
"Anggota-anggota Umno akan kembali bergerak sebaik sahaja
jawatankuasa baru dibentuk," katanya.
Ketika ditanya mengenai
pemilihan parti pada Mei ini, Yusof yang merupakan seorang daripada
anggota Majlis Tertinggi Umno dari Terengganu, berkata beliau akan
menunggu sehingga masa yang sesuai untuk mengumumkan sama ada akan
bertanding mengekalkan kedudukannya atau untuk jawatan lebih tinggi.
Seorang lagi anggota MT dari Terengganu ialah Wan Mokhtar.
--
BERNAMA |
|