UMNO KEDAH SOKONG DR MAHATHIR, ABDULLAH TIDAK DITENTANG

 

ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) -- Umno Kedah menyokong cadangan Majlis Tertinggi parti supaya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dicalonkan semula sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicalonkan sebagai timbalan presiden dan agar kedua-duanya tidak ditentang pada pemilihan parti itu Mei ini.

Menteri Besar Datuk Syed Razak Syed Zain yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata kesemua 15 bahagian di negeri itu akan membincangkan perkara itu dan ianya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyokong penuh cadangan itu.

"Jika wujud pertandingan, ianya boleh mencetuskan keadaan kelam kabut dan perpecahan di kalangan ahli Umno," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas pendirian MT yang dibuat pada mesyuaratnya di Kuala Lumpur semalam.

Ditanya mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri menggantikan bekas Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid, Syed Razak berkata beliau menyedari ia merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang besar dan berat.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana pelantikan itu, beliau berkata kesemua 15 bahagian Umno di Kedah akan menjalani penyusunan semula untuk memastikan hubungan semua ahli Umno lebih rapat dan tiada berlaku sebarang keciciran di dalam pentadbiran parti.

"Kita kena gunakan pendekatan alaf baru. Jadi, kita kena ubah gaya dan cara pengurusan parti kerana ahlinya pada masa akan datang adalah dari golongan muda," katanya.

Beliau berkata antara tindakan pertamanya selepas dilantik ke jawatan Menteri Besar ialah mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri bagi berbincang pendekatan ke arah memajukan negeri.

"Mereka ini adalah pentadbir, pemikir, perancang dan pelaksana ke arah kemajuan negeri. Saya juga jumpa dengan alim ulama untuk pentadbiran agama.

Kini, tumpuan saya adalah kepada parti," katanya.

Syed Razak berkata antara tindakannya ialah berjumpa dan berbincang dengan ahli Umno yang tewas atau tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-10 lalu.

"Mereka ini masih muda dan penting dalam parti. Mereka boleh menyumbang kepada parti dan negeri dengan diserapkan dalam jawatankuasa exco negeri atau anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA

Kirim email ke