PENGGUNAAN MASJID DIPERKETATKAN BAGI ELAK PENYELEWENGAN AKIDAH

 


BUKIT KAYU HITAM, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk memperketatkan penggunaan masjid bagi mengelakkan ia dijadikan tempat berpolitik sehingga menyebabkan berlakunya penyelewengan akidah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman berkata, langkah itu diambil dengan memperkemaskan pengurusan masjid supaya menjadi institusi kerajaan, bukannya sekadar suka-suka seperti sebelum ini.

"Kita juga melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengarahkan setiap Majlis Agama Islam Negeri supaya lebih serius mengawal penggunaan masjid."

"Dulu, masjid digunakan untuk tujuan politik dan fitnah. Ia berterusan tetapi kini, ia melibatkan soal akidah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan buah kurma kepada ketua-ketua jabatan, pegawai agama daerah dan pegawai daerah di negeri ini serta Yang Dipertua Majlis Agama bagi daerah-daerah di selatan Thailand di Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Abdul Hamid yang juga senator Dewan Negara berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mahukan masjid dikawal supaya tidak dijadikan tempat berpolitik dan menfitnah.

Abdul Hamid berkata antara soal akidah yang dilaporkan ialah melibatkan syurga dan neraka iaitu sesiapa yang tidak menyokong pembangkang akan masuk neraka.

Beliau berkata masjid adalah tempat orang ramai beribadat dan bukannya tempat pembangkang menaburkan fitnah serta berpolitik.

"Umno buat undang-undang kerana ada tujuannya, dan menghormatinya. Sebab itu kita tidak pernah guna masjid untuk tujuan politik seperti yang dilakukan oleh pembangkang."

"Kita tidak mahu peristiwa pengharaman Al-Arqam berulang. Dulu, kita tidak kisah dengan pertubuhan itu pada peringkat awalnya, tetapi bila kita menyedari ia melibatkan penyelewengan akidah, kita terus bertindak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama dengan daerah-daerah di selatan Thailand akan diteruskan seperti mempertingkatkan jumlah anak muda dari kawasan itu belajar di Institut Kemahiran Mara atau Pusat Giat Mara di negara ini.

"Kumpulan pertama seramai 600 orang akan tamat penggajian pada pertengahan bulan ini. Kumpulan kedua sudah ditemuduga melibatkan pertambahan sekali ganda berbanding kumpulan pertama," katanya.

Abdul Hamid berkata program yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia itu kini hanya dijalankan di Kelantan tetapi ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain dalam sedikit masa lagi. -- BERNAMA

Kirim email ke