JKKK DI TERENGGANU DIGANTI JAWATANKUASA SYURA RAKYAT

 

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung akan digantikan dengan Jawatankuasa Syura Rakyat berkuatkuasa Mac ini bagi menjayakan dasar pentadbiran Islam oleh kerajaan PAS Terengganu.

Anggota exco kanan kerajaan negeri Mustafa Ali berkata perubahan itu membabitkan peranan dan kandungan jawatankuasa itu yang akan lebih menjurus ke arah pemesyuaratan.

Mustafa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia negeri, berkata penubuhan Jawatankuasa Syura Rakyat itu akan menjadi penghubung pentadbiran antara kerajaan negeri dan rakyat.

Ketika ditanya mengenai kedudukan ahli jawatankuasa lama di bawah JKKK, Mustafa berkata kajian yang dijalankan akan turut mengambil kira pelbagai perkara termasuk kemungkinan menyerapkan sebahagian daripada ahli JKKK lama dalam Jawatankuasa Syura Rakyat di kawasan terbabit.

Mustafa berkata bagi kawasan-kawasan yang majoritinya bukan Islam, mereka akan mempunyai jawatankuasa syura rakyat sendiri bagi menjaga kepentingan masyarakat bukan Islam.

-- BERNAMA

Kirim email ke